1993 MarsdenLR 733
MAHKAMAH TINGGI, KUALA LUMPUR
PUAN RAHMAH BTE HUSSAIN PK
AH SIN (IBU YANG SAH DAN ORANG TANGGUNGAN LIM BENG TIONG, SIMATI) & LAGI
versus
TAN TEAN SIANG & LAGI
GUAMAN SIVIL NO. P25-495-86
Decided On : 07-23-93
Bagi pihak plaintif - T/n. V.P. Nathan & Partners Bagi pihak defendan - T/n. Murali B. Pillai &Associates
Rahmah bte Hussain PK:
Tindakan kecuaian ini berbangkit dari kemalangan jalanraya di Jalan Kim Chuan, Pandamaran, Kelang diantara penunggang motosikal No. BBH 3808, Peter Lim Chee Chow (simati kedua) dan pemandu kereta No. BCH 1126, Tan Tean Siang, pada 7 Mei 1986. Dalam kemalangan tersebut penunggang motosikal (Peter Lim Chee Chow) dan pemboncengnya (Lim Beng Tiong - simati pertama) telah mengalami cedera parah dan meninggal dunia.
Plaintif pertama adalah ibu kandung kepada Lim Beng Tiong (simati pertama) iaitu pembonceng motosikal tersebut. Plaintif kedua dan ketiga adalah bapa dan ibu kepada Peter Lim Chee Chow (simati kedua) iaitu penunggang motosikal.
Fakta kes bolehlah diringkaskan seperti berikut:
Pada 7 Mei 1986 lebih kurang jam 9.30 malam simati pertama dan kawan-kawannya, termasuk simati kedua, serta Lim Swee Huat (SP5) sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Kelang, untuk makan malam. Simati pertama telah membonceng di atas motosikal yang ditunggang oleh simati kedua; sementara SP5 telah menunggang motosikal yang lain dengan seorang pembonceng bernama Khoo Thiam Peck (SP7). Apabila mereka sampai di hadapan Seko1ah Kim Chuan, satu perlanggaran telah berlaku diantara motosikal simati kedua dan sebuah kereta No. BCH 1126 yang dipandu oleh defendan pertama.
Pihak plaintif telah memanggil lapan orang saksi.
Saksi pertama (SP1) ialah majikan simati pertama. Mengikut SP1 simati pertama bekerja di gerai meenya sebagai seorang pelayan dan pencuci pinggan mangkuk. Simati pertama telah diberi gaji sebanyak RM250 pada mulanya tetapi pada masa beliau meninggal dunia gajinya ialah RM300. Simati pertama telah bekerja dengan SP1 selama dua (2) tahun.
Saksi kedua (SP2) ialah ibu kepada simati pertama. Mengikut SP2 simati telah memberinya RM350 sebulan. Saksi ketiga (SP3) pula ialah bapa kepada simati kedua. Beliau menyatakan bahawa anaknya memberinya RM800 sebulan dan semasa kemalangan simati berumur dua puluh (20) tahun. Saksi keempat (SP4) memberitahu Mahkamah bahawa dia adalah ibu kepada simati kedua dan semasa hidupnya, anaknya bekerja sebagai seorang mekanik di Lye Heng Motors dan memberinya RM800 sebulan.
Saksi penting plaintif iaitu SP5 memberitahu Mahkamah bagaimana kemalangan berlaku. Menurutnya waktu yang berkenaan beliau bersama pemboncengnya sedang menunggang sebuah motosikal dan berada di hadapan motosikal yang ditunggang oleh simati kedua. Apabila mereka sampai di hadapan sebuah Sekolah Vokasional (Sekolah Kim Chuan) beliau ternampak sebuah kereta yang sedang datang dari sebelah hadapan dan tiba-tiba terbabas ke jalan mereka. Beliau dapat mengelak dari dilanggar tetapi malangnya kedua-dua simati tidak dapat berbuat demikian. Mengikutnya lagi, jarak diantara motosikalnya dan kereta yang datang itu ialah 30 kaki.
Saksi keenam (SP6) ialah Pegawai Penyiasat kes kemalangan jalanraya ini. SP6 memberitahu Mahkamah dari penyiasatannya didapati kemalangan berlaku di Jalan Langat - Kelang diantara sebuah motosikal yang menghala ke Kelang dari arah Pandamaran dan sebuah kereta yang menghala ke arah Pandamaran. Tetapi kedudukan kereta tersebut telah berubah iaitu dalam keadaan arah terbalik selepas kemalangan.
Saksi ketujuh (SP7) pula memberi keterangan bahawa beliau adalah pembonceng motosikal yang ditunggang oleh SP5. Katanya beliau tidak nampak bagaimana kemalangan terjadi. Hanya setelah mendengar bunyi "pom" dan setelah SP5 memberhentikan motosikalnya, barulah beliau tahu ada perlanggaran.
Akhirnya saksi kelapan plaintif (SP8) ialah majikan Peter Lim (simati kedua). Beliau ber-kata sebagai seorang mekanik simati pertama dibayar gaji sebanyak RM800. Keterangan pihak defendan telah diberi oleh defendan pertama dan saksinya SD1. Defendan pertama menafikan kemalangan berlaku kerana beliau telah terbabas dan masuk ke jalan simati (1) dan (2). Sebaliknya beliau berkata, penunggang motosikal tersebut iaitu simati kedua telah memotong sebuah lori semasa lori itu sedang berdekatan dengan keretanya. Mengikut de