2009 MarsdenLR 1518
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
HAPIPAH MONEL
DAVOTEK SDN BHD
Versus
KHOO CHIN CHIO & 2 YANG LAIN
AWARD NO: 934 TAHUN 2009 (KES NO: 19/4-1645/06)
Decided on : 30 JULAI 2009
Bagi Pihak Menuntut - Tidak hadir
Bagi Pihak Syarikat - Tidak hadir
RUJUKAN INI telah dibatalkan pada 6 November 2008 melalui Award No. 1904/2008. Pihak Yang Menuntut telah memfailkan permohonan untuk menghidupkan semula rujukan ini pada 16 Januari 2009. Sebanyak 5 tarikh pendengaran permohonan termasuk hari ini telah ditetapkan iaitu pada 20 Februari 2009, 25 Mei 2009, 22 Jun 2009, 21 Julai 2009 dan hari ini 29 Julai 2009. Namun permohonan ini tidak dapat didengar atas alasan permohonan tidak dapat diserahkan kepada pihak Syarikat kerana pihak Syarikat telah tidak beroperasi. Mahkamah telah mengarahkan pihak Yang Menuntut membuat carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (ROC) dan serahan ke alamat terakhir Syarikat telah dibuat pada 23 Jun 2009.
Pada tarikh pendengaran permohonan 21 Julai 2009 wakil dari MTUC Encik Peter Kandiah telah menelefon Mahkamah menyatakan bahawa belilau tidak dapat hadir kerana sakit. Walau bagaimanapun, cuti sakit tidak dikemukakan. Ketiga-tiga Yang Menuntut hadir di Mahkamah. Mahkamah telah menetapkan tarikh hari ini 29 Julai 2009 untuk pendengaran permohonan ini dan telah memberitahu kepada ketiga-tiga Yang Menuntut bahawa permohonan ini akan didengar pada hari ini dan sekiranya pihak Yang Menuntut tidak hadir, Mahkamah akan membatalkan permohonan ini.
Pada hari ini wakil MTUC dan juga ketiga-tiga Yang Menuntut tidak hadir ke Mahkamah. Wakil MTUC Encik Peter Kandiah telah menghantar surat kepada Mahkamah ini bertarikh 24 Julai 2009 dan diterima oleh Mahkamah pada 27 Julai 2009, memohon untuk penangguhan tarikh pendengaran permohonan hari ini atas alasan bahawa beliau terpaksa mengendalikan kes Mahkamah Perusahaan di Kota Kinabalu, kes No. 17/4-597/08 pada 27 Julai 2009 hingga 29 Julai 2009.
Jurubahasa Mahkamah ini Puan Rosliza binti Ariffin telah menghubungi Mahkamah Perusahaan Kota Kinabalu dan telah dimaklumkan bahawa kes tersebut telahpun diselesaikan pada 27 Julai 2009. Oleh itu Mahkamah ini tidak membenarkan permohonan pihak Yang Menuntut untuk menangguhkan pendengaran permohonan pada hari ini. Puan Rosliza telah menelefon dan bercakap dengan Encik Peter Kandiah sendiri memberitahu bahawa permohonan beliau untuk menangguhkan pendengaran permohonan kes ini ditolak dan beliau juga dikehendaki hadir pada hari ini.
Oleh sebab wakil MTUC mahupun ketiga-tiga Yang Menuntut tidak hadir, Mahkamah beranggapan bahawa pihak Yang Menuntut tidak lagi berminat untuk meneruskan permohonan mereka untuk menghidupkan semula rujukan ini.
Mahkamah berpendapat bahawa adalah sia-sia untuk Mahkamah memberikan penangguhan selanjutnya dan sewajarnya permohonan ini dibatalkan. Mahkamah dengan ini membatalkan permohonan Yang Menuntut untuk menghidupkan semula rujukan ini.