2022 MarsdenLR 1200
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
ISMAIL AHMAD LWN. CELCOM NETWORKS SDN BHD & SATU LAGI
[Rayuan Sivil No: W-01(A)-565-10/2020]
Important Points
Subject
Employment Law - Unfair Dismissal
Act Referred
Headnote
(Facts of the case: Pemohon dipecat tanpa sebab yang kukuh setelah disoal siasat, mendakwa terdapat paksaan dalam pengakuan. Mahkamah Perusahaan mendapati pemecatan adalah adil, namun pemohon ingin membatalkan keputusan tersebut melalui semakan kehakiman.)
(Findings of Court: Mahkamah mengesahkan keputusan responden kedua tidak sah kerana melanggar prinsip keadilan semula jadi, keputusan tersebut terjejas oleh kekhilafan undang-undang.)
(Issues: Apakah keputusan pemecatan telah dilakukan dengan adil dan prinsip keadilan semula jadi dipatuhi?)
(Ratio Decidendi: Kegagalan untuk memberikan hak pembelaan dan peluang untuk didengar sebelum pemecatan adalah pelanggaran prinsip asas keadilan semula jadi, mengakibatkan keputusan tidak sah.)
(Result: Rayuan pemohon dibenarkan dan keputusan responden kedua diketepikan.)
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Ini adalah rayuan oleh Ismail Ahmad (pemohon/perayu) terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan pemohon/perayu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keseluruhan keputusan Mahkamah Perusahaan Malaysia (responden kedua) yang dibuat melalui Ismail Ahmad v. Celcom Networks Sdn Bhd bertarikh 17 September 2019 (Award 2510). Dalam Award 2510 tersebut, responden kedua telah mengesahkan tindakan Celcom Networks Sdn Bhd (responden pertama) memecat pemohon/perayu daripada jawatan yang disandangnya bermula dari 6 April 2018 setelah pemohon/perayu digantung kerja mulai 9 Mac 2018.
[2] Untuk memudahkan sebutan, pihak-pihak akan dirujuk sama seperti di Mahkamah Tinggi iaitu pemohon dan responden.
Latar Belakang Ringkas Kes Pemohon
[3] Pemohon telah dilantik oleh responden pertama sebagai jurutera pada 28 Disember 1993. Setelah menjalani tempoh percubaan selama 6 bulan, pemohon telah disahkan dalam jawatan dan telah dinaikkan pangkat dari semasa ke semasa. Pemohon telah berkhidmat dengan cemerlang selama 24 tahun dan jawatan terakhir pemohon dengan responden pertama sebelum dipecat adalah sebagai 'Senior Lead (WM Operational Management)' dengan gaji sebanyak RM14,810.00 sebulan.
[4] Pada 18 Januari 2018, pemohon telah dipanggil oleh 2 orang pegawai dari Jabatan 'Fraud Investigation Management' (Jabatan FIM) untuk disoal siasat. Selepas soal siasat tersebut selesai, pemohon telah diminta untuk menandatangani suatu dokumen iaitu kesimpulan soal siasat.
[5] Dua bulan kemudian, pemohon sekali lagi disoal siasat oleh pegawai- pegawai yang berlainan dari Jabatan FIM pada 8 Mac 2018. Pemohon mendakwa bahawa soal siasat pada kali ini melibatkan unsur ugutan dan paksaan. Sebelum soal siasat bermula, pemohon telah diberikan amaran bahawa laporan polis akan dibuat sekiranya pemohon enggan bekerjasama. Oleh sebab itu, pemohon telah mengaku salah seperti yang disuruh oleh pegawai-pegawai yang menyiasat tersebut.
[6] Selanjutnya, responden pertama melalui surat bertarikh 8 Mac 2018 telah tanpa sebab menggantungkan kerja pemohon yang mula berkuat kuasa pada 9 Mac 2018. Berdasarkan laporan soal siasat ke atas pemohon yang telah dimajukan kepada 'Defalcation Committee' (DC), pemohon kemudiannya telah diberhentikan kerja mulai dari 6 April 2018. Sebagai tindakan susulan, pemohon telah mengemukakan rayuan kepada responden pertama pada 30 April 2018. Namun begitu, ianya telah ditolak tanpa diberikan pertimbangan dan alasan yang sewajarnya.
[7] Pemohon telah kemukakan aduan di bawah s 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (APP 1967). Dengan kuasa di bawah subseksyen 20(3) APP 1967, Menteri telah bersetuju untuk merujuk aduan pemohon kepada responden kedua untuk diputuskan. Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, responden kedua telah menurunkan Award 2510 pada 17 September 2019 yang mana telah diputuskan bahawa pemecatan pemohon adalah adil dan berasas. Terkilan dengan keputusan tersebut, pemohon mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Semakan Kehakiman
[8] Pemohon mengemukakan beberapa alasan bagi mewajarkan perintah certiorari dikeluarkan untuk membatalkan award yang diberikan responden kedua. Antara alasan pemohon adalah, responden kedua gagal mengambil kira bahawa responden pertama telah memecat pemohon tanpa bukti kukuh, bukti yang diperoleh adalah berdasarkan paksaan semasa pemohon disoal siasat, pemohon tidak diberitahu alasan disoal siasat dan akibatnya pemohon tidak diberikan peluang untuk membela diri apabila DC bersidang bagi membincangkan tindakan terhadap pemohon. Ditegaskan bahawa responden pertama dengan sengaja mengabaikan prinsip-prinsip keadilan semula jadi semasa memecat pemohon.
[9] Sebaliknya, responden pertama membantah permohonan semakan kehakiman pemohon dengan alasan bahawa prosiding di hadapan responden kedua telah dijalankan dengan adil. Di samping itu, peluang penuh telah diberikan kepada p