1997 MarsdenLR 274
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
LAMIN MOHD YUNUS PMR ABU MANSOR ALI HMR AHMAD FAIRUZ HMR
GERAK INDERA SDN BHD
versus
FARLIM PROPERTIES SDN BHD & SATU RAYUAN LAIN
RAYUAN SIVIL NO: P-02-771-1996 & P-02-772-1996
Decided On : 05-22-97
Bagi pihak perayu - VK Lingam (W Satchithanandhan & Tan Hiang Joo bersamanya);T/n Sykt Ng & Anuar Bagi pihak responden - Robert Lazar; T/n. Shearn Delamore & CoRayuan Sivil No: P-02-772-1996 Bagi pihak perayu - Joseph Yeo (HL Oon bersamanya); T/n Mohd Imtiaz, Wong & Oon Bagi pihak responden - Robert Lazar; T/n. Shearn Delamore & Co[Rayuan dari Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang, Guaman Sivil No: 22-307-1996]Dilaporkan oleh WA Sharif
Ahmad Fairuz HMR:
Perayu dalam rayuan P-02-771-96 adalah defendan yang ketujuh dalam Guaman Sivil 22-307-96 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Defendandefendan pertama hingga keenam dalam guaman sivil itu adalah perayu-perayu dalam Rayuan Sivil P-02-772-96. Defendan-defendan pertama hingga keenam ini adalah benefisiari-benefisiari harta pesaka Chor Bah Say @ Chor Bar Say (simati). Chor Phaik Sim (Sim) dan Chor Phaik Har (Har) adalah juga benefisiari-benefisiari harta pesaka simati itu. Hanya 276 bahagian daripada tanah yang dikenali sebagai Ladang Air Itam menjadi harta pesaka simati. 276 bahagian itu adalah masih tidak dibahagikan (undivided). Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd pula adalah tuan punya berdaftar bagi semua tanah-tanah dalam Ladang Air Itam itu. Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd adalah juga pemegang amanah atas 276 bahagian berkenaan.
Pada 23 Januari 1992, Chong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan defendan-defendan pertama hingga keenam (selepas ini dirujuk sebagai perayu-perayu benefisiari) telah menandatangani dua perjanjian dengan responden (dalam rayuan-rayuan ini atau plaintif dalam G.S. 22-307-96). Mengikut perjanjian-perjanjian itu Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari bersetuju untuk menjualkan kepada responden 276 bahagian berkenaan. Sim dan Har, sungguhpun disebutkan dalam perjanjian-perjanjian itu sebagai penjual-penjual, enggan menandatangani perjanjian-perjanjian itu. Malah, mereka telah mengkaveatkan tanah berkenaan. Bagaimanapun, atas permohonan responden, kaveat itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Sim dan Har kemudiannya merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap pembatalan itu. Mahkamah Persekutuan telah merizabkan keputusannya. Selain dari ini Sim dan Har juga telah mengfailkan Guaman Sivil No. 22-219-94 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Kesemua perayu-perayu benefisiari dan responden didakwa dalam guaman sivil itu. Yang dituntut dalam guaman sivil itu ialah deklarasi bahawa kedua-dua perjanjian-perjanjian jualbeli itu adalah tidak sah. Responden dan perayu-perayu benefisiari telah memohon agar tuntutan itu dibuang. Permohonan itu masih belum dibicarakan. Sementara itu, Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari telah, melalui Saman Pemula No. 326/1994 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, memperolehi perintah agar amanah atas hartanah dalam harta pesaka simati ditamatkan dan hartanah berkenaan dibahagi-bahagikan kepada benefisiari-benefisiari. Sim dan Har merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap perintah itu. Pada 1 April 1996 rayuan mereka ditolak. Kini mereka telah memohon untuk kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan terhadap penolakan rayuan mereka itu.
Dalam keadaan-keadaan seperti dihuraikan di atas, Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari telah mengambil tindakan menamatkan kedua-dua perjanjian jualbeli itu. Ini adalah kerana responden telah gagal memberi jaminan bank seperti dikehendaki oleh perjanjian-perjanjian itu. Selepas penamatan itu, Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari telah menjualkan bahagian-bahagian mereka masing-masingnya kepada perayu dalam P-02-771-96 (selepas ini dirujuk sebagai perayu GISB). Perayu GISB kemudiannya telah memasukkan kaveat atas tanah-tanah berkenaan. Dan pada 17 April 1996 tanah-tanah itu telah dipindahmilikkan kepada perayu GISB. Pada 8 May 1996, responden, melalui Saman Pemula No. 24-365-96, pohon, antara lainnya, deklarasi bahawa kedua-dua perjanjian jualbeli itu adalah masih sah dan berkuatkuasa. Responden juga pohon injunksi bagi menghalang Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari daripada memindahmilik, menyerahak (assign), menggadai, memajak atau membuat apa-apa urusan atas tanah-tanah itu. Pada 27 September 1996, responden telah memasukkan G.S. No. 22-307-96. Melalui guaman sivil ini responden menuntut, antara lainnya, supaya ianya diberi injunksi untuk menghalang Choong Lye Hock Estate Sdn Bhd dan perayu-perayu benefisiari daripada mem