2021 MarsdenLR 1436
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
PENDAKWA RAYA LWN. GOKUL PARIYAR
[Rayuan Jenayah No: JA-41LB-19-11/2020]
Breach of procedural requirements under section 163 of the Criminal Procedure Code leads to acquittal due to failure to charge separately for distinct offences.
Headnote:(A) Kanun Keseksaan – Seksyen 354 dan Seksyen 323 – Pertuduhan mencabul dan mendatangkan kecederaan – Tertuduh dilepas dan bebas daripada kedua-dua pertuduhan kerana Puan Majistret gagal menilai kes prima facie dan perbicaraan bercanggah dengan peruntukan s 163 Kanun Tatacara Jenayah. (Paras 4, 18, 41)
(B) Perbicaraan bercanggah dengan peruntukan undang-undang – Tertuduh tidak dibicarakan secara berasingan untuk dua kesalahan yang berbeza di bawah s 354 dan s 323 Kanun Keseksaan. (Paras 17, 18)
(C) Hujahan mengenai pertuduhan yang cacat di bawah s 354 Kanun – Pendakwaan tidak perlu menyatakan butiran spesifik perbuatan, yang penting adalah elemen kekerasan jenayah. (Paras 31, 32)
(D) Rayuan ditolak berdasarkan kegagalan pendakwaan mematuhi prosedur yang ditetapkan. (Paras 41)
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Bagi kemudahan memahami penghakiman ini, pihak-pihak akan dirujuk sebagaimana semasa perbicaraan di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
[2] Gokul Pariyar merupakan seorang warga negara Nepal telah dituduh di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Johor Darul Takzim atas dua (2) pertuduhan di bawah s 354 Kanun Keseksaan [Kanun itu] dan s 323 Kanun itu.
Pertuduhan Pertama
"Bahawa kamu pada 10 Januari 2019 jam lebih kurang 10.30 pagi di Linocraft Printers, Jalan Belati, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas di dalam daerah Johor Bahru di dalam negeri Johor Darul Takzim, telah menggunakan kekerasan jenayah kepada Nur Hazirah Binti Jamil [No K/P: 990516-01-5242] dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 354 Kanun Keseksaan ."
Pertuduhan Kedua
"Bahawa kamu pada 18 Januari 2019 jam lebih kurang 10.30 pagi di Linocraft Printers, Jalan Belati, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas di dalam daerah Johor Bahru di dalam negeri Johor Darul Takzim, telah sengaja mendatangkan kecederaan ke atas perempuan bernama Nur Hazirah Binti Jamil [No K/P: 990516-01-5242] dengan memukul mengunakan tangan di bahagian muka, oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 323 Kanun Keseksaan ."
[3] Tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan. Perbicaraan diteruskan di hadapan Puan Majistret Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Johor Darul Takzim [Puan Majistret itu]. Pendakwaan memulakan kesnya pada 8 April 2019 dan pada 22 Januari 2020 pendakwaan menutup kesnya. Pada 18 Jun 2020 Puan Majistret itu memutuskan di akhir kes pendakwaan, pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie atas kedua-dua pertuduhan. Tertuduh dipanggil untuk membela dirinya atas kedua-dua pertuduhan.
[4] Kes pembelaan bermula pada 10 Ogos 2020 dan menutup kes pembelaan pada 14 September 2020. Pada 26 Oktober 2020, Puan Majistret itu di akhir kes pembelaan telah memutuskan Tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dan Tertuduh dilepas dan bebas daripada kedua-dua pertuduhan.
[5] Pendakwaan yang tidak berpuashati dengan keputusan Puan Majistret itu telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi, Malaya, Johor Bahru.
Fakta Kes Untuk Pendakwaan
[6] Secara ringkasnya kes pendakwaan yang diketengahkan sepanjang perbicaraan seperti berikut: Mangsa dalam kes ini ialah Nur Hazirah Bte Jamil [SP1] pada 10 Januari 2019 jam lebih kurang 10.30 pagi ketika SP1 membuat tugasan dengan menggunakan komputer, Tertuduh telah datang dari arah belakang dan terus menghampiri SP1. Tertuduh menghidu SP1 dari jarak yang dekat. SP1 menolak Tertuduh dan tidak menyukai perbuatan yang dilakukan oleh Tertuduh.
[7] Pada 18 Januari 2019 jam lebih kurang 2.00 petang semasa SP1 berada di meja yang sama bersama Tertuduh dan rakannya. Setelah rakan Tertuduh meninggalkan meja tersebut dan membuat tugasan, Tertuduh ada bercakap dengan SP1 dia pernah beberapa kali mengajak pekerja wanita Indonesia melakukan hubungan seks. SP1 memberitahu Tertuduh dirinya tidak berminat dan tidak mahu mendengar apa yang Tertuduh perkatakan. Tertuduh telah bertindak dengan menampar pipi sebelah kiri sebagaimana dalam gambar P3B yang ditandakan "X" dengan warna merah. Pada 18 Januari 2019 jam 22.19 HRS, SP1 telah melaporkan kejadian mencabul yang berlaku pada 10 Januari 2019 dan kejadian menampar SP1 pada 18 Januari 2019 sebagaimana Kempas Report No : 000704/19 [P1]. Selanjutnya, SP1 telah menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru oleh Dr Seah Hwei Hwei [SP5].
[8] Pada 20 Januari 2019 jam lebih kurang 13.15 HRS, Koperal Mohd Ikhwan Bin Kamarulzaman yang bertugas di Balai Kempas telah membuat tangkapan ke atas Tertuduh. Siasatan kes ini telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Sabarini Binti Che Husin [SP6] dan sebaik siasatan dilengkapkan Tertuduh dituduh atas kesalahan s 354 Kanun itu dan s 323 Kanun itu di hada