2021 MarsdenLR 3065
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
ABDUL AZIZ ABDUL SAMAD LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: JA-42(R)(A)-01-11-2017]
The presumption of innocence remains paramount, necessitating the prosecution to prove guilt beyond a reasonable doubt. The accused cannot bear the burden to demonstrate the source of funds in corruption charges without clear evidence.
Headnote:(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 – Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan – Pertuduhan rasuah – Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan perayu/OKT dan membatalkan sabitan rasuah setelah membuktikan bahawa tiada bukti yang jelas menunjukkan permintaan dan penerimaan suapan telah berlaku – Hakim Mahkamah Sesyen didapati telah tersalah arah dalam menilai keterangan saksi dan beban pembuktian. (Paras 11, 22, 31, 130)
Facts of the case: Perayu/OKT didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000.00 untuk menjamin perolehan projek daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Setelah diperhitungkan, Mahkamah Rayuan mendapati tidak cukup bukti untuk membuktikan sabitan tersebut.
Findings of Court: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sabitan dan hukuman yang dikenakan tidak selamat dan memerintahkan perayu dilepas dan dibebaskan.
Issues: Isu utama adalah sama ada terdapat kes prima facie ke atas perayu/OKT dan sama ada beban pembuktian ke atas perayu.
Ratio Decidendi: Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, dan HMS terkhilaf dalam mempertimbangkan keterangan saksi serta beban bukti.
Result: Sabitan dan hukuman di Mahkamah Sesyen diketepikan.
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Perayu/OKT telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap dua (2) pertuduhan meminta dan menerima rasuah di bawah s 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan satu pertuduhan pilihan di bawah s 165 Kanun Keseksaan.
[2] Perayu/OKT mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan tersebut dan telah meminta untuk dibicarakan. Pihak responden/TPR telah memanggil 32 (tiga puluh dua) orang saksi untuk memberi keterangan bagi membuktikan kes pendakwaan.
[3] Di akhir kes pendakwaan pada 29 November 2013, Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana (HMS), telah memutuskan bahawa pihak responden/ TPR telah gagal membuktikan suatu kes prima facie ke atas perayu/OKT dan dengan itu, perayu/OKT telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.
[4] Terkilan dengan keputusan HMS tersebut, pihak responden/TPR telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
[5] Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan responden/TPR dan pihak responden/TPR kemudiannya telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia.
[6] Pada 14 Julai 2016 Mahkamah Rayuan kemudiannya telah membenarkan rayuan responden/TPR dan memutuskan pihak responden/TPR telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut ke atas perayu/OKT dan memerintahkan supaya perayu/OKT dipanggil untuk membela diri di hadapan HMS yang sama.
[7] Berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan tersebut, HMS kemudiannya telah memanggil perayu/OKT untuk membela diri di mana perayu/OKT telah memilih untuk memberikan keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi tanpa mengemukakan mana-mana saksi pembelaan yang lain.
[8] Pada 25 Oktober 2017 HMS telah mendapati perayu/OKT gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan telah membuat keputusan perayu/OKT bersalah dan disabitkan atas pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap perayu/OKT.
[9] Setelah mendengar rayuan mitigasi daripada perayu/OKT melalui peguam perayu/OKT dan responden/TPR yang terpelajar, HMS telah menjatuhkan hukuman seperti berikut:
(a) Pertuduhan Pertama
Penjara 2 (dua) tahun mulai dari tarikh hukuman (25 Oktober 2017) dan denda RM75,000.00. Kalau tidak bayar 12 (dua belas) bulan penjara.
(b) Pertuduhan Kedua (Pindaan)
Penjara 2 (dua) tahun mulai dari tarikh hukuman (25 Oktober 2017) dan denda RM75,000.00. Kalau tidak bayar 12 (dua belas) bulan penjara.
(c) Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak.
[10] Terkilan dengan keputusan HMS tersebut, perayu/OKT telah mengemukakan rayuan ke mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman tersebut. Tiada rayuan balas dikemukakan oleh responden/TPR dalam kes ini.
[11] Setelah mendengar rayuan perayu/OKT dan setelah mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak serta meneliti segala dokumen dan Rekod Rayuan dan Rekod Rayuan Tambahan terutamanya alasan penghakiman dan nota keterangan, mahkamah ini telah memutuskan rayuan perayu/ OKT terhadap sabitan dan hukuman adalah bermerit. Rayuan perayu/OKT terhadap sabitan dan hukuman adalah dibenarkan. Perintah HMS bertarikh 25 Oktober 2017 adalah diketepikan dan perayu/OKT dilepas dan dibebaskan terhadap kedua-dua pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya.
[12] Pihak responden/TPR tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah ini dan telah merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pertuduhan
[13] Pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap perayu/OKT adalah seperti yang berikut:
PERTUDUHAN PERTAMA
"Bahawa kamu pada satu tarikh yang tidak tentu di dalam bulan Disember 2010 telah secara rasuah meminta bagi diri kamu satu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM15,000.00 daripada Mohamad Anal Bin Talhah (No. K/P: 710531-01-5735) seorang kontraktor sebagai dorongan bagi melakukan suatu transaksi yang dicadangkan berlaku di mana kamu sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, akan kononnya menolong Mohammad Anal