2021 MarsdenLR 417
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
AZHAR AHMAD LWN. KOPERASI KARIAH MASJID AMBANGAN HEIGHTS KEDAH BERHAD
[Rayuan Sivil No: KA-12BNCvC-26-08/2020]
Tuntutan ganti rugi atas tort conversion perlu dipliding dengan spesifik; kegagalan ini menghilangkan keutuhan kes dan membatalkan keputusan mahkamah awal.
Headnote:(A) Akta Koperasi 1965 – Tuntutan ganti rugi – Plaintif, sebuah koperasi, menuntut ganti rugi setelah Defendan merampas lembu miliknya dari kandang pihak ketiga – Mahkamah berpendapat bahawa tuntutan berdasarkan tort conversion tidak didapati dalam pliding dan keputusan Hakim dibatalkan. (Paras 28-40)
(B) Prinsip pliding – Pihak-pihak terikat dengan pliding masing-masing; fakta yang tidak diplid tidak boleh dipertimbangkan – Pembatalan keputusan mahkamah atas kesalahan dalam memutuskan berdasarkan fakta yang tidak diplid. (Paras 31-38)
Facts of the case: Plaintif memfailkan tindakan terhadap Defendan atas dakwaan merampas 45 ekor lembu tanpa kebenaran. Defendan menafikan dakwaan tersebut dengan alasan lembu-lembu adalah milik Shamshuri bin Shaari.
Findings of Court: Mahkamah mendapati bahawa tuntutan Plaintif tidak didasarkan pada kausa tindakan tort conversion yang tepat – Oleh itu, keputusan HMS diketepikan.
Issues: 1) Adakah tuntutan tort conversion telah dipliding dengan betul? 2) Adakah Plaintif mampu membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian?
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan tort conversion perlu dipliding dengan tepat; kegagalan untuk berbuat demikian oleh Plaintif menyebabkan keputusan HMS diketepikan.
Result: Rayuan Defendan diterima dan keputusan HMS diketepikan.
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Rayuan ini telah difailkan oleh Perayu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini yang telah membenarkan rayuan Responden untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar yang bijaksana ("HMS") pada 12 Ogos 2020 berhubung dengan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif bertarikh 31 Mac 2019, dengan kos ditanggung oleh pihak masing-masing.
[2] Dalam keputusannya, HMS telah membenarkan tuntutan Plaintif untuk gantirugi khas sebanyak RM180,000.00, gantirugi kesusahan dan am yang akan ditaksir, faedah pada kadar 5% setahun serta kos sebanyak RM10,000.00.
[3] Dalam Penghakiman ini, Perayu dan Responden masing-masing akan dirujuk sebagai Plaintif dan Defendan seperti di Mahkamah Sesyen.
Latar Belakang
[4] Plaintif telah memfailkan Writ Saman (Lampiran 1) dan Pernyataan Tuntutan (Lampiran 2) terhadap Defendan pada 31 Mac 2019.
[5] Berdasarkan Pernyataan Tuntutan tersebut, Plaintif adalah sebuah koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1965 yang mempunyai alamat penyampaian di No 360, Jalan Kenanga 6/5, Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman.
[6] Defendan merupakan seorang individu yang beralamat penyampaian di No 599, Lorong 21, Taman Teja, 06010 Changloon, Kedah Darul Aman.
[7] Defendan mempunyai pekerjaan sebagai pengurus ladang, yang antara tugasnya ialah menguruskan penternakan lembu untuk dijual kepada Pihak Ketiga.
[8] Melalui satu (1) Program Coop Qurban ("Projek tersebut") yang dilancarkan pada 22 April 2018, satu (1) Koperasi yang dinamakan sebagai Koperasi Keluarga Tok Keteh Temerloh Berhad telah melantik Plaintif sebagai Pengusaha Ladang Satelit untuk Program Coop Qurban tersebut dan Koperasi Keluarga Tok Keteh Temerloh Berhad tersebut akan bertindak sebagai pembekal lembu kepada Plaintif dalam Projek tersebut.
[9] Bagi memenuhi kehendak Program tersebut, Koperasi Keluarga Tok Keteh Temerloh Berhad dan Plaintif telah bersetuju untuk berurus niaga bagi pembekalan dan/atau jual beli 100 ekor lembu dengan harga sebanyak RM367,000.00.
[10] Setelah urus niaga jual beli lembu tersebut disempurnakan antara kedua-dua pihak, lembu-lembu tersebut telah diletakkan untuk penjagaan di Kandang Penternakan Lembu di Bukit Selambau milik Shamshuri bin Shaari (No. K/P: 750102-02-8083) pada sekitar 12 Jun 2018 dan 13 Jun 2018. Lembu-lembu tersebut dihasratkan untuk dijual oleh Plaintif menjelang Hari Raya Aidiladha pada 22 Jun 2018.
[11] Walau bagaimanapun, hasrat Plaintif tersebut tidak dapat ditunaikan kerana Defendan didakwa telah bertindak merampas dan/atau mengambil 45 ekor lembu milik Plaintif daripada jagaan Shamshuri bin Shaari pada 22 Jun 2018.
[12] Menurut Plaintif, hal berkenaan dengan pengambilan 45 ekor lembu oleh Defendan dari kandang lembu milik Shamshuri bin Shaari tersebut ada dinyatakan dalam Laporan Polis Defendan bertarikh 22 Jun 2018.
[13] Susulan daripada itu, Shamshuri bin Shaari juga telah membuat satu Laporan Polis dengan menyatakan bahawa Defendan telah datang ke Kandang Penternakan Lembunya dan merampas dan/atau mengambil 45 ekor lembu milik Plaintif pada 22 Jun 2018.
[14] Plaintif selanjutnya mendakwa bahawa tindakan Defendan mengambil lembu-lembu milik Plaintif tersebut tanpa sebarang sebab yang munasabah amat memprejudiskan, merugikan dan mendatangkan kesusahan kepada Plaintif serta merosakkan imej Plaintif yang menjaga amanah ahlinya dan telah menafikan hak Plaintif untuk mendapatkan wang yang sepatutnya diperoleh hasil daripada penjualan lembu-lembu yang telah dirampas oleh Defendan tersebut.
[15] Oleh itu, Plaintif melalui peguamcaranya Tetuan Mohd Amirul Ramli & Co telah menyerahkan satu Notis Tuntutan kepada Defendan untuk menuntut pemulangan 45 ekor lembu pada saiz dan kualiti yang sama, dan/atau secara alternatifnya membayar jumlah nilai amaun 45 ekor lembu yang diambil Defendan tersebut tetapi telah gagal dan/atau enggan diendahkan dan/atau dipedulikan oleh Defendan.
[16] Menurut Plaint