2024 MarsdenLR 2925
MAHKAMAH TINGGI MALAYA MELAKA
PENDAKWA RAYA LWN. MOHD SHAM IBRAHIM
[Perbicaraan Jenayah No: MA-45SOM-9-04/2019]
Peruntukan s 35 ATIPSOM mengatasi s 18A SOSMA dalam menentukan kebolehterimaan keterangan pengakuan tertuduh di bawah ATIPSOM.
Headnote:(A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 - Seksyen 26A - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - Seksyen 18A - Kebolehterimaan keterangan pengakuan tertuduh di bawah ATIPSOM dan SOSMA - Mahkamah memutuskan bahawa s 35 ATIPSOM adalah terpakai dan bukan s 18A SOSMA dalam menentukan kebolehterimaan keterangan pengakuan tertuduh. (Paras 24)
(B) Prinsip generalia specialibus non derogant - Mahkamah menegaskan bahawa peruntukan khusus dalam ATIPSOM mengatasi peruntukan umum dalam SOSMA. (Paras 21)
(C) Hujahan Pihak-Pihak - Pihak Pendakwaan berhujah bahawa s 18A SOSMA terpakai, sementara Peguambela menegaskan perlunya mempertimbangkan peruntukan ATIPSOM. (Paras 6)
Facts of the case:
Tertuduh dituduh di bawah s 26A ATIPSOM kerana menyeludup migran. Pihak Pendakwaan memohon untuk mengemukakan rakaman percakapan tertuduh sebagai keterangan melalui s 18A SOSMA, namun dibantah oleh Pembelaan. (Paras 2)
Findings of Court:
Mahkamah memutuskan bahawa s 35 ATIPSOM, bukan s 18A SOSMA, adalah peruntukan terpakai untuk kebolehterimaan keterangan pengakuan tertuduh. (Paras 24)
Issues: Pertimbangan sama ada s 18A SOSMA boleh digunakan dalam kes di bawah ATIPSOM dan kesan peruntukan ATIPSOM terhadap kebolehterimaan keterangan. (Paras 17)
Ratio Decidendi: Mahkamah berpegang kepada prinsip generalia specialibus non derogant, di mana peruntukan khusus dalam ATIPSOM mengatasi peruntukan umum dalam SOSMA. (Paras 21)
Result: Kebolehterimaan keterangan pengakuan tertuduh tidak diterima. (Paras 24)
PENGHAKIMAN
Perkara Dl Hadapan Mahkamah
[1] Ini adalah satu ketetapan atau "ruling" serta alasan keputusan terhadap persoalan samada di bawah satu pertuduhan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ('ATIPSOM') satu pengakuan tertuduh di dalam rakaman percakapan yang diberikan kepada Pegawai Penyiasat di bawah s 112 Kanun Tatacara Jenayah boleh diterima sebagai keterangan di bawah s 18A Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ('SOSMA').
Latar Belakang
[2] Tertuduh telah dituduh dengan satu kesalahan di bawah s 26A ATIPSOM kerana melakukan perbuatan penyeludupan 5 migran tanpa izin. Semasa Pemeriksaan Utama SP4 ('Pegawai Penyiasat') saksi itu telah menyatakan Tertuduh telah mengaku menyeludup migran yang terkait semasa memberi rakaman percakapannya dan pada ketika itu pihak Pendakwaan telah memohon kepada Mahkamah ini untuk mengemukakan rakaman percakapan itu sebagai keterangan kes Pendakwaan melalui pemakaian s 18A Akta SOSMA. Permohonan itu telah dibantah oleh pihak Pembelaan.
[3] Mahkamah telah mengarahkan kedua-dua pihak Pendakwaan dan Pembelaan untuk memasukkan hujahan secara bertulis untuk pertimbangan Mahkamah ini. Setelah meneliti dan mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak Mahkamah membuat dapatan dan ketetapan seperti berikut.
Hujahan Pihak-Pihak
[4] Pihak Pendakwaan menghujahkan SOSMA adalah satu Akta yang khusus mengenai tatacara perbicaraan kes keselamatan dan mengandungi peruntukan yang khusus mengenai penerimaan keterangan. Di dalam perbicaraan kes semasa peruntukan yang terkait adalah s 18A. Seksyen itu memperuntukkan:
"Apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah boleh diterima sebagai keterangan."
[5] Oleh kerana pertuduhan didalam kes semasa adalah di bawah s 26A ATIPSOM dan kesalahan itu disenarai di dalam Jadual Pertama SOSMA sebagai kesalahan keselamatan, maka dihujahkan s 18A SOSMA adalah terpakai di dalam kes ini. Rujukan telah dibuat kepada keputusan di dalam kes Pendakwa Raya lwn. Siti Noor Aishah Atam; [2017] 7 MLJ 461; PP v. Abu Hasan Chan Abdullah; PP v. Azroy Achoi; [2018] 9 MLJ 702; [2018] 8 CLJ 762; [2018] 4 AMR 466; dan Pendakwa Raya lwn. Jusniawati Abdul Ghani yang telah memutuskan s 18A SOSMA adalah terpakai dalam penerimaan keterangan di dalam kes-kes keselamatan. Di dalam kes Aszroy Achoi Mahkamah memutuskan seperti berikut:
"[23] Counsel for accused objected to the statement on the ground that it is not admissible under the Criminal Procedure Code. I overruled the objection as the SOSMA is a special law that governs trials of security offences. In accordance with the basic principle of statutory interpretation captured in the Latin maxim generalia specialibus non derogant which means that the general provisions of the law must yield to special provisions of the law, I hold that s 18 overrides any impediment to the admission of the said statement that is found in the Criminal Procedure Code or the Evidence Act 1950. In fact, s 18 is found in Part VII of the SOSMA and s 17 enacts that Part VII shall have effect notwithstanding any inconsistency with the Evidence Act 1950.
[24] I find support for the view in the unreported cases of Pendakwa Raya lwn. Siti Noor Aishah Atam; [2017] 7 MLJ 461 and Pendakwa Raya v. Jusninawati Abdul Ghani that was brought to my attention by the learned DPP. In the said cases, the court held that a confessionary statement of an accused person can be admitted under s 18A without regard to the provisions of the Criminal Procedure Code and the Evidence Act 1950."
[6] Peguambela untuk Tertuduh pula menghujahkan walaupun s 18A SOSMA adalah peruntukan khas yang terpakai untuk kes-kes keselamatan, namun Mahkamah tidak boleh mengenepikan peruntukan ss 5(2) dan 35 ATIPSOM dalam pertimbangan samada s 18A SOSMA terpakai untuk satu pertuduhan di bawah ATIPSOM.
[7] Seksyen 5(2) ATIPSOM memperuntukkan:
(1) Peruntukan Akta ini hendaklah m