2022 MarsdenLR 2469
MAKHAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
HAJI MOHD ZAIN GHAZALI & YANG LAIN LWN. BAGAN HASRAT SDN BHD & YANG LAIN
[Guaman No: BA-22NCC-53-04/2022]
Plaintif tidak memiliki locus standi untuk membawa tuntutan bagi pihak syarikat lain tanpa mendapat kebenaran mahkamah.
Headnote:(A) Aturan 18 kaedah 19(1)(a) dan/atau 19(1)(b) dan/atau 19(1)(d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 – Defendan memohon untuk membatalkan writ saman dan tuntutan Plaintif yang tidak berasas – Bangunan tindakan tidak mencukupi oleh Plaintif-Plaintif untuk berbuat demikian dan tiada kebenaran diperolehi untuk mengemukakan tindakan bagi pihak Defendan Ke-6 – Mahkamah mendapati tindakan mahkamah ini adalah penyalahgunaan proses. (Paras 18, 15, 30)
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Permohonan oleh Defendan Kedua dan Defendan Keempat ialah untuk membatalkan writ saman terpinda dan tuntutan Plaintif terpinda di bawah Aturan 18 kaedah 19(1)(a) dan/atau 19(1)(b) dan/atau 19(1)(d) serta Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah berikut:
(a) Writ Saman Terpinda bertarikh 27 April 2022 dan Pernyataan Tuntutan Terpinda bertarikh 25 April 2022 terhadap Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4 dibatalkan.
(b) nama-nama Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4 dibatalkan daripada tajuk kes ini.
(c) penggantungan prosiding diberikan sehingga pendengaran dan penyelesaian muktamad permohonan ini termasuk sebarang rayuan.
(d) kos.
(e) relief atau perintah lain yang dianggap sesuai dan manfaat oleh Mahkamah ini.
(f) sekiranya permohonan ini ditolak, Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4 diberi kebenaran untuk memfailkan pembelaan dalam masa 14 hari dari tarikh Perintah ini.
[2] Alasan permohonan pembatalan ini adalah secara ringkasnya, iaitu:-
(a) Plaintif-Plaintif pada asasnya telah memfailkan tindakan ini untuk manfaat, jika ada, Defendan Ke-6 dan memohon untuk pelbagai wang dibayar kepada Defendan Ke-6 dan memohon juga agar Perjanjian Perlombongan yang didakwa memudaratkan Defendan Ke-6, diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.
(b) plaintif yang sepatutnya ("proper plaintiff') yang mempunyai locus standi untuk membawa tindakan ini, sekiranya ada, untuk mendapatkan relief-relief yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif adalah Defendan Ke-6 dan bukan Plaintif-Plaintif.
(c) Plaintif-Plaintif tidak memperoleh sebarang kebenaran yang diperlukan untuk memfailkan suatu tindakan atas nama Defendan Ke-6.
(d) Sebarang kerugian yang didakwa, sekiranya ada, hanyalah ditanggung oleh Defendan Ke-6 dan bukan Plaintif-Plaintif.
(e) Persoalan kesahan (question of validity) Perjanjian Perlombongan tidak boleh ditentukan dalam tindakan ini kerana kesahan sesuatu perjanjian hanya boleh ditentukan antara pihak-pihak kepada perjanjian tersebut sahaja. Pihak-pihak kepada Perjanjian Perlombongan tidak berada di hadapan Mahkamah. (The parties to the Mining Agreement are not before the Court).
(f) Oleh itu, tiada kausa tindakan yang munasabah ditunjukkan dalam tuntutan Plaintif-Plaintif, maka, ia hendaklah dibatalkan in limine.
(g) Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan diatas, tuntutan Plaintif-Plaintif juga adalah mengaibkan, remeh serta menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, maka, ia hendaklah dibatalkan in limine.
[3] Selain daripada Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4, permohonan pembatalan tuntutan juga difailkan oleh Defendan Pertama dan Defendan Ke-3. Defendan Pertama dan Defendan Ke-3 diwakili oleh peguam cara yang berbeza.
[4] Pada 18 Ogos 2022, saya telah membenarkan permohonan pembatalan tuntutan oleh Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4 (Lampiran 16) dan juga membenarkan permohonan pembatalan tuntutan oleh Defendan Pertama dan Defendan Ke-3 (Lampiran 13).
[5] Plaintif-Plaintif terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini dan memfailkan rayuannya ke Mahkamah Rayuan.
[6] Penghakiman ini mengandungi alasan mengapa saya membenarkan permohonan pembatalan tuntutan oleh Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-4 (Lampiran 16).
Pihak-Pihak
[7] Plaintif-Plaintif ialah individu.
[8] Defendan Pertama, Defendan Ke-2 dan Defendan Ke-6 ialah syarikat sendirian berhad & yang diperbadankan di Malaysia.
[9] Defendan Ke-3 dan Defendan Ke-4 ialah individu. Defendan Ke-4 ialah anak kepada Defendan Ke-3.
[10] Defendan Ke-5 ialah peguam bela dan peguam cara.
[11] Hubungan antara pihak-pihak adalah:-
Versi Fakta Plaintif-Plaintif (Sebagaimana Dalam Pernyataan Tuntutan)
Mengenai Defendan Ke-6
- Defendan Ke-6 ditubuhkan pada 14 September 1992 di bawah nama asalnya "Simple Enterprise Sdn Bhd" dan pada 18 May 1996 ditukar kepada nama KL Larut Sdn Bhd.
- Pengarah-Pengarah Syarikat Defendan Ke-6 ialah Plaintif-Plaintif dan Defendan Ke-3.
- Pegangan saham dalam Defendan Ke-6 ialah Plaintif Pertama sebanyak 14%, Plaintif Ke-2 s