2014 MarsdenLR 439
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN LWN. USAHA MAAMOR BERSATU SDN BHD
[Guaman Sivil No: 22NCvC-328-12-2012]
Defendan bertanggungjawab membayar baki RM1,600,000 kepada plaintif walaupun tanpa perjanjian formal. Doktrin estopel tidak terpakai, dan defendan gagal membuktikan kesalahan tort salah laku awam.
Headnote:(A) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) - Perbadanan Menteri Besar, Kedah Darul Aman 1988 - Tuntutan baki pembayaran RM1,600,000 yang belum diselesaikan oleh defendan. Mahkamah menegaskan bahawa walaupun tiada perjanjian formal ditandatangani, tanggungjawab defendan untuk membayar baki tersebut tetap ada. (Paras [21] dan [23]).
(B) Estopel - Doktrin ini tidak boleh digunakan oleh defendan kerana tidak ada bukti yang menunjukkan plaintif mengetahui pembayaran yang dilakukan. Mahkamah berpendapat bahawa doktrin estopel tidak terpakai. (Paras [28] dan [30]).
(C) Tort salah laku awam - Defendan gagal membuktikan bahawa plaintif adalah pegawai awam yang terlibat dalam salah laku. Mahkamah menolak tuntutan balas defendan dengan kos. (Paras [37] dan [40]).
Facts of the case:
Plaintif selaku perbadanan melantik defendan untuk menjalankan kerja pembalakan dan menjual kayu balak dengan pembayaran RM3.2 juta, di mana RM1.6 juta telah dibayar dan RM1.6 juta masih tertunggak. Defendan gagal menjelaskan baki yang tertunggak walaupun menerima notis tuntutan. (Paras [2], [3], dan [4]).
Findings of Court:
Mahkamah mendapati bahawa plaintif telah membuktikan tuntutannya bahawa defendan masih berhutang RM1.6 juta. Kewujudan kontrak antara plaintif dan defendan ialah sah, walaupun secara lisan. Doktrin estopel tidak terpakai dalam kes ini dan tuntutan balas defendan ditolak. (Paras [6], [20], dan [36]).
Issues: Isu utama termasuk bukti baki hutang, kewujudan kontrak, aplikasi doktrin estopel, dan tuntutan balas atas tort salah laku awam. (Paras [8] dan [32]).
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa ketidakupayaan defendan untuk membuktikan pembayaran baki hutang dan kekurangan bukti sah menunjukkan bahawa plaintif berhak atas pembayaran RM1.6 juta. Status plaintif sebagai perbadanan tidak mengubah keperluan untuk membayar. (Paras [23] dan [39]).
Result: Tuntutan plaintif dibenarkan dan tuntutan balas defendan ditolak.
[1] Plaintif ialah sebuah perbadanan yang diperbuat di bawah Enakmen Perbadanan Menteri Besar, Kedah Darul Aman 1988 dan beralamat di Aras 2, Blok A, Wisma Darul Aman, 05503 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Defendan merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dan mempunyai alamat berdaftar di Lot 854 Kampung Simpang Pasir, Jeniang, 08700 Gurun, Kedah dan menjalankan perniagaan di alamat yang sama.
[2] Plaintif melalui Surat Tawaran bertarikh 7 Mei 2009 [surat tawaran tersebut] [P3A] telah melantik defendan sebagai kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembalakan dan menjual kayu balak di kawasan seluas 200 hektar dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Inas yang diperuntukkan kepada plaintif.
[3] Defendan pada 26 Mei 2009 telah menjelaskan bayaran sebanyak RM1,600,000.00 kepada plaintif dan masih terdapat bayaran yang tertunggak sebanyak RM1,600,000.00 kepada plaintif. Plaintif kemudiannya melalui peguamnya telah mengeluarkan notis tuntutan bertarikh 5 Julai 2012 terhadap defendan supaya menjelaskan baki bayaran RM1,600,000.00 dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan notis tersebut. Defendan walaupun menerima notis tuntutan masih gagal dan/atau enggan dan/atau ingkar menjelaskan baki yang terhutang iaitu RM1,600,000.00 atau sebahagian atau mana-mana bahagian daripada jumlah tuntutan oleh plaintif.
[4] Plaintif kemudiannya memfailkan writ dan penyata tuntutan pada 13 Disember 2013 [Lampiran (1)] terhadap defendan bagi menuntut:
"(a) Bahawa defendan membayar kepada plaintif wang sejumlah RM1,600,000.00 sebagi baki bayaran tersebut;
(b) Faedah pada apa-apa kadar yang mana mahkamah fikirkan sesuai di atas jumlah RM1,600,000.00 yang dikira dari tarikh writ sehingga tarikh penyelesaian sepenuhnya;
(c) Kos tindakan ini;
(d) Relif-relif lain dan/atau seterusnya yang mahkamah ini fikirkan perlu dan suaimanfaat."
[5] Defendan telah mempertikaikan tuntutan plaintif dan telah memfailkan penyata pembelaan dan tuntutan balas [ms (8) hingga (16) Ikatan Pliding "A"]. Plaintif juga telah memfailkan Jawapan Kepada Pembelaan dan Pembelaan terhadap Tuntutan Balas [ms (17) hingga (21) Ikatan Pliding "A"].
[6] Perbicaraan penuh telah diadakan dan diakhir perbicaraan mahkamah ini membenarkan tuntutan plaintif sebagaimana yang diplidkan di perenggan 10 (a) penyata tuntutan, kadar faedah 5% setahun mulai tarikh writ difailkan sehingga jumlah penghakiman dijelaskan dan kos. Mahkamah ini selanjutnya menolak tuntutan balas oleh defendan di perenggan 20 penyata pembelaan dengan kos. Mahkamah ini memerintahkan defendan membayar kos RM8,000.00 kepada plaintif.
[7] Pihak defendan yang terkilan dengan keputusan mahkamah ini telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia.
[8] Mahkamah ini telah meneliti penghujahan bertulis yang difailkan oleh pihak-pihak dan beberapa isu telah diketengahkan untuk pertimbangan dan keputusan antaranya ialah:
(a) Sama ada plaintif berjaya membuktikan tuntutannya iaitu defendan masih berhutang RM1,600,000.00;
(b) Sama ada wujud kontrak antara plaintif dan defendan;
(c) Sama ada plaintif dihalang oleh doktrin estopel;
(d) Sama ada defendan berjaya dalam tuntutan balasnya berdasarkan tort salah laku awam [public misfeasance].
Bagi Isu (a):
[9] Peguam plaintif yang terpelajar telah menghujahkan berdasarkan surat tawaran yang dikeluarkan oleh plaintif bertarikh 7 Mei 2009, defendan bersetuju untuk kerja-kerja pembalakan dan menjual kayu balak dengan harga RM3.2 juta. Defendan telah membayar RM1.6 juta kepada plaintif. Fakta pembayaran ini telahpun disahkan oleh Tunku Azilah Bte Tunku Abdul Aziz [SP:3] [Esekutif Dalaman & Perakaunan] dalam pernyataan saksinya [P10] di soalan dan jawapan no 7 dan 8 sebagaimana berikut:
"(7) S: Boleh kamu nyatakan butir bayaran-bayaran tersebut?
J: Bayaran yang diterima ialah bayaran yang dibuat melalui cek PBB No: 001525 berjumlah RM450,000.00, cek Alliance Bank No: 850295 berjumlah RM500,000.00 dan cek MBB No: 005681 berjumlah RM650,000