2009 MarsdenLR 2651
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
CHEW SOO HO, PANEL PEKERJA: JIMILAH HARUN, PANEL MAJIKAN: KUNTARAGURU KANAGASABAI
RADIO WANITA BHD
Versus
ZAINAB AWANG
AWARD NO: 242 TAHUN 2009 (KES NO: 5/1-639/08)
Decided on :26 FEBRUARI 2009
Wakil Pihak Pengadu - G Nanda Goban; T/n Goban & Company
Wakil Pihak Responden - Azwan Jamlus; T/n Suhaimi Khor Zulkifli & Chang
Pengaduan ini adalah difailkan oleh Puan Zainab binti Awang, Pihak Pengadu, pada 18.11.2008 terhadap Radio Wanita Bhd, Pihak Responden, menurut Seksyen 56(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 melalui Borang S kerana Pihak Responden tidak mematuhi Award No. 1737 Tahun 2008 dalam Kes No. 23/4-1753/07 di antara pihak-pihak yang sama.
Suatu Award No. 1737 Tahun 2008 bertarikh 9.10.2008 telah diperturunkan oleh Mahkamah Perusahaan No. 23 menurut kes no. 23/4-1753/07 yang mana Mahkamah tersebut telah mengawardkan Pihak Pengadu (Pihak Menuntut) jumlah sebanyak RM40,869.40 dengan perintah bahawa Pihak Responden membayarnya dalam tempoh 30 hari daripada tarikh award tersebut iaitu dari 9.10.2008. Oleh kerana Pihak Responden gagal mematuhi Award tersebut, maka Pengadu telah membuat pengaduan ke Mahkamah ini pada 18.11.2008.
Pihak Responden melalui peguamcaranya berhujah bahawa ia tidak mematuhi Award tersebut kerana ia telah memfailkan permohonan untuk kebenaran untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Namun demikian peguam Pihak Responden juga mengesahkan bahawa tiada permohonan dibuat untuk suatu perintah sekatan terhadap segala prosiding di Mahkamah Perusahaan atau terhadap penguatkuasaan Award tersebut. Peguam Responden juga mengesahkan bahawa Pihak Responden sehingga ini tidak pernah menjelaskan jumlah Award sebanyak RM40,869.40 atau sebahagian daripadanya kepada Pihak Pengadu.
Tanpa suatu perintah sekatan atau 'stay order' dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah ini tidak tersekat dan boleh meneruskan prosiding di dalam kes ini. Adalah ditegaskan bahawa hanya suatu pemfailan permohonan untuk kebenaran meneruskan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tersendiri tidak menjadi suatu sekatan untuk Mahkamah ini meneruskan kes ketidak-patuhan Award Mahkamah Perusahaan. Sebarang perintah sekatan hendaklah jelas dan ternyata. Maka dengan tiada perintah tersebut dari Mahkamah Tinggi dan sebenarnya tidak dipohon pun oleh Pihak Responden dalam permohonannya untuk kebenaran sepertimana yang diakui oleh peguamcara Pihak Responden, Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk meneruskan presiding ketidak-patuhan ini.
Daripada hujahan-hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah ini mendapati Pihak Responden memang gagal mematuhi Award No. 1737 Tahun 2008 dan tiada alasan-alasan dikemukakan untuk menunjukkan apa-apa keadaan khas menurut seksyen 56(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang mana dapat Mahkamah ini mempertimbangkan mengapa Pihak Responden tidak mematuhi Award tersebut selain daripada suatu permohonan untuk kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi saja.
Tanpa apa-apa alasan daripada Pihak Responden, Mahkamah dengan ini mengeluarkan Award bahawa Pihak Responden hendaklah mematuhi Award No. 1737 Tahun 2008 tersebut. Akan tetapi, memandangkan suatu permohonan untuk semakan kehakiman telah difailkan dan sedang menunggu pendengaran, maka Mahkamah memperintahkan jumlah Award sebanyak RM40,869.40 didepositkan oleh Pihak Responden dengan peguamcara dalam rekod yang mewakili Pihak Pengadu dalam tempoh (2) minggu daripada tarikh Award ini sebagai stakeholder sehingga penyelesaian kes permohonan untuk kebenaran atau semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi kelak.