2022 MarsdenLR 2365
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
SHAPIEI ZAINAL ABIDIN & YANG LAIN LWN. KETUA POLIS DAERAH SHAH ALAM & YANG LAIN
[Guaman No: 21NCvC-74-11/2013]
Mahkamah membenarkan rayuan plaintif dan mengubah award gantirugi daripada RM60,000 kepada RM100,000 bagi setiap plaintif atas alasan kesakitan dan kesengsaraan akibat tindakan defendan yang cuai hingga menyebabkan kematian.
Headnote:(A) Akta Undang-Undang Sivil 1956 – Seksyen 7, Seksyen 8 – Taksiran gantirugi atas kematian tiga orang akibat tembakan oleh pegawai polis – Mahkamah mengubah Award Pendaftar yang mengizinkan gantirugi am sebanyak RM60,000 kepada RM100,000 bagi setiap plaintif untuk kesakitan dan kesengsaraan – Gantirugi untuk tanggungan di bawah s 7 CLA dan untuk manfaat estet di bawah s 8 CLA juga ditentukan untuk setiap plaintif. (Paras 1-3, 34-36, 66)
(B)
Misfeasans dalam jawatan awam - Award gantirugi untuk misfeasans ditetapkan RM100,000 bagi setiap si mati, mengingat tindakan defendan yang cuai dan pelanggaran hak asasi. (Paras 52-66)
(C)
Gantirugi teladan tidak dibenarkan kerana plaintif bukan mangsa tindakan defendan, manakala gantirugi teruk ditetapkan sebanyak RM100,000 bagi setiap si mati. (Paras 57-65)
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Ini adalah rayuan perayu-perayu / plaintif-plaintif terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar ("Pendaftar") pada 18 Jun 2019 berhubung dengan prosiding taksiran gantirugi di mana Pendaftar telah membuat perintah responden-responden / defendan-defendan membayar kepada perayu-perayu / plaintif- plaintif gantirugi seperti berikut:
1) Gantirugi am merangkumi serang sentuh, kesakitan dan kesengsaraan adalah dibenarkan secara global sebanyak RM60,000.00;
2) Gantirugi untuk manfaat estet di bawah s 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 ("CLA") ditolak;
3) Gantirugi untuk tanggungan di bawah s 7 CLA dibenarkan hanya terhadap Plaintif Kelima dan Keenam bagi jumlah RM8,000.00;
4) Gantirugi untuk misfeasans dalam jawatan awam dibenarkan secara global sebanyak RM100,000.00;
5) Gantirugi teruk dibenarkan sebanyak RM10,000.00 bagi setiap Si Mati;
6) Gantirugi khas dibenarkan bagi setiap Si Mati sebanyak RM3,000.00 bagi kos pengebumian;
7) Faedah terhadap jumlah keseluruhan penghakiman pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman; dan
8) Kos permohonan sebanyak RM2,000.00 dibayar oleh plaintif-plaintif kepada defendan-defendan.
Perintah gantirugi di atas akan disebut sebagai "Award Pendaftar".
[2] Setelah meneliti Rekod Rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Mahkamah ini telah membenarkan rayuan perayu-perayu dan mengenepikan Award Pendaftar dan membuat award setakat mana ia melibatkan award ke atas gantirugi yang dinyatakan berikut:
a) gantirugi am bagi serang sentuh, kesakitan dan kesengsaran award dibenarkan sebanyak RM100,000.00 bagi setiap perayu Pertama dan Kedua, perayu Ketiga dan Keempat, dan perayu Kelima dan Keenam.
b) tuntutan perayu Ketiga dan Keempat di bawah s 7 CLA dibenarkan RM700 x 16 tahun = RM11.200.00.
c) tuntutan estet di bawah s 8 CLA dibenarkan sebanyak RM100,000.00 bagi setiap perayu Pertama dan Kedua, perayu Ketiga dan Keempat, dan perayu Kelima dan Keenam.
d) gantirugi bagi misfeasans dalam jawatan awam dibenarkan sebanyak RM100,000.00 bagi setiap perayu Pertama dan Kedua, perayu Ketiga dan Keempat, dan perayu Kelima dan Keenam.
e) gantirugi teruk dibenarkan sebanyak RM100,000.00 bagi setiap perayu Pertama dan Kedua, perayu Ketiga dan Keempat, dan perayu Kelima dan Keenam.
f) gantirugi teladan dibenarkan sebanyak RM100,000.00 bagi setiap perayu Pertama dan Kedua, perayu Ketiga dan Keempat, dan perayu Kelima dan Keenam.
g) Kos RM5,000.00 dibayar kepada perayu-perayu.
Alasan Keputusan Dikemukakan Di Bawah.
[3] Dalam Alasan Penghakiman ini, perayu-perayu akan dirujuk sebagai "plaintif-plaintif" dan Responden-Responden akan dirujuk sebagai "Defendan-Defendan".
Ringkasan Fakta Utama
[4] Plaintif Pertama dan Kedua merupakan bapa dan ibu serta pentadbir harta pusaka si mati pertama, Muhammad Shamil Hafiz bin Shapiei, ("Si Mati Pertama").
[5] Plaintif Ketiga dan Keempat merupakan ibu dan kakak sulung pentadbir harta pusaka si mati kedua, Mohd Hairul Nizam bin Tuah ("Si Mati Kedua").
[6] Manakala Plaintif Kelima dan Keenam merupakan bapa dan ibu serta pentadbir harta pusaka si mati ketiga, Muhamad Hanafi bin Omar ("Si Mati Ketiga").
[7] Si Mati Pertama, Si Mati Kedua dan Si Mati Ketiga secara bersama-sama akan disebut sebagai "Si Mati-Si Mati".
[8] Pada 13 November 2010, lebih kurang jam 4 pagi, Si Mati-Si Mati telah ditembak oleh defendan Kelima sehingga Kesebelas. Si Mati-Si Mati telah meninggal dunia akibat tembakan di kepala dan / atau di dada, akibat penembakan dan tindakan anggota-anggota polis tersebut.
[9] Dalam bulan November 2013, plaintif-plaintif sebagai pentadbir harta pusaka Si Mati-Si Mati telah memulakan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi terhadap defendan-defendan di bawah s 8 CLA dan juga menuntut gantirugi atas serangan dan serang sentuh, misfeasans awam dan kecuaian menjalankan tugas oleh responden kelima sehingga ketujuh yang menembak sehingga menyebabkan kematian Si Mati - Si Mati. Manakala responden Pertama sehingga Keempat didakwa bertanggungan secara vikarius.
[10] Plaintif-plaintif menuntut d