2024 MarsdenLR 2276
MAHKAMAH SEKSYEN PETALING JAYA
BURGESS RAWSON MANAGEMENT SDN BHD LWN. ARMANEE CONDOMINIUM JOINT MANAGEMENT BODY
[Writ Saman No: BB-B52NCvC-17-02/2024]
Mahkamah mempunyai budibicara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman berdasarkan keadaan khas yang mungkin mengakibatkan keputusan menjadi sia-sia jika pelaksanaan diteruskan.
Headnote:(A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 - A 45 k 11 dan A 92 k 4 - Penggantungan pelaksanaan penghakiman - Defendan memohon penggantungan pelaksanaan penghakiman terus yang memerintahkan pembayaran kepada plaintif, dengan alasan terdapat keadaan khas yang memerlukan penggantungan. (Paras 3, 4, 10, 11, 12)
(B) Kuasa Mahkamah - Mahkamah mempunyai budibicara untuk memberikan penggantungan pelaksanaan berdasarkan keadaan khas, dan keputusan untuk memberikan penggantungan pelaksanaan adalah untuk mengelakkan ketidakadilan. (Paras 16, 18)
Facts of the case:
Defendan memfailkan permohonan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus yang memerintahkan pembayaran sejumlah RM339,393.42 kepada plaintif, dengan alasan terdapat keadaan khas yang mungkin menyebabkan keputusan menjadi sia-sia jika pelaksanaan diteruskan. (Paras 1, 4)
Findings of Court:
Mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan setelah meneliti keadaan yang dihadapi oleh defendan dan potensi kesan kepada pihak lain jika pelaksanaan diteruskan. (Paras 20)
Issues: Adakah terdapat keadaan khas yang membenarkan penggantungan pelaksanaan penghakiman terus yang memihak kepada plaintif? (Paras 4, 7)
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa keadaan khas wujud yang membenarkan penggantungan kerana penghakiman terus yang memihak kepada plaintif mungkin terjejas oleh Tuntutan Balas defendan yang masih belum diputuskan. (Paras 9, 12)
Result: Notis Permohonan Defendan dibenarkan dengan kos dalam kausa.
PENGHAKIMAN
(Rayuan Interlokutori)
Latarbelakang Kes
[1] Ini adalah rayuan Perayu/Plaintif BURGESS RAWSON MANAGEMENT SDN BHD [COMPANY NO: 361976W], melalui Notis Rayuan di Lampiran 62 atas yang tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen selain keputusan yang diputuskan selepas perbicaraan di Petaling Jaya pada 2 Ogos 2024 di mana Hakim Mahkamah Sesyen telah membenarkan Notis Permohonan bertarikh 6 Jun 2024 (Lampiran 31) dengan kos dalam kausa.
[2] Mahkamah telah meneliti Notis Permohonan, affidavit-afidavit, hujahan dan otoriti kedua-dua pihak dan atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah telah membenarkan Notis Permohonan Lampiran 31 dengan kos dalam kausa.
[3] Notis Permohonan di Lampiran 31 adalah satu Notis Permohonan yang difailkan oleh Defendan di bawah A 45 k 11 dan/atau A 92 k 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau bidang kuasa yang sedia ada bagi Mahkamah Yang Mulia, untuk satu perintah seperti berikut:
1. Bahawa segala prosiding perlaksanaan/prosiding penggulungan untuk menguatkuasakan Penghakiman Terus bertarikh 30 Mei 2024 yang memerintahkan Defendan untuk membayar sejumlah RM339,393.42 beserta faedah dan kos kepada Plaintif digantung sehingga pelupusan sepenuhnya Tuntutan Balas Defendan terhadap Plaintif;
2. Bahawa satu penggantungan perlaksanaan interim diberikan sementara menunggu pelupusan dan pendengaran penuh Permohonan ini;
3. Bahawa kos permohonan ini dijadikan kos dalam kausa; dan
4. Relif-relif lain dan/atau perintah-perintah lain atau lanjut yang dianggap patut dan sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini.
[4] Alasan permohonan Defendan adalah sebagaimana affidavit sokongan sebagaimana berikut:
1) Defendan telah memfailkan suatu rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 6 Jun 2024 terhadap keseluruhan Keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan Permohonan Penghakiman Terus Plaintif pada 30 Mei 2024;
2) Defendan mempunyai Rayuan yang bermerit dan terdapat keadaan-keadaan khas ("special circumstances") yang menjustifikasikan suatu perintah penggantungan diberikan. Oleh demikian, jika perintah penggantungan tidak dibenarkan dan Plaintif memulakan prosiding pelaksanaan/penggulungan terhadap Defendan untuk mendapatkan jumlah Penghakiman Terus tersebut Bersama faedah dan kos, Rayuan dan Tuntutan Balas dan/atau Pembelaan set-off Defendan akan menjadi sia-sia ("nugatory");
3) Tiada prejudis terhadap pihak-pihak dan kerugian Plaintif (sekiranya ada) adalah boleh dipampas dengan faedah;
4) Keseimbangan kesenangan memihak kepada Defendan dan wajar untuk memberikan perintah penggantungan pelaksanaan kerana Defendan mempunyai Tuntutan Balas yang bermerit yang mana ganti rugi yang dituntut daripada Plaintif boleh digunakan untuk mengimbangi ("set-off") jumlah yang dituntut oleh Plaintif;
[5] Plaintif telah menjawab kepada affidavit Defendan sebagaimana affidavit balasan di Lampiran 38 sebagaimana berikut:
1) Defendan gagal menunjukkan keadaan khas yang mewajarkan penggantungan.
2) Penghakiman Terus adalah satu penghakiman monetary yang mana penggantungan pelaksanaan tidak sepatutnya dibenarkan.
3) Penghakiman Terus, sehingga diketepikan melalui rayuan, adalah mengikat kedua-dua pihak dan mesti dipenuhi.
4) Isu utama yang dibangkitkan oleh Defendan kononnya kemungkiran kewajipan telah dibangkitkan dan dibicarakan (ventilate) oleh Mahkamah yang Mulia ini.
5) Defendan gagal menunjukkan bagaimana Pembelaan dan Tuntutan Balas mereka akan menjadi sia-sia (nugotori) jika rayuan dibenarkan.
6) Tujuan pemfailan permohonan ini adalah hanya sebagai tirai bagi menangguhkan pembayaran yang perlu dibayar dan terakru oleh Defendan.
7) Plaintif tidak sepatutnya dinafikan haknya untuk mendapat hasil litigasinya.
8) Defendan tidak mengalami prejudis kerana Defendan hanya perlu membayar hutang kepada Plaintif.
[6] Mahkamah meneliti Notis Permohonan Defendan yang dibuat di bawah A 45 k 11 dan/atau A 92 k 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau bidang kuasa yang sedia ada bagi Mahkamah Yang Mulia yang Mahkamah kemukakan semula sebagaimana berik