2025 MarsdenLR 5963
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
PENDAKWA RAYA LWN. SITI ASMA RAMLI & SATU LAGI
[Perbicaraan Jenayah No: KA-45A-72-12/2022]
The prosecution failed to establish a prima facie case against the accused for drug distribution, resulting in their acquittal due to significant discrepancies in evidence.
Headnote:(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 - Perenggan 39B(1)(a) dan subseksyen 39B(2) - Kanun Keseksaan - Seksyen 34 - Pertuduhan pengedaran dadah - Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan gagal membuktikan elemen prima facie terhadap OKT1 dan OKT2 - Tangkapan dan rampasan dadah tidak terbukti berlaku sebagaimana yang didakwa - OKT1 dan OKT2 dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. (Paras 3, 23, 45)
(B) Kes Prima Facie - Definisi dan keperluan pembuktian - Mahkamah perlu melakukan penilaian positif terhadap kredibiliti dan kebolehpercayaan semua bukti yang dikemukakan untuk menentukan sama ada elemen kesalahan telah dibuktikan. (Paras 23, 24)
(C) Elemen Pertuduhan - Elemen pemilikan, pengetahuan, dan niat bersama dalam kes pengedaran dadah perlu dibuktikan oleh Pendakwaan. (Paras 25, 46)
(D) Percanggahan Keterangan - Percanggahan yang ketara antara keterangan saksi Pendakwaan dan dokumen senarai bongkar menimbulkan keraguan terhadap kes Pendakwaan. (Paras 38, 39) (E) Kesimpulan - Pihak Pendakwaan gagal membuktikan kes pada tahap prima facie, menyebabkan OKT1 dan OKT2 dilepas dan dibebaskan. (Paras 50)
| Table of Content |
|---|
| 1. accused charged under drug laws. (Para 1 , 2 , 3 , 4) |
| 2. evidence collection and handling procedures. (Para 5 , 6 , 7 , 8 , 9 , 10 , 11 , 12 , 13 , 14 , 15 , 16 , 17 , 18 , 19 , 20 , 21 , 22) |
| 3. criteria for establishing prima facie case. (Para 23 , 24 , 25 , 26 , 27 , 28 , 29 , 30) |
| 4. discrepancies and their implications on evidence. (Para 31 , 32 , 33 , 34 , 35 , 36 , 37 , 38 , 39 , 40 , 41 , 42 , 43 , 44 , 45) |
| 5. requirement of pre-arranged plan for joint intent. (Para 46 , 47 , 48) |
Pendahuluan
[1] OKT1 dan OKT2 telah dituduh melakukan satu kesalahan di bawah perenggan 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] ("ADB 1952") yang boleh dihukum di bawah subseksyen 39B(2) Akta yang sama, dan dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan [Akta 574].
[2] Pertuduhan terhadap OKT1 dan OKT2 adalah seperti yang berikut:
"Bahawa kamu bersama-sama pada 22 Mei 2022, jam lebih kurang 12.45 tengah malam, di tepi jalan, Kampung Pantai Jamai, 06500, Langgar, Daerah Kota Setar, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 719.5 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah s 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama- sama di bawah s 34 Kanun Keseksaan .".
[3] Pada akhir kes Pendakwaan, Mahkamah ini telah mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan elemen-elemen pertuduhan terhadap OKT1 dan OKT2 pada tahap prima facie dan telah melepas dan membebaskan OKT1 dan OKT2 tanpa dipanggil membela diri.
[4] Pihak Pendakwa Raya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Naratif Kes Pendakwaan
[5] Pada 22 Mei 2022, lebih kurang pukul 12.01 pagi, semasa Pengadu (SP4) bersama sepasukan anggota BSJND IPD Kota Setar sedang dalam tugasan Ops Tapis di Kawasan Langgar, Alor Setar, Kedah, SP4 telah menerima maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah oleh seorang perempuan Melayu dengan panggilan "Ema" yang menaiki sebuah motokar jenis Perodua Kancil di kawasan Kampung Pantai Jamai, Langgar, Kedah (lokasi kejadian).
[6] SP4 dan pasukannya telah bergerak ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah van pasukan yang tidak berlambang. Apabila sampai di kawasan lokasi kejadian, SP4 telah mengarahkan pemandu van pasukan untuk memandu secara perlahan dan memerhati motokar di sekeliling. Semasa rondaan tersebut, SP4 telah nampak satu cahaya daripada lampu sebuah motokar jenis Perodua Kancil berwarna biru bernombor pendaftaran KBC 2065 yang tidak bergerak dan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berdekatan dengan simpang tiga jalan Kampung Pantai Jamai. Enjin motokar tersebut dalam keadaan hidup dan kesemua pintu serta tingkap bertutup rapat. Pada masa yang sama, SP4 mendapati dua orang individu berada di dalam kereta tersebut di mana seorang berada di bahagian pemandu dan seorang lagi di bahagian penumpang hadapan. Suasana di tempat kejadian adalah terang dan cerah kerana terdapatnya lampu jalan.
[7] SP4 telah mengarahkan kenderaan pasukan memandu ke arah kereta Perodua Kancil tersebut dan memberhentikan kenderaan pasukan di belakangnya. SP4 dan pasukan telah turun dari kenderaan pasukan dan menuju ke arah kereta Kancil tersebut. Dua anggota pasukan SP4 telah terus pergi ke arah pintu pemandu dan membuka pintu lalu mematikan enjin kereta. SP4 dan dua lagi anggota pasukan telah menuju ke arah pintu penumpang dan membuka pintu serta menahan dan memperkenalkan diri polis kepada OKT1 yang berada di bahagian pemandu dan OKT2 yang berada di bahagian penumpang. Pada masa yg sama, SP4 melihat OKT1 sedang memegang sebuah beg berwarna hitam/kelabu bercorak petak (eksibit P21) dengan kedua-dua tangannya.
[8] SP4 kemudiannya telah merampas beg eksibit P21 daripada tangan OKT1 serta mengarahkan kedua-dua mereka keluar dari kereta dan berdiri di hadapan kereta Kancil tersebut. SP4 kemudiannya telah membuat pemeriksaan ke atas beg eksibit P21 di atas bonet hadapan