2020 MarsdenLR 1974
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
MUHAMMAD YAZID TASRA & SATU LAGI LWN. PURWANTO PURWADI & SATU LAGI
[Rayuan Sivil No: BA-12B-23-03/2018]
Both parties contributed to the accident; liability determined at 50:50 based on evidence and witness credibility.
Headnote:(A) Assessment of liability in a motorcycle collision case, considering contributory negligence by both parties in determining the percentage of responsibility. The court emphasized the need for clear evidence supporting claims of negligence and reliability of witness testimonies. (Paras 31, 34)
Facts of the case: The crash occurred on 29 September 2014 when a motorcycle collided with another, with conflicting evidence regarding fault. The trial court initially found the defendant fully liable. (Para 1)
Findings of Court: The initial decision of full liability was overturned due to a lack of supporting evidence for that conclusion. (Para 31)
Issues: The primary issues revolved around the credibility of witness testimonies and whether both parties exhibited negligence. (Paras 34)
Ratio Decidendi: The court concluded that both parties contributed to the accident and decided on a 50:50 liability split, guided by the principle that liability should reflect the circumstances and evidence presented. (Paras 34)
Result: Appeals were granted partially, adjusting liability. (Para 52)
PENGHAKIMAN
[1] Pada peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen, defendan-defendan telah didapati bertanggungan penuh atas kemalangan yang berlaku pada 29 September 2014. Berikutan itu defendan-defendan telah memfailkan rayuan terhadap liabiliti dan kuantum. Plaintif-plaintif juga telah memfailkan rayuan silang terhadap kuantum sahaja.
[2] Setelah mendengar rayuan tersebut saya telah membenarkan sebahagian rayuan defendan-defendan/perayu-perayu dan sebahagian rayuan silang plaintif-plaintif/responden-responden dengan memutuskan tanggungan adalah bersama. Plaintif-plaintif/responden-responden tidak berpuas hati terhadap keputusan saya dan memfailkan rayuan terhadap keseluruhan keputusan saya. Pihak-pihak dirujuk sebagaimana mereka di Mahkamah Sesyen.
[3] Kemalangan berlaku pada 29 September 2014 pada jam lebih kurang 8.15 malam plaintif pertama (SP3) menunggang motorsikal BDV 7344 bersama-sama isterinya plaintif kedua (SP4) sebagai pembonceng telah berlanggar dengan sebuah motorsikal BLM 1614 yang ditunggang oleh defendan pertama (SD1) yang datang dari arah yang bertentangan. Berpandukan rajah kasar plaintif-plaintif dari arah bawah ke atas manakala defendan pertama dari arah atas ke bawah.
[4] Terdapat dua versi yang bertentangan iaitu mengikut SP3, SD1 telah masuk ke laluan sahnya dan melanggar bahagian hadapan motorsikalnya. Manakala menurut SD1, SP3 telah keluar dari satu jalan kecil sebelah kiri mengakibatkan pelanggaran ini di persimpangan jalan utama dengan jalan kecil tersebut.
Keputusan Mahkamah Sesyen
[5] Hakim Mahkamah Sesyen ("HMS") yang terpelajar telah mendapati defendan-defendan bertanggungan penuh dan mengawadkan ganti rugi khas dan am kepada kedua-dua plaintif. Di atas rajah kasar SP3 membuat tanda "X" sebagai tempat berlakunya pertembungan kedua-dua motorsikal tersebut. HMS terpelajar menerima versi plaintif-plaintif berdasarkan terdapatnya keterangan sokongan daripada SP4 dan kerosakan yang ada pada kedua-dua kenderaan.
[6] Beliau menolak versi SD1 kerana kerosakan akan banyak kepada bahagian tepi tetapi kerosakan kepada kedua-dua motorsikal banyak di bahagian hadapan. HMS terpelajar juga menerima keterangan pegawai penyiasat (SP1) yang memberi keterangan bahawa SD1 mengaku telah hilang kawalan sebelum melanggar motorsikal SP1 dan SD1 telah disaman dan membayar saman tersebut. SD1 mengatakan orang lain yang bayar samannya itu dan HMS terpelajar berpendapat memandangkan SD1 tidak memanggil orang tersebut maka beliau tidak mempercayai keterangan SD1. Atas alasan-alasan ini HMS terpelajar memutuskan defendan-defendan bertanggungan penuh dari segi liabiliti.
Liabiliti
[7] Peguam terpelajar bagi pihak defendan-defendan menghujahkan plaintif-plaintif gagal membuktikan kecuaian SD1. Menurut peguam defendan yang terpelajar HMS terpelajar telah khilaf apabila menerima keterangan SP1. Beliau menghujahkan siasatan oleh SP1 tidak lengkap, berat sebelah memihak kepada plaintif-plaintif dan memprejudiskan defendan-defendan. SP1 ketika ke tempat kejadian mendapati tiada apa-apa kesan kemalangan. SD1 mengatakan SP3 dan SP4 keluar dari jalan kecil sebelah kiri namun SP1 tidak mengambil gambar persimpangan tersebut.
[8] Beliau selanjutnya berhujah agent peguam plaintif telah mempengaruhi SP1 menyaman SD1. Pengataan ini berdasarkan ketika SP1 mengambil keterangan daripada SD1 seorang Cina dikenali sebagai Ah U melalui kad perniagaannya terdapat nama serta alamat peguam plaintif tercetak di dalam kad tersebut. Fakta ini tidak dinafikan oleh pihak plaintif-plaintif maupun peguam beliau. Malah Ah U dikatakan membayarkan saman tersebut bagi pihak SD1. Hujah peguam defendan terpelajar mereka berpakat mengimplikasikan SD1 dalam kemalangan ini.
[9] Pengataan ini diperkukuhkan dengan pengakuan SP1 semasa disoal balas, dia memberitahu SD1 ketika SD1 membuat laporan polis pada 30 September 2014 bahawa versi SD1 tidak betul walaupun SP3 hanya membuat laporan polis pada 25 Oktober 2014. Jelas ini menunjukkan SP1 berat sebelah