2005 MarsdenLR 329
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
PP LWN. KANDASAMY MUNIANDY
[Rayuan Jenayah No: 41-38-2004]
Zaharah Ibrahim PK:
Ini merupakan rayuan yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya terhadap keputusan yang dibuat oleh Majistret, Mahkamah Majistret Kajang yang memerintahkan supaya penentang dalam kes ini diikat jamin untuk berkelakuan baik selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah dengan jaminan tidak bercagar sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin di bawah subseksyen 294(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Selepas meneliti rekod rayuan dan mendengar hujah kedua-dua pihak pada 1 Februari 2005, saya telah menolak rayuan Pendakwa Raya berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di bawah.
Latar Belakang
Penentang dalam kes ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang buat pertama kali pada 14 Julai 2000. Dia telah dipertuduh dengan pertuduhan di bawah s 379A Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan mencuri sebuah motor bas No BCJ 6188 jenis TATA berwarna biru. Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan di bawah s 411 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan menyimpan motor bas yang sama dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa bas itu barang curi.
Perbicaraan kes telah bermula pada 3 April 2001. Selepas dua orang saksi pihak pendakwa, iaitu tuan punya motor bas dan anaknya, memberikan keterangan, pada 3 April 2001 dan pada 11 Februari 2002, kes telah ditangguhkan beberapa kali, sehinggalah ke 13 Januari 2004 apabila penentang telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu di bawah s 411 Kanun Keseksaan. Kes telah ditangguhkan lagi ke 21 Januari 2004 untuk hukuman. Selepas fakta kes dikemukakan oleh pegawai pendakwa dan diakui oleh penentang, pengakuan bersalah penentang telah diterima oleh Majistret dan Majistret telah mensabitkan penentang atas pertuduhan pilihan itu.
Selepas mendengar rayuan peringanan hukuman daripada penentang, Majistret yang berkenaan telah membuat perintah di bawah s 294 Kanun Tatacara Jenayah, iaitu supaya tertuduh mengikat bon bernilai RM5,000 (tanpa cagaran) dengan seorang penjamin untuk selama tiga tahun dengan jaminan untuk berkelakuan baik selama tiga tahun.
Dalam alasan keputusannya, Majistret yang berkenaan telah menghuraikan prinsip-prinsip yang digunakannya sebagai panduan dalam membuat perintah di bawah subseksyen 294(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Majistret yang berkenaan juga telah menimbangkan dengan teliti sama ada beliau mempunyai kuasa untuk menggunakan peruntukan subseksyen 294(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan di bawah s 411 Kanun Keseksaan yang melibatkan kenderaan motor.
Alasan Rayuan
Pendakwa Raya telah membangkitkan alasan-alasan rayuan yang berikut dalam petisyen rayuannya:
(1) Majistret telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memberikan penekanan terhadap faktor kepentingan awam dengan sewajarnya dalam menjatuhkan hukuman;
(2) Majistret telah khilaf dari segi fakta apabila menjatuhkan hukuman yang terlampau ringan;
(3) Majistret telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira kekerapan kesalahan yang dilakukan oleh penentang;
(4) Majistret telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira kesalahan yang dilakukan oleh penentang merupakan kesalahan yang serius;
(5) Majistret terlampau terpengaruh dan memberikan keutamaan kepada faktor-faktor kepentingan peribadi penentang tanpa memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap kepentingan awam secara keseluruhannya;
(6) Majistret telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan yang boleh mencegah penentang mahupun orang lain daripada mengulangi kesalahan yang serupa.
Isu
Isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah di peringkat rayuan ini ialah:
(1) Sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk menggunakan budi bicara di bawah subseksyen 294(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan di bawah s 411 Kanun Keseksaan yang melibatkan kenderaan motor;
(2) Jika mahkamah mempunyai kuasa sedemikian, sama ada majistret yang berkenaan telah menjalankan kuasa budi bicaranya itu dengan wajar mengambil kira peruntukan undang-undang dan fakta k