2010 MarsdenLR 644
MAHKAMAH RENDAH SYARIAH GOMBAK TIMUR
PENDAKWA SYARIE LWN. MOKTAR RADIN & YANG LAIN
[Kes Jenayah No: 10007-165-0028 Of 2010 10007-147-0029 Of 2010 10007-166-0030 Of 2010 10007-147-0031 Of 2010 10007-147-0032 Of 2010 10007-147-0033 Of 2010 10007-147-0034 Of 2010 10007-147-0035 Of 2010 10007-147-0036 Of 2010 10007-164-0037 Of 2010]
Mahkamah menegaskan pentingnya pematuhan terhadap undang-undang Syariah bagi pernikahan, dengan penekanan pada kebenaran dari Mahkamah bagi pernikahan poligami untuk memelihara institusi kekeluargaan.
Headnote:(A) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 - Seksyen 124, 40(1)(a), 40(2), dan 134 - Tertuduh dikenakan tuduhan berkahwin tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa izin mahkamah - Hukum dijatuhkan atas kesalahan bersubahat untuk perkahwinan berlangsung tanpa pendaftaran - Mahkamah menyatakan pentadbiran undang-undang Syariah mesti dipatuhi untuk menjaga keadilan dalam perkahwinan (Paras 19, 20, dan 54).
Facts of the case:
Tertuduh mengaku salah atas tuduhan berkahwin tanpa kebenaran dan poligami tanpa izin syarie, di mana perkahwinan tersebut berlangsung di Selangor. Kesemua tertuduh memahami implikasi dan akibat pengakuan bersalah tersebut (Paras 12, 14, dan 16).
Findings of Court:
Hukuman penjara selama satu bulan dikenakan terhadap tertuduh utama, manakala tertuduh lain dikenakan denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara. Mahkamah berpendapat hukuman ini sebagai pengajaran kepada masyarakat (Paras 16, 50, dan 55).
Issues: Isu utama berkaitan pematuhan undang-undang perkahwinan dan keperluan kebenaran dari Mahkamah Syariah bagi pernikahan poligami (Paras 19 dan 36).
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa pematuhan terhadap undang-undang Syariah dan penguatkuasaannya adalah penting untuk menjaga kehormatan institusi perkahwinan dan menuntut keadilan di dalam masyarakat (Paras 19, 20, dan 29).
Result: Hukuman berbentuk penjara dan denda dijatuhkan kepada semua tertuduh yang terlibat.
| Table of Content |
|---|
| 1. charges of polygamy and collaboration. (Para 1 , 2 , 6) |
| 2. provisions for polygamy under euukis. (Para 3 , 4 , 5) |
| 3. admission of guilt and the proceedings. (Para 12 , 13 , 14) |
| 4. consequences of breaching registration laws. (Para 15 , 17) |
| 5. role of the courts and voluntary admissions. (Para 19 , 20 , 24) |
| 6. public figures set precedents for legal compliance. (Para 25 , 26) |
| 7. conditions for permissible polygamy. (Para 37 , 39) |
| 8. importance of deterrent punishment. (Para 40 , 41) |
| 9. sanctions imposed for violations of family law. (Para 50 , 54 , 55) |
Fakta Kes
[1] Kes ini mula disebut di mahkamah ini pada 20 April 2010. Di dalam kes ini tertuduh Moktar bin Radin ('tertuduh pertama'), telah dikenakan tuduhan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, yang boleh dihukum mengikut s 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 manakala pasangannya Zizie Izette bt A Samad ('tertuduh kedua') telah dituduh berkahwin tanpa kebenaran pendaftar, yang boleh dihukum melakukan kesalahan di bawah s 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 ('EUUKIS 2003').
[2] Kedua-dua tertuduh juga telah dituduh bersubahat mengikut s 134 atas kesalahan masing-masing, iaitu tertuduh pertama dituduh bersubahat atas kesalahan di bawah s 40(2) EUUKIS 2003 manakala tertuduh kedua dituduh bersubahat mengikut s 124 EUUKIS 2003.
[3] Seksyen 124 EUUKIS 2003 memperuntukkan seperti berikut:
Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
[4] Seksyen 40(2) EUUKIS 2003 memperuntukkan seperti berikut:
40(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu cara akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
[5] Manakala s 134 EUUKIS 2003 memperuntukkan seperti berikut:
Barangsiapa cuba melakukan, atau bersubahat melakukan, sesuatu kesalahan di bawah Enakmen ini adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sama seperti yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
[6] Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar kes dan memutuskan kes ini kerana kedua-dua tertuduh utama iaitu Moktar bin Radin dan Zizie Izette bt A Samad tinggal dan bermastautin di dalam daerah Gombak di negeri Selangor. Ini dibuktikan dengan alamat seperti saman kedua-dua tertuduh utama iaitu bagi tertuduh pertama di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, 53100 Taman Melati, Selangor Darul Ehsan. Manakala tertuduh kedua Di Blok M-11, Mahogany Villa, Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan. Manakala di dalam semua pertuduhan ke atas tertuduh-tertuduh yang lain, alamat tempat kejadian kesalahan berlaku di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, 53100 Taman Melati, Selangor Darul Ehsan. Oleh itu, mahkamah ini juga berbidang kuasa mendengar dan memutuskan kes ini kerana kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di dalam daerah Gombak di negeri Selangor.
[7] Seksyen 4 EUUKIS 2003 memperuntukkan, 'Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu'. Ini dapat dilihat prinsip pemastautinan telah dibincangkan di dalam penghakiman kes Sharifah Laila bte Syed Shamdin v. Abdul Latif bin Arshad [2004] ShLR 71.
[8] Di dalam masa yang sama, pihak pendakwa juga telah mendakwa abang kandung tertuduh kedua selaku wali semasa pernikahan bernama Ahmad Shahazmi bin Abdu