2006 MarsdenLR 3977
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, IPOH
BALIA YUSOF WAHI H
TAN KIM SONG
versus
PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI PERAK & SATU LAGI
GUAMAN SIVIL NO: 22-271-99
Decided On : 12-27-06
Bagi pihak plaintif - En Lalchand (En Purshotamdas bersamanya); T/n Lim Seong Chun & Co
Bagi pihak defendan - Leong Sai Hwa; T/n CK Leong & Co
Balia Yusof Wahi H:
[1] Tuntutan plaintif di dalam kes ini adalah untuk mendapatkan haknya ke atas sebuah rumah yang dibangunkan di dalam suatu projek di atas Lot 72656 Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta Perak. Projek tersebut pada asalnya telah dibangunkan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Seri Conolly Sdn. Bhd. bagi membangunkan di atas tanah tersebut rumah-rumah teres serta kedai dan telah berjaya menjualkan lebih kurang 260 buah unit rumah teres dan kedai-kedai. Walau bagaimanapun syarikat berkenaan telah gagal untuk membangunkan sepenuhnya projek berkenaan. Tanah Lot 72656 tersebut adalah hakmilik Kerajaan Negeri Perak. Di atas kegagalan Syarikat Seri Conolly Sdn. Bhd. tersebut, Kerajaan Negeri Perak telah menyerahkan tanah tersebut kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, defendan pertama dalam kes ini.
[2] Defendan pertama melalui surat wakil bertarikh 20 Disember 1996 telah melantik Syarikat Tenaga Danawa Sdn. Bhd. untuk mengambil alih dan meneruskan projek tersebut dan seterusnya Tenaga Danawa Sdn. Bhd. telah melalui surat wakil bertarikh 23 Disember 1996 telah memberikan kesemua haknya di atas projek tersebut dan melantik defendan kedua untuk meneruskan projek berkenaan. Di antara hak dan kuasa-kuasa yang diberikan oleh Syarikat Tenaga Danawa Sdn. Bhd. kepada defendan kedua adalah seperti berikut:
(a) Menandatangani perjanjian jual beli;
(b) Menerima pembiayaan berperingkat;
(c) Memenuhi terma-terma dengan pembeli;
(d) Mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu berhubung dengan perjanjian jual beli;
(e) Menjalankan apa jua perkara yang berkaitan dan bersesuaian bagi melaksanakan maksud pemberian kuasa tersebut.
[3] Berikutan dengan itu, defendan kedua telah memasuki satu perjanjian bertarikh 31 Mei 1997 dengan suatu jawatankuasa yang mewakili persatuan pembeli dan pemunya-pemunya rumah Taman Seri Pengkalan. Plaintif adalah merupakan salah seorang daripada pembeli rumah di dalam projek tersebut dan tersenarai di dalam senarai nama-nama pembeli di dalam perjanjian bertarikh 31 Mei 1997 tersebut. Di antara ciri-ciri utama dalam perjanjian yang maksudkan itu ialah:
(a) Jawatankuasa akan mengaturkan supaya pembeli-pembeli rumah/rumah kedai memasuki suatu perjanjian baru dengan pihak defendan kedua;
(b) Hak dan tanggungjawab defendan kedua sebagai pemaju dan juga pembeli-pembeli hendaklah bermula dari tarikh perjanjian baru yang akan ditandatangani di antara kedua-dua pihak;
Tempoh penyiapan rumah kediaman adalah 24 bulan manakala bagi rumah kedai adalah 28 bulan dari tarikh perjanjian baru tersebut;
(c) Hanya pembeli-pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual beli yang asal atau telah membayar cagaran 10% atau apa-apa jua bayaran separa (part payment) yang diiktiraf oleh defendan kedua sahaja yang layak untuk memasuki perjanjian jual beli yang baru dengan defendan kedua.
[4] Pihak plaintif telah memberi keterangan bahawa melalui surat bertarikh 25 Februari 1998 yang telah dikemukakan di mahkamah dan ditandakan sebagai eks. P1 beliau telah dipanggil untuk hadir ke pejabat Tetuan Maxwell, Kenion, Cowdy & Jones untuk menandatangani surat perjanjian jual beli bagi projek Taman Seri Pengkalan. Surat tersebut juga mengingatkan beliau untuk membuat bayaran bagi segala fees dan perbelanjaan yang berkaitan dalam tempoh satu minggu dari tarikh surat berkenaan. Pada 9 Mac 1998 plaintif telah hadir ke pejabat berkenaan setelah mendapat surat ingatan bertarikh 6 Mac 1998 daripada pihak yang sama. Mengikut keterangan plaintif selanjutnya beliau telah pada hari tersebut menandatangani surat perjanjian jual beli (eks. P4B) dan membuat bayaran cagaran sebanyak RM16,750 yang bersamaan dengan 10% dari harga jualan hartanah berkenaan. Resit bayaran tersebut dikemukakan sebagai eks. P2. Kedua-dua eks. P2 dan P4B menunjukkan bahawa hartanah yang dimaksudkan dalam perjanjian jual beli ini adalah berhubung dengan Lot No. 406 di dalam projek yang dimaksudkan yang merupakan sebuah rumah kedai tiga tingkat. Walau baga