2024 MarsdenLR 1841
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SEREMBAN
ABDUL SHANI @ GHANI A MANAP LWN. AZIZAH ABDUL MANAP & SATU LAGI
[Guaman Sivil No: NA-22NCvC-25-04/2021]
Plaintiff failed to prove a valid sale agreement for the property, leading to the dismissal of the claim and the affirmation of the defendants' ownership rights.
Headnote:(A) Akta Kontrak 1950 – Seksyen 30 – Tuntutan perlaksanaan spesifik untuk pindahmilik hartanah – Plaintif gagal membuktikan kewujudan perjanjian jual beli yang sah – Surat-Surat Akuan yang ditandatangani oleh Defendan-Defendan tidak mengandungi terma jual beli yang jelas – Tindakan Plaintif ditolak dengan kos RM15,000.00. (Paras 4, 49, 88)
(B) Isu kelayakan Defendan-Defendan sebagai pemilik berdaftar – Defendan-Defendan berjaya membuktikan hak mereka ke atas hartanah berdasarkan Surat Ikatan Amanah – Tuntutan balas Defendan-Defendan dibenarkan dengan kos RM10,000.00. (Paras 4, 78, 89)
Facts of the case: Pertikaian hakmilik hartanah antara adik-beradik yang melibatkan Surat Ikatan Amanah dan Surat-Surat Akuan yang ditandatangani tanpa pengetahuan Defendan-Defendan. (Paras 6-8)
Findings of Court: Mahkamah mendapati tiada perjanjian jual beli yang sah wujud antara pihak-pihak, dan Defendan-Defendan adalah pemilik berdaftar hartanah tersebut. (Paras 4, 78)
Issues: Adakah terdapat persetujuan untuk jual beli hartanah? Adakah Defendan-Defendan mengetahui hak mereka ke atas hartanah tersebut? (Paras 32, 53)
Ratio Decidendi: Mahkamah menegaskan bahawa tiada elemen tawaran dan penerimaan dalam Surat-Surat Akuan, dan tiada bukti yang menunjukkan Defendan-Defendan mengetahui hak mereka. (Paras 49, 60)
Result: Tuntutan Plaintif ditolak, tuntutan balas Defendan-Defendan dibenarkan.
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Di dalam kes ini melalui Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan, Plaintif menuntut terhadap Defendan-Defendan bagi mendapatkan satu perintah perlaksanaan spesifik bahawa Defendan-Defendan hendaklah memberikan semua dokumen perserahan yang perlu bagi pindahmilik hartanah di bawah Geran H.S (M) 1641, PT 3507 Mukim Repah, Daerah Tampin, Negeri Sembilan (dahulunya dikenali sebagai GM 175 Lot 475 Mukim Repah, Daerah Tampin, Negeri Sembilan) (Hartanah tersebut) dapat dilaksanakan di Pejabat Tanah; satu perintah bahawa Defendan-Defendan hendaklah membuat apa yang perlu bagi menyerahkan hakmilik Hartanah tersebut dan kesemua dokumen lain yang relevan serta menandatangani segala dokumen-dokumen yang relevan bagi memastikan bahawa pindahmilik Hartanah tersebut dapat disempurnakan dan didaftarkan di atas nama Plaintif dalam kes ini.
[2] Seterusnya, Defendan-Defendan melalui Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas telah memplidkan pembelaan bahawa pada setiap masa material Plaintif tidak pernah memaklumkan kepada Defendan-Defendan berkenaan dengan kewujudan satu (1) Surat Ikatan Amanah terhadap Hartanah tersebut yang memihak kepada Defendan-Defendan; Defendan-Defendan tidak mempunyai pengetahuan terhadap hak-hak Defendan-Defendan ke atas Hartanah tersebut ketika menandatangani Surat-Surat Akuan bertarikh 19 Ogos 2008 (Surat-Surat Akuan tersebut) yang disediakan oleh Plaintif dan Plaintif pada sepanjang masa material telah menyembunyikan fakta-fakta tentang hak-hak Defendan-Defendan ke atas Hartanah tersebut dan telah melakukan misrepresentasi sehingga menyebabkan Defendan-Defendan menandatangani Surat-Surat Akuan tersebut secara salah dan secara tidak teratur.
[3] Selanjutnya, Defendan-Defendan juga telah menuntut balas terhadap Plaintif bahawa Plaintif dan / atau mana-mana orang yang menduduki di atas Hartanah tersebut untuk menyerahkan milikan kosong Hartanah tersebut kepada Defendan-Defendan yang merupakan pemilik berdaftar Hartanah tersebut; deklarasi bahawa Surat-Surat Akuan yang ditandatangani oleh Defendan- Defendan tersebut adalah tidak sah dan terbatal; kaveat persendirian dengan No Perserahan 302/2015 bertarikh 1 Disember 2015 yang dimasukkan oleh Plaintif ke atas Hartanah tersebut (Kaveat tersebut) dibatalkan; Plaintif secara sendiri dan / atau melalui ejen-ejen dan / atau sesiapa sahaja dihalang daripada memasukkan kaveat ke atas Hartanah tersebut dan juga kos untuk tindakan ini.
[4] Setelah mendengar keterangan-keterangan daripada saksi-saksi kedua belah pihak Plaintif dan Defendan-Defendan, maka pada 13 Mac 2024, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terhadap Defendan- Defendan. Oleh itu, Mahkamah telah menolak tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan dengan kos sebanyak RM15,000.00 tertakluk kepada bayaran fi alokatur. Selanjutnya, Mahkamah juga mendapati bahawa Defendan-Defendan telah berjaya membuktikan tuntutan balasnya ke atas Plaintif. Oleh yang demikian, Mahkamah telah membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh Defendan-Defendan terhadap Plaintif dengan kos sebanyak RM10,000.00 tertakluk kepada bayaran fi alokatur.
[5] Plaintif merasa tidak berpuashati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah ini yang bertarikh pada 13 Mac 2024 tersebut di atas telah merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan ini.
Ringkasan Fakta Kes
[6] Di dalam tindakan ini, Plaintif dan Defendan-Defendan ("pihak- pihak") adalah merupakan adik-beradik sebapa dan mereka adalah merupakan anak-anak kandung (berbeza ibu) kepada bapa mereka iaitu Allahyarham Abdul Manap Bin Hussin ("Si Mati").
[7] Pihak-Pihak di dalam tindakan ini mempunyai pertikaian berhubung hakmilik Pihak-Pihak terhadap sebuah hartanah yang dahulunya dipegang oleh bapa mereka, Allahyarham Abdul Manap Bin Hussin ("Si Mati") sebagai pemegang amanah untuk Defendan-Defendan.
[8] Pada asalnya, hartanah tersebut dipegang di bawah Geran GM 175, Lot 475, Mukim Repah, Daerah Tampin, Neger