2021 MarsdenLR 3230
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
NG TECK CHAI & SATU LAGI LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: JA-42S-(8 & 9)-08/2019]
Ketidakpatuhan prosedur dalam menerima keterangan tidak membatalkan kes pendakwaan jika keterangan lain yang sah ada, dan hukuman yang melebihi had akan dihapuskan.
Headnote:(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 – Seksyen 12(2) dan 39A(2) – Kanun Keseksaan – Seksyen 34 – Tertuduh didapati bersalah atas pemilikan dadah berbahaya jenis Heroin, Methamphetamine, dan Nimetazepam – Pertuduhan yang dihadapi termasuk pemilikan di bilik hotel dan di dalam kereta – Mahkamah memutuskan bahawa kehadiran testimoni saksi dan bukti fizikal adalah mencukupi untuk mensabitkan kesalahan. (Paras 1-6, 15, 36, 75-76)
(B) Prosedur Jenayah – Ketidakpatuhan kepada prosedur di bawah s 402B(2)(b) Kanun Tatacara Jenayah tidak menjejaskan keterangan saksi – Pengakuan bersumpah oleh saksi di mahkamah memenuhi objektif s 402B(2)(b) dan tiada miscarriage of justice yang berlaku. (Paras 18-26, 33, 75)
(C) Hukum Sebatan – Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah – Mahkamah membenarkan hukuman penjara dan sebatan ke atas tertuduh tetapi membatalkan sebatan yang melebihi had yang ditetapkan oleh undang-undang. (Paras 67-76)
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Ini merupakan rayuan oleh perayu-perayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Tuan Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana (HMS) pada 14 Ogos 2019.
Latar Belakang
Pertuduhan
[2] Perayu-perayu telah dipertuduhkan dengan pertuduhan-pertuduhan seperti berikut:
"No Rayuan: JA-42S-8-08/2019 (No Kes Tangkap: JA-62D-172-10/2018)
Pertuduhan Pertama
Bahawa kamu bersama-sama pada 22 November 2016 jam lebih kurang 1700hrs di bilik No 9, di alamat No 25, Jalan Inang 8, Taman Skudai 81300 Johor Bahru, dalam daerah Johor Bahru, dalam negeri Johor Darul Takzim telah memiliki dadah berbahaya iaitu Heroin seberat bersih 9.57gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan ."
Pertuduhan Kedua
Bahawa kamu bersama-sama pada 22 November 2016 jam lebih kurang 1700hrs di bilik No 9, di alamat No 25, Jalan Inang 8, Taman Skudai 81300 Johor Bahru, dalam daerah Johor Bahru, dalam negeri Johor Darul Takzim telah memiliki dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat bersih 42.70gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
Pertuduhan Ketiga
Bahawa kamu bersama-sama pada 22 November 2016 jam lebih kurang 1700hrs di bilik No 9, di alamat No 25, Jalan Inang 8, Taman Skudai 81300 Johor Bahru, dalam daerah Johor Bahru, dalam negeri Johor Darul Takzim telah memiliki dadah berbahaya iaitu Nimetazepam seberat bersih 0.09gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 12(3) Akta yang sama dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
No Rayuan: JA-42S-9-08/2019 (No Kes Tangkap: JA-62S-173-10/2018)
Pertuduhan
Bahawa kamu bersama-sama pada 22 November 2016 jam lebih kurang 1745hrs di dalam m/kar jenis Mercedez Benz no pendaftaran WQM7100 yang diletakkan di tepi jalan hadapan rumah tumpangan alamat No 25, Jalan Inang 8, Taman Skudai 81300 Johor Bahru, dalam daerah Johor Bahru, dalam negeri Johor Darul Takzim telah memiliki dadah berbahaya iaitu Heroin seberat bersih 9.71gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan ."
[3] Nombor kes asal bagi kedua-dua kes adalah 62D-25-02/2017 dan 62D-26-02/2017. Kedua-dua kes tersebut telah dilepaskan tanpa dibebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal) oleh mahkamah pada 2 Oktober 2018 atas sebab ketidakhadiran saksi. Kedua-dua perayu telah dituduh semula pada 2 Oktober 2018 atas pertuduhan yang sama tetapi di atas nombor kes yang baru yakni JA-62D-172-10/2018 dan JA-62S-173-10/2018.
Keputusan Tuan HMS
[4] Selepas dibicarakan, perayu-perayu telah didapati bersalah dan disabitkan di bawah kesemua pertuduhan dan telah dijatuhkan hukuman seperti berikut:
Untuk kes JA-42S-8-08/2019
Perayu Pertama:
Pertuduhan Pertama: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan
Pertuduhan Kedua: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan
Pertuduhan Ketiga: Penjara 4 tahun dari tarikh tangkap
Perayu Kedua:
Pertuduhan Pertama: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap
Pertuduhan Kedua: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap
Pertuduhan Ketiga: Penjara 4 tahun dari tarikh tangkap
Untuk Kes JA-42S-9-08/2019
Perayu Pertama: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan
Perayu Kedua: Penjara 10 tahun dari tarikh tangkap
[5] Disebabkan jumlah hukuman rotan terhadap Perayu Pertama adalah 30 sebatan yang mana ianya telah melebihi had rotan yang dibenarkan di bawah s 288 Kanun Tatacara Jenayah iaitu 24 sebatan sahaja. Maka Tuan HMS telah menggantikan 6 sebatan yang selebihnya dengan hukuman penjara 6 bulan.
Fakta Kes
[6] Pada 22 November 2016 jam lebih kurang 5.00 petang, SP1 (pengadu) telah bersama-sama 7 anggota membuat serbuan di