2025 MarsdenLR 4907
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
SUFIAN SULAIMAN LWN. PENDAKWA RAYA
[Permohonan Jenayah: W-09-204-08/2020]
The court upheld the conviction for rape, emphasizing that procedural irregularities did not result in substantial injustice, and the evidence presented was relevant and admissible.
Headnote:(A) Kanun Keseksaan - Seksyen 376(1) - Kanun Tatacara Jenayah - Seksyen 307, 308, 422 - Kes rogol - Pemohon didapati bersalah merogol mangsa dan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 5 sebatan, kemudian dirayu dan hukuman dipinda kepada 12 tahun penjara - Isu utama termasuk kegagalan Hakim Perbicaraan menandatangani alasan penghakiman dan keterangan prejudis yang tidak diketepikan - Mahkamah Rayuan menolak kedua-dua hujah tersebut, menegaskan tiada ketidakadilan substansial berlaku. (Paras 9, 10, 34, 35, 50)
(B) Hak untuk perbicaraan adil - Mahkamah menegaskan bahawa pemohon diberikan peluang untuk berhujah dan tiada pelanggaran hak keadilan prosedur. (Paras 40, 49)
(C) Keterangan prejudis - Mahkamah memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan adalah relevan dan tidak menyebabkan ketidakadilan. (Paras 37, 38)
PENGHAKIMAN
Mukadimah
[1] Pendakwaan terhadap pemohon / perayu bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan seperti yang berikut:
"Bahawa kamu pada hujung bulan Julai 2016 di antara jam lebih kurang 3.00 pagi hingga 4.00 pagi di alamat No 77 Jalan 21/144A Taman Bukit Cheras di dalam Daerah Dang Wangi di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah merogol Purwaningsih (No Pasport: B2008748). Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 376(1) Kanun Keseksaan ."
HUKUMAN: Jika disabitkan kesalahan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai (20) dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
[2] Pemohon tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memohon untuk dibicarakan. Seramai sebelas (11) orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
[3] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana dengan berpandukan kes telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap pemohon dan memanggil pemohon untuk membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
[4] Pemohon memilih untuk memberikan keterangannya secara bersumpah di kandang saksi dan memanggil dua (2) orang saksi pembelaan iaitu pemohon sendiri (SD1) dan Haslina binti Hasan (isteri pemohon / SD2).
[5] Di akhir kes pembelaan pada 18 Mei 2018, pemohon telah didapati bersalah, disabitkan dan dikenakan hukuman pemenjaraan selama empat belas (14) tahun dari tarikh jatuh hukum dan 5 kali sebatan.
[6] Terkilan dengan keputusan tersebut, pemohon telah memfailkan satu notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
[7] Pada 28 Ogos 2020, Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana telah menolak rayuan pemohon terhadap sabitan dan hukuman dan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
[8] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, pada tarikh yang sama juga (28 Ogos 2020) pemohon telah memfailkan satu notis rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.
[9] Pada 27 Julai 2023, Panel Mahkamah Rayuan Pertama telah menolak rayuan pemohon terhadap sabitan manakala rayuan pemohon terhadap hukuman dibenarkan di mana hukuman pemenjaraan selama empat belas (14) tahun dari tarikh jatuh hukum dan lima (5) kali sebatan telah digantikan dengan hukuman pemenjaraan selama dua belas (12) tahun bermula dari tarikh 27 Julai 2023. Hukuman lima (5) sebatan dikekalkan. Sekadar untuk diulangi, isu-isu utama yang diketengahkan oleh peguam pemohon di dalam rayuan ini adalah seperti berikut:
(i) Sabitan terhadap pemohon tidak boleh dikekalkan kerana kegagalan Hakim Perbicaraan untuk menandatangani alasan penghakimannya dan perintah mahkamah; dan
(ii) Hak pemohon untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama telah dikompromi bila Hakim Bicara gagal untuk menghapuskan (expunge) keterangan-keterangan prejudis (prejudicial evidence) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaaan yang tidak sama sekali mempunyai kaitan dengan pertuduhan.
[10] Namun begitu, kedua-dua penghujahan ini tidak diterima dan ditolak oleh Panel Mahkamah Rayuan Pertama. Alasan yang berikan oleh Panel Mahkamah Rayuan Pertama adalah seperti yang berikut dan kami petik:
Mahkamah (Dengan sebulat suara):
"Berkenaan hujah pertama bahawa Alasan Penghakiman tidak ditandatangani oleh Hakim Mahkamah Sesyen (HMS), di bawah peruntukan s 307(3A) dan 308 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang menggunakan dengan perkataan "hendaklah/shall", Mahkamah ini berpendapat bahawa peruntukan sedemikian bukanlah mandatori memandangkan terdapat s 422(a) CPC yang memberi kuasa kepada Mahkamah, dibaca bersama-sama s 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman (proviso) - andaikata tiada salah laksana keadilan, ketidakpatuhan ini boleh dipulihkan. Mahkamah sebulat suara berpendapat tiada salah laksana keadilan kerana walaupun Alasan Penghakiman tidak ditandatangani, Peguam Perayu yang terpelajar berjaya memfailkan Petisyen Rayuan dan Hujah B