2017 MarsdenLR 1756
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KANGAR
ZAMRI IBRAHIM LWN. HONG LEONG BANK BERHAD
[Guaman Sivil No: 22NCVC-04-06/2015]
Defendan tidak mampu menimbulkan isu yang boleh membantah permohonan penghakiman terus oleh plaintif diajukan di bawah A 14 KKM.
Headnote:Mahkamah ini membenarkan permohonan penghakiman terus di bawah A 14 KKM berpandukan kepada prinsip yang ditetapkan dalam National Company For Foreign Trade v. Kayu Raya Sdn Bhd mengenai keperluan defendan memasukkan kehadiran dan serahan penyata tuntutan. Setelah mengkaji isu-isu yang dibangkitkan, Mahkamah mendapati plaintif memenuhi syarat untuk penghakiman terus dan defendan gagal menimbulkan sebarang isu yang memerlukan perbicaraan lanjutan. Oleh itu, keputusan dengan kos diberikan kepada plaintif.
| Table of Content |
|---|
| 1. defendan gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk memindah milik hartanah. (Para 1 , 4 , 6 , 16) |
| 2. penghakiman terus boleh diberikan jika semua keperluan dipenuhi. (Para 23 , 24) |
| 3. mahkamah memutuskan bagi pihak plaintif untuk membenarkan penghakiman terus. (Para 121) |
Pengenalan
[1] Ini merupakan rayuan oleh defendan terhadap keputusan Mahkamah ini membenarkan permohonan plaintif untuk penghakiman terus di bawah A 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 [KKM] [lampiran (69)] dengan kos.
[2] Defendan yang terkilan dengan keputusan Mahkamah ini telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan, Malaysia.
[3] Rayuan ini telah didaftarkan sebagai Mahkamah Rayuan, Rayuan Sivil No: R-02(IM)(NCVC)-181-01/2017.
Latar Belakang Kes
[4] Melalui perjanjian bertarikh 6 Mei 2006 [Perjanjian tersebut [eksibit "ZI-1"]], plaintif bersama Mohd Hanif Abdul Rahman telah membeli satu unit pejabat yang dikenali sebagai Unit 8-5, Wisma Pantai, Kampung Gajah, 12200 Butterworth [Hartanah tersebut]] daripada IJM CORPORATION BERHAD [IJM]] dengan harga RM324,700. Plaintif telah membuat pembayaran berjumlah RM32,700.00.
[5] Plaintif telah pun membuat pinjaman daripada EON Finance Cawangan Kangar [EON] sebanyak RM292,000.00 bagi membiayai baki harga jualan hartanah tersebut.
[6] IJM melalui Surat Akujanji bertarikh 2 April 1997 [eksibit "ZI-2"] kepada EON [Surat Akujanji tersebut] antara lainnya bersetuju kepentingan dan faedah atas hartanah tersebut diserahhak kepada EON. IJM juga memberi akujanji menyerahkan Hakmilik Strata atas hartanah tersebut setelah pihak berkuasa mengeluarkannya berserta Memorandum Pindahmilik yang ditandatangani oleh IJM.
[7] IJM juga memberi akujanji untuk membenarkan EON melaksanakan subrogasi dan mengembalikan wang pinjaman RM292,000.00 sekiranya Hakmilik Strata gagal didaftarkan atas nama plaintif.
[8] Pinjaman oleh plaintif telah pun diluluskan dan Loan Cum Assignment ditandatangani pada 2 Ogos 1997 [LACA tersebut][eksibit "ZI-4"] antara plaintif dengan EON. IJM juga telah bersetuju dengan menandatangani LACA tersebut.
[9] Melalui LACA plaintif telah menyerahhak hartanah tersebut termasuk keseluruhan faedah perjanjian tersebut kepada Pengurus EON melalui Surat Kuasa Wakil yang tidak boleh dibatalkan [irrevocable] antara lainnya menandatangani Memorandum Pindahmilik dan melaksanakan pindahmilik.
[10] Melalui LACA, keseluruhan urusan pindahmilik hartanah tersebut diserahkan sepenuhnya kepada defendan dan IJM.
[11] IJM telah membuat tuntutan penuh baki harga jualan sebanyak RM292,000.00 terus kepada EON melalui suratnya bertarikh 27 Ogos 1997 [notis pembayaran kemajuan tersebut][eksibit "ZI-5"]. IJM telah mengesahkan plaintif hanya berhutang sebanyak RM292,000.00 tanpa apa-apa tunggakan lainnya.
[12] EON telah membayar harga baki jualan kepada IJM melalui peguamnya iaitu Tetuan Azham Halim & Norasiah bertarikh 17 September 1997 [eksibit "ZI-6"].
[13] Dalam tahun 2011, defendan telah bergabung dengan EON Bank Group yang memiliki EON Finance Berhad.
[14] Plaintif melalui surat peguamnya bertarikh 18 April 2013 memaklumkan kepada defendan antara lainnya niat plaintif dalam proses untuk menjual hartanah tersebut.
[15] Plaintif telah membuat carian rasmi di Pejabat Tanah dan Galian Seberang Perai Utara pada 2 Mei 2013 [eksibit "ZI-20"] berkaitan status hartanah tersebut. Plaintif mendapati hakmilik hartanah tersebut telah pun dikeluarkan sejak 1 April 2002 lagi. Hartanah tersebut dikenali sebagai Geran 57643/M1-9-36, Seksyen 2, Butterworth, SPU, Pulau Pinang. Hakmilik hartanah tersebut masih didaftarkan atas nama IJM dan dalam simpanan IJM.
[16] Defendan telah enggan dan/atau gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah Klausa 20(i) LACA untuk memastikan Hakmilik Strata dipindahmilik kepada nama plaintif selepas surat hakmilik dikeluarkan pada 1 April 2002. Kegagalan dipihak defendan ini merupakan pelanggaran dasar [fundamental breach] kepada LACA tersebut.
[17] Selanjutnya defendan telah enggan dan/atau gagal melaksanakan sub