2013 MarsdenLR 2293
MAHKAMAH TINGGI MALAYA PULAU PINANG
BALASUPRAMANIYAM R LETCHUMANAN LWN. DATUK NALLAKARUPPAN SOLAIMALAI
[Writ Saman No: 22-619-2008]
Pendakwaan dengan niat jahat memerlukan bukti pendakwaan yang jelas; ketiadaan pendakwaan menunjukkan kes tidak dapat diteruskan.
Headnote:(A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 - Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) - Kertas Saman dan Pernyataan Tuntutan dibatalkan atas alasan tidak mengandungi kausa tindakan yang munasabah - Defendan mengaku laporan polis palsu dengan niat jahat, namun tiada pendakwaan telah dilakukan ke atas Plaintif. (Paras 1, 14, 20, 24)
(B) Pendakwaan dengan niat jahat - Tuntutan perlu membuktikan bahawa Defendan telah mendakwa Plaintif, pendakwaan berakhir dalam keadaan memihak kepada Plaintif, tanpa sebab munasabah, serta dilakukan dengan niat jahat - Tiada pendakwaan menunjukkan tindakan tidak dapat dilaksanakan. (Paras 18, 19, 24)
Facts of the case:
Pada 19 Ogos 2008, Defendan membuat laporan polis selepas diugut oleh individu lain. Plaintif ditahan oleh polis untuk penyiasatan, tetapi tiada pertuduhan dibuat ke atasnya. (Paras 2, 5, 6)
Findings of Court:
Permohonan Defendan dibenarkan, Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibatalkan dengan kos RM 1,000.00. (Paras 26)
Issues: Adakah laporan polis yang dibuat oleh Defendan cukup untuk membolehkan pendakwaan dengan niat jahat dibuktikan? (Paras 9, 10, 18)
Ratio Decidendi: Mahkamah menegaskan bahawa tanpa pendakwaan, elemen-elemen untuk pendakwaan dengan niat jahat tidak dapat dibuktikan, sekaligus menyerlahkan pentingnya pendakwaan sebagai prasyarat untuk kes ini. (Paras 19, 24)
Result: Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibatalkan.
| Table of Content |
|---|
| 1. defendant seeks to dismiss the writ. (Para 1 , 1) |
| 2. incident involving threats and subsequent police action. (Para 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 , 8) |
| 3. defendant argues lack of charge implies no reasonable cause. (Para 9 , 10) |
[1] Melalui Lampiran 23, Defendan memohon untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif menurut Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 .
Latar Belakang Kes
[2] Pada 19 Ogos 2008, semasa tempoh berkempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh, beberapa orang lelaki telah pergi ke Bilik Gerakan MIUP, Seberang Jaya. Lelaki-lelaki tersebut telah mengugut, mengancam dan memaki hamun pekerja-pekerja di Bilik Gerakan tersebut. Lelaki-lelaki tersebut juga mengarah mereka menutup Bilik Gerakan tersebut dan minta mereka keluar parti dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
[3] Salah seorang lelaki-lelaki tersebut yang dikenali sebagai Hi Kid Bala ada mengeluarkan kata-kata "Saya adalah gangster nombor satu di Pulau Pinang, suruh Dato' Nalla keluar dari Pulau Pinang".
[4] Kejadian ini telah dimaklumkan kepada Defendan yang tidak berada di situ semasa kejadian.
[5] Oleh kerana bimbangkan keselamatan Bilik Gerakan tersebut, pekerja-pekerja di Bilik Gerakan dan keselamatan dirinya, pada 21 Ogos 2008, jam 6.24 petang, Defendan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut. Di dalam laporan tersebut, Defendan tidak menamakan sesiapa tetapi ada menyatakan kejadian tersebut dilakukan oleh beberapa orang lelaki termasuk seorang yang dikenali sebagai Hi Kid Bala.
[6] Susulan dari laporan polis tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan di mana Plaintif telah ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama pada jam 10.00 malam. Plaintif telah ditahan dilokap. Keesokan harinya, pihak polis telah mendapat perintah tahanan reman dari Majistret Bukit Mertajam untuk menahan Plaintif dari 22 Ogos 2008 hingga 23 Ogos 2008. Selanjutnya, pihak polis cuba untuk melanjutkan tahanan reman ke atas Plaintif pada 23 Ogos 2008. Setelah mendengar representasi dan rayuan dari Plaintif, Majistret telah menolak permohonan untuk lanjutan remand dan telah membenarkan Plaintif dibebaskan dengan jaminan polis.
[7] Menuruti Plaintif, dari 18 Ogos 2008 hingga 20 Ogos 2008, Plaintif berada di Thailand. Plaintif hanya kembali ke tanah air pada 20 Ogos 2008. Plaintif seterusnya telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa Plaintif dikehendaki bersangkut dengan laporan polis yang dibuat oleh Defendan. Plaintif telah menunjukkan pasportnya kepada seorang pegawai polis namun Plaintif diarah untuk pergi ke Balai Polis Bandar Perda.
[8] Ini diikut dengan penahanan ke atas Plaintif di mana Plaintif telah ditahan di lokap dan ditahan reman selama 2 hari. Plaintif mendakwa akibat penahanannya, Plaintif telah mengalami kerugian dan kecederaan kepada reputasinya dan dipandang serong oleh orang ramai. Nama baik Plaintif, keluarga Plaintif serta nama PKR turut tercemar semasa kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh.
Hujahan Defendan
[9] Kausa tindakan Plaintif ke atas Defendan adalah pendakwaan dengan niat jahat (malicious prosecution). Di dalam kes ini, Plaintif tidak didakwa atas apa-apa kesalahan, Plaintif hanya ditahan untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan. Penahanan untuk tujuan siastan bukanlah suatu pendakwaan.
[10] Oleh kerana tiada pendakwaan ke atas Plaintif, Defendan berhujah Pernyataan Tuntutan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah. Oleh itu, wajarlah Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap Defendan dibatalkan dengan kos.