2002 MarsdenLR 14
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, TAIPING
VT SINGHAM PK
ANAMALY MAYIVIN
versus
LIM AH LEAK & YANG LAIN & SATU RAYUAN LAGI
RAYUAN SIVIL NO: 12-35-98 & 12-40-98
Decided On : 01-24-02
Bagi pihak perayu-harta pusaka simati - VK Dasaratharaj Pillai; T/n VP Nathan & Rakan-rakan
Bagi pihak responden kedua - S Viswanathan; T/n Kanaga Suresh & Co
Bagi pihak responden pertama-dikedua-dua rayuan - Arjan Singh Chanan Singh; T/n Jagjit Singh & Co
VT Singham PK:
Rayuan ini adalah oleh perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Taiping pada masa itu En. Harmindar Singh Dhaliwal yang diberi pada 4 November 1998 tentang liabiliti dan gantirugi di mana tuntutan responden pertama telah dibenarkan dan liabiliti dibahagikan di antara pemandu-simati m/lori No: PAK 5263 dan pemandu m/tanker No: WB 3899 iaitu, pihak ketiga, di mana pemandu-simati m/lori tersebut didapati bertanggung 80% dan pemandu m/tanker No: WB 3899 tersebut iaitu, pihak ketiga bertanggung 20%. Responden pertama adalah seorang penumpang dan atendan di m/lori tersebut yang duduk di sebelah pemandu-simati m/lori No: PAK 5263.
Fakta-Fakta Kes
Pada 8 Mei 1982, jam lebih kurang 2.50 petang, Tan Chu Leong, simati sedang memandu m/lori No: PAK 5263 dengan responden pertama Lim Ah Leak yang duduk sebelahnya sebagai atendan daripada arah Ipoh menghala ke Pulau Pinang. Apabila sampai di Batu 67 1/2, Jalanraya Ipoh-Penang, Bagan Serai, pemandu m/tanker No: WB 3899, iaitu, Anamaly @ Annamalai a/l Mayivin - pihak ketiga memotong m/lori tersebut dan berhenti di satu sekatan polis (road block) yang telah dijaga oleh enam orang anggota polis. Pada masa itu m/lori tersebut telah melanggar bahagian belakang m/tanker tersebut. Seterusnya, pemandu-simati m/lori tersebut (Tan Chu Leong) telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut dan responden pertama Lim Ah Leak seorang penumpang dan atendan di m/lori tersebut telah mengalami kecederaan yang parah di mana kaki kiri beliau telah dipotong.
Responden pertama Lim Ah Leak telah mengambil tindakan terhadap harta pusaka simati Tan Chu Leong, iaitu, pemandu-simati m/lori tersebut di atas kecuaian memandu m/lori tersebut di mana beliau melanggar bahagian belakang m/tanker tersebut manakala harta pusaka pemandu-simati m/lori tersebut iaitu, defendan di dalam kes ini memfailkan tindakan pihak ketiga (THIRD PARTY PROCEEDINGS) terhadap pemandu m/tanker tersebut untuk menuntut sumbangan dan tanggung rugi (contribution dan indemnity) dan telah memasukkan pemandu m/tanker tersebut sebagai pihak ketiga mengikut perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 23 Mac 1987 di dalam tindakan yang difailkan oleh responden pertama.
Harta pusaka Tan Chu Leong, pemandu-simati m/lori tersebut menyalahkan (blamed) pihak ketiga pemandu m/tanker tersebut kerana tiba-tiba berhenti m/tanker tersebut di sekatan polis (road block) tanpa memberi amaran yang mencukupi terlebih dahulu manakala pihak ketiga pemandu m/tanker tersebut menyalahkan pemandu-simati m/lori tersebut sebagai bertanggungjawab sepenuhnya kerana melanggar bahagian belakang m/tanker tersebut yang telahpun berhenti di sekatan polis (road block) selama satu minit di mana polis sedang memeriksa m/tanker tersebut.
Di dalam kes ini terdapat keterangan bahawa seorang anggota polis Kpl. Rahmat bin Othman, yang menjaga sekatan polis (road block) sebagai ketua pada masa kemalangan berlaku ada membuat lapuran polis pada jam 3.30 petang pada tarikh kemalangan iaitu 8 Mei 1982 di Bagan Serai telah meninggal dunia pada 11 Jun 1994 sebelum perbicaraan bermula pada 3 September 1997 dan tidak dapat memberi keterangan dalam perbicaraan Mahkamah Sesyen Taiping lihat nombor lapuran Bagan Serai 1619/82. Lapuran polis beliau telah dikemukakan oleh responden pertama dan diterima masuk sebagai eks. P8 di atas persetujuan semua pihak tetapi Hakim Mahkamah Sesyen tidak memberi sebarang berat (weight) kepada kandungannya. Hakim Mahkamah Sesyen berkata "As for the police report of the deceased policeman, it would be unsafe to rely on it. The police report says that the accident occurred when the policeman "sedang periksa lori." "Sedang periksa lori" could very well mean when the policeman was in the process of stopping the lorry. Also, as there was no opportunity for the other parties to cross-examine the deceased policeman, not much weight can be given to the report especially as I had indicated that it was open to more than one interpretation."Untu