2021 MarsdenLR 1399
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KOTA BHARU
NORSHAFIQAH SAADI LWN. MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU
[Rayuan Sivil No: DA-12ANCVC-01-01/2021]
Kelewatan pemfailan memorandum kehadiran wajib dilengkapi dengan penjelasan munasabah agar mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memanjangkan masa pemfailan.
Headnote:(A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 – Aturan 3, k 5; Aturan 12, k 4; Aturan 92, k 4 – Permohonan untuk perlanjutan masa bagi memfailkan memorandum kehadiran – Mahkamah mendapati bahawa tiada penjelasan munasabah diberikan bagi kelewatan pemfailan memorandum kehadiran yang seharusnya dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas penyerahan writ saman. (Paras 28, 30)
(B) Penemuan mahkamah: Kelewatan selama 14 hari tidak boleh dibenarkan tanpa penjelasan yang munasabah sebagaimana dikehendaki di bawah KKM 2012.
Fakta kes: Perayu mengalami kecederaan setelah terjatuh akibat besi penutup longkang yang rosak semasa berjalan kaki. Permohonan Responden untuk melanjutkan masa bagi pemfailan memorandum kehadiran diadukan selepas tempoh 14 hari.
Findings of Court: Mahkamah membenarkan rayuan dan mengetepikan keputusan L/HMS.
Isu: Adakah Responden telah memberikan penjelasan munasabah bagi kelewatan pemfailan memorandum kehadiran?
Ratio Decidendi: Kelewatan pemfailan tidak dapat diterima tanpa penjelasan yang memadai dan prosedural.
Result: Rayuan dibenarkan dan kos sejumlah RM5,000 diberikan kepada Perayu.
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Rayuan dalam kes ini dibuat berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan (selepas ini dipanggil "L/HMS") yang membenarkan perlanjutan masa kepada Responden untuk memfailkan memorandum kehadiran selepas tempoh 14 hari tamat setelah diserahkan writ saman dan pernyataan tuntutan dengan sempurna.
[2] Perayu adalah seorang warganegara Malaysia dan pada masa material adalah seorang pejalan kaki di laluan pejalan kaki di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu, Kelantan.
[3] Responden pula adalah sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Fakta
[4] Pada 26 Februari 2018 jam lebih kurang 10.00 malam, Perayu yang berjalan kaki di laluan pejalan kaki telah memijak besi penutup longkang yang berlubang/rosak di laluan tersebut dan menyebabkan kaki kanannya terjatuh dan masuk ke dalam lubang longkang berkenaan. Perayu telah mengalami kecederaan dan kerosakan pada beberapa barang persendirian.
[5] Perayu kemudiannya memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 September 2020 terhadap Responden. Penyerahan secara kendiri dibuat pada 23 September 2020 kepada seorang kerani Responden dan mengakui menerimanya bagi pihak Responden (eksibit "NZZ-2" dalam affidavit penyampaian di ms 22, Rekod Rayuan).
[6] Sehingga 27 Oktober 2020 tiada memorandum kehadiran difailkan oleh Responden. Pada hari yang sama Perayu telah memfailkan "Perakuan Ketidak-hadiran" (ms 23, Rekod Rayuan).
[7] Selanjutnya Perayu juga memfailkan "Notis Janji Temu Pentaksiran Gantirugi dan ditetapkan tarikh 8 Disember 2020 untuk pendengarannya (ms 24-25, Rekod Rayuan).
[8] Pada 26 Oktober 2020, Responden telah memfailkan permohonan di Lampiran 5 untuk kebenaran memfailkan memorandum kehadiran di luar tempoh masa dan memfailkan pernyataan pembelaan. L/HMS telah membenarkan permohonan ini.
[9] Setakat ini tiada penghakiman ingkar dimasukan terhadap Responden.
Isu
[10] Isu untuk diputuskan mahkamah adalah sama ada Perayu memberikan penjelasan munasabah bagi membolehkan mahkamah menggunakan budibicara untuk membenarkan perlanjutan masa bagi memfailkan memorandum kehadiran.
Kes Perayu
[11] Responden telah diserahkan writ saman dan pernyataan tuntutan oleh Perayu pada 23 September 2021. Tiada pertikaian berhubung dengan penyerahan ini. Responden juga mengakui menerima surat dari peguamcara Perayu bahawa pengurusan kes akan diadakan pada 21.10.20 secara e-review (affidavit sokongan Responden dalam permohonan perlanjutan masa memfailkan memorandum kehadiran).
[12] Writ saman dan pernyataan tuntutan ini kemudiannya dirujuk ke Jabatan Undang-Undang dan juga ke Bahagian Infrastruktur Responden. Setelah mendapat kelulusan Yang di Pertua atau Setiausaha Responden, barulah peguambela dilantik pada 21 Oktober 2020. Pemfailan memorandum kehadiran juga difailkan pada hari yang sama.
[13] Adalah dihujahkan Responden sebagai satu organisasi yang besar dan mempunyai sebuah Jabatan Undang-Undang tidak seharusnya bertindak lewat dalam memfailkan memorandum kehadiran. Jabatan Undang-Undang yang diketuai oleh Penasihat Undang-Undang Responden, seharusnya bertindak berdasarkan undang- undang dan peruntukan yang telah ditetapkan.
Kes Responden
[14] Responden tidak berniat melewatkan pemfailan memorandum kehadiran ini. Sebagai sebuah organisasi yang mempunyai peraturan-peraturan sendiri, kelulusan diperlukan sama ada dari Yang di Pertua atau Setiausaha dalam urusan yang melibatkan Responden seperti tuntutan di mahkamah ini setelah melalui beberapa jabatan atau bahagian lain untuk ulasan.
[15] Kelulusan hanya diperolehi pada 18 Oktober 2021 dan peguamcara telah dilantik pada hari yang sama bagi tindakan susulan. Peguambela berkenaan telah memfailkan memorandum kehadiran pada hari yang sama. Disebabkan beberapa masalah teknikal dengan sistem pemfailan mahkamah, memorandum kehadiran hanya diproses oleh mahkamah pada 21 Oktober 2020. Kelewatan hanya berlaku selama 14 hari sahaja (tarikh akhir untuk pemfailan adalah pada 7 Oktob