2021 MarsdenLR 3039
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
PENDAKWA RAYA LWN. MOHD FAKHRUDDIN ABDULLAH
[Rayuan Jenayah No: KA-42S-22-11/2018]
Mandatori hukuman penjara untuk kesalahan merogol di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, dengan penekanan pada pelaksanaan hukuman secara serentak berdasarkan prinsip proximity dan continuity.
Headnote:(A) Kanun Keseksaan – Seksyen 376(3) – Mandatori hukuman penjara untuk kesalahan merogol – Tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan sebatan bagi kedua-dua pertuduhan – Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan hukuman tetapi perintahkan agar hukuman dijalankan secara serentak selepas mengambil kira prinsip perundangan dan faktor-faktor dalam menjatuhkan hukuman yang wajar. (Paras 1, 4, 5, 9, 10, 12, 39)
(B) Prinsip hukuman – Mahkamah Tinggi tidak akan mengubah hukuman kecuali jika ia jelas tidak mencukupi atau keterlaluan – Mahkamah menilai elemen-elemen seperti proximity of time dan continuity of action untuk memutuskan pelaksanaan hukuman berjalan secara serentak. (Paras 14, 18, 20)
(C) Kesalahan dan hukuman yang setimpal – Mahkamah menekankan kepentingan keselamatan awam dan pengajaran bagi tertuduh, dengan melihat kepada kepentingan awam dan kebajikan tertuduh. (Paras 25, 27, 30, 31)
PENGHAKIMAN
[1] Ini adalah rayuan daripada Tertuduh ("OKT") atas hukuman yang telah dikenakan oleh Mahkamah Sesyen bagi dua (2) pertuduhan pindaan di bawah subseksyen 376(3) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah kerana telah merogol penama XXX. Butir-butir pertuduhan adalah seperti berikut:
PERTUDUHAN PINDAAN PERTAMA
Bahawa kamu pada bulan 13 Julai 2016 jam lebih kurang 9.00 pagi bertempat di rumah tidak bernombor, Kg. Lubuk Tualang, di dalam daerah Sik, di dalam negeri Kedah Darul Aman, telah merogol XXX (No Kad Pengenalan: XXX) yang mana oleh kerana perhubungan kamu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang terpakai kepada kamu untuk berkahwin dengannya. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 376(3) Kanun Keseksaan .
PERTUDUHAN PINDAAN KEDUA
Bahawa kamu pada bulan 11 September 2016 jam iebih kurang 11.00 pagi bertempat di rumah tidak bernombor, Kg Lubuk Tualang, di dalam daerah Sik, di dalam negeri Kedah Darul Aman, telah merogol XXX (No Kad Pengenalan: XXX) yang mana oleh kerana perhubungan kamu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang terpakai kepada kamu untuk berkahwin dengannya. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 376(3) Kanun Keseksaan .
[2] Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mandatori penjara tidak kurang daripada 8 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
[3] OKT tidak mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan. Pendakwaan memanggil 9 orang saksi. Di akhir kes Pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen telah memanggil OKT untuk membela diri dan selepas mendengar keterangan saksi Pembelaan, mendapati bahawa pihak Pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes Pendakwaan dan Pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap OKT.
[4] Hakim Mahkamah Sesyen yang membicarakan kes ini kemudiannya telah mengenakan hukuman terhadap OKT bagi pertuduhan pindaan pertama, dengan 20 tahun penjara dan 10 kali sebatan, dan bagi pertuduhan pindaan kedua, dengan 20 tahun penjara dan 10 kali sebatan. Tarikh hukuman bagi pertuduhan pindaan pertama bermula dari tarikh ditangkap. Kedua-dua hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan.
[5] OKT telah merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan dan Mahkamah ini memutuskan untuk mengekalkan tempoh pemenjaraan dan sebatan. Walau bagaimanapun, Mahkamah memerintahkan supaya hukuman terhadap OKT dijalankan secara serentak.
[6] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, pihak Pendakwaan telah kemudiannya memasukkan Notis Rayuan pada 28 September 2021 untuk merayu hukuman yang diberikan oleh Mahkamah ini,
[7] Dalam membuat keputusan supaya hukuman terhadap OKT dijalankan secara serentak, Mahkamah telah mengambil kira perkara-perkara yang berikut:
(a) sama ada hukuman secara serentak yang dijatuhkan kepada OKT bertepatan dengan prinsip perundangan; dan
(b) sama ada ada hukuman penjara selama 20 tahun yang diperintahkan supaya berjalan secara berasingan itu dan 10 sebatan yang dijatuhkan kepada OKT adalah wajar.
[8] Mahkamah tidak berhasrat untuk mengganggu sabitan terhadap OKT malah tiada rayuan berkenaan dengan sabitan terhadapnya dalam kes ini. Mahkamah percaya kes ini telah didengar oleh Hakim Mahkamah Sesyen dengan sewajarnya dengan pengemukaan saksi-saksi yang telah dibawa oleh Pendakwaan di hadapannya.
[9] Pada asasnya, Mahkamah Tinggi dalam melaksanakan kuasa rayuannya tidak akan mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bicara melainkan jika hukuman itu jelas tidak mencukupi atau keterlaluan. Ini digariskan oleh Hakim Yeop Sani dalam kes PP v. Loo Coon Fatt , seperti yang berikut:
"The principles to be applied in imposing sentence however are the same in every case. The High Court sitting in exercise of its revisionary powers will no