2008 MarsdenLR 4721
AHMADI HAJI ASNAWI, JC
MAHKAMAH TINGGI (MUAR)
SENG CHONG ROO - Appellant
Versus
SENG DAN ROO - Respondents
WRIT SAMAN NO: 22-135 TAHUN 2005
Decided On : 08/01/2008
KEPUTUSAN
1. Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan saya mendapati Defendan hanyalah pemegang amanah 1/2 dalam tanah yang dipegang dibawah HS(D) 25160 PTD PTB No. 3041 bersekali dengan bangunan-bangunan yang ada di atasnya bagi pihak Plaintiff. Satu resulting trust wujud yang memihak kepada Plaintiff atas asas bahawa Plaintiff lah yang telah membayar keseluruhan harga pembelian hartanah tersebut, membayar ansuran pinjaman bank bagi pembiayaan pembelian tersebut, membayar kesemua fee-fee guaman dan juga quit rents dan assessment ke atas tanah tersebut kepada pihak-pihak berkuasa tempatan/negeri. Wujud faktor-faktor luaran yang lain yang menunjukkan Plaintiff adalah tuan punya keseluruhan hartanah tersebut, umpamanya bayaran-bayaran sewaan bahagian-bahagian yang disewakan kepada penyewa-penyewa telah dibayar kepada firma Plaintiff yang merupakan satu pemilikan tunggal. Juga bayaran-bayaran sewa tersebut telah dimasukkan sebagai pendapatan syarikatnya dan Plaintiff mempunyai pengawalan yang sepenuhnya ke atas hartanah tersebut; juga Defendan telah mengosongkan premis berkenaan bila dituntut oleh Plaintiff tanpa sebarang tentangan.
2. Tidak ada keterangan yang cogent berkenaan wujudnya common intention dikedua-dua pihak Plaintiff dan Defendan supaya 1/2 bahagian yang dipertikaikan itu hendaklah dipegang oleh Defendan secara mutlak mahupun secara beneficial. Dakwaan Defendan bahawa 1/2 bahagian kepentingan di atas hartanah itu telah berikan oleh Plaintiff kepadanya atas dasar kasih sayang kerana Plaintiff merupakan seorang yang bujang dan amat baik hubungannya dengan Defendan ketika itu tidak disokong oleh keterangan-keterangan lain. Sekiranya pun itu adalah kehendak mendiang ayahnya, maka niat bersama itu hanyalah diantara Defendan dengan mendiang ayah mereka. Ianya tidak ada kena mengena dengan niat Plaintiff ketika menamakan Defendan sebagai pemilik bersama hartanah berkenaan. Keterangan-keterangan menjurus untuk mengatakan bahawa Defendan diletakkan sebagai pemilik bersama hanya sebagai nominee Plaintiff sahaja.
3. Dakwaan Defendan bahawa beliau telah menyumbangkan kepada pembelian hartanah tersebut dengan (i) membayar sewa untuk tingkat 1 bangunan tersebut sebanyak 600.00 (ii) membuat renovasi ke atas tingkat 1 premis tersebut yang melibatkan perbelanjaan RM104,818.36 tidak disokong oleh keterangan-keterangan dokumentari dan oral yang ada.
Demikian juga perihal Defendan telah membayar 1 kali quit rent ke atas hartanah tersebut tidak menjadikan beliau pemilik bersama bangunan tersebut. Perihal beliau telah menjadi pencagar dan menjamin pembayaran bagi pinjaman RHB Bank juga tidak menjadikan beliau pemilik bersama hartanah tersebut kerana hingga kini tanggungannya sebagai penjamin/pencagar belum lagi terakru. Lebih-lebih lagi sesiapa pun boleh menjadi pencagar atau penjamin jika cukup syarat.
4. Defendan gagal untuk menunjukkan wujudnya niat bersama diantara mereka atau persefahaman diantara mereka bahawa adanya niat bersama bahawa Defendan berhak untuk memiliki bahagian yang dipertikaikan itu secara sah/legally atau secara beneficial.
5. Hubungan diantara Plaintiff dan Defendan sebagai adik beradik tidak termasuk dalam kategori dimana presumption of advancement boleh digunapakai. Otoriti-otoriti adalah jelas bahawa presumption ini hanya boleh digunakan dalam kes sesuatu perhubungan dalam perkahwinan atau diantara anak dengan bapa atau anak dengan ibu sahaja. lagi pun dalam kes ini Defendan mengambil posisi bahawa beliau juga adalah menyumbang bersama dalam pembelian hartanah berkenaan. Dalam keadaan ini beliau tidak boleh berlindung dibawah kaedah presumption of advancement untuk mempertahankan haknya yang dikatakan itu di atas hartanah berkenaan bila pada masa yang sama beliau mendakvva bersama-sama menyumbang untuk membeli hartanah tersebut.
Atas alasan-alasan di atas saya membenarkan tuntutan Plaintiff seperti dipohon dalam para 11 (a), (b), (c) dan juga kos di bawah para 11 (d).