1993 MarsdenLR 1501
MAHKAMAH TINGGI, KUALA LUMPUR
DATUK HAJI MOKHTAR BIN HAJI SIDIN H.
BANK BUMIPUTRA MALAYSIA BERHAD
versus
TETUAN WAN MARICAN HAMZAH & SHAIK & LAGI
GUAMAN SIVIL NO. S4-22-555-92
Decided On : 12-03-93
Bagi pihak plaintif - Paramjit Kaur Dhillon; T/n. Aziz &Mazlan Bagi pihak defendan-defendan - Azhar bin Arman Ali;T/n. Wan Marican, Hamzah & Shaik
Haji Mokhtar Bin Haji Sidin H:
Ini adalah tuntutan gantirugi oleh plaintif iaitu sebuah bank ke atas defendan iaitu satu firma guaman dan rakan kongsi firma tersebut. defendan pertama adalah firma guaman manakala defendan kedua dan ketiga adalah rakan kongsi bagi defendan pertama. Mengikut penyata tuntutannya plaintif menyatakan bahawa pada 7 Ogos 1984 plaintif telah mengarahkan defendan pertama untuk menyediakan dan mendaftarkan dokumen-dokumen gadaian/cagaran berkenaan kemudahan overdraf berjumlah RM120,000 yang telah diluluskan oleh plaintif kepada seorang bernama Rosley bt. Wahab. Melalui surat defendan pertama bertarikh 30 Ogos 1984 defendan pertama telah menyatakan yang ia telah menyempurnakan urusan pendaftaran dokumen-dokumen gadaian/cagaran di Pejabat Tanah, Padang Terap, Kedah. Mengikut plaintif berasaskan surat defendan pertama itu ia telah mengeluarkan wang sejumlah RM120,000 kepada Rosley bt. Wahab. Plaintif menyatakan ia melepaskan wang berkenaan di atas kepercayaan bahawa semua dokumen-dokumen gadaian/cagaran telahpun disempurnakan oleh defendan pertama. Plaintif kemudiannya telah mendapat tahu bahawa defendan telah gagal menyempurnakan dokumen-dokumen gadaian/cagaran yang dinyatakan di atas dan di atas alasan tersebut plaintif telah menyatakan defendan telah cuai. Di atas kecuaian tersebut plaintif menyatakan yang ia telah mengalami kerugian wang yang dilepaskan kepada Rosley bt. Wahab dan faedah yang boleh dikenakan sehingga 27 Julai 1992 berjumlah RM325,916.62. Dengan itu plaintif sekarang menuntut gantirugi jumlah tersebut daripada defendan.
Defendan di dalam penyata pembelaannya menyatakan bahawa kerugian yang dialami oleh plaintif bukanlah di atas kecuaian defendan tetapi di atas kegagalan Rosley bt. Wahab yang telah melanggar perjanjian pinjaman yang dibuat olehnya dengan plaintif. Keduanya defendan telah menyatakan bahawa plaintif tidak berhak untuk mengambil tindakan kerana tindakan ini telah melebihi enam (6) tahun daripada kecuaian dan pelanggaran kewajipan yang telah dinyatakan oleh plaintif. Halangan ini telah diperuntukkan oleh seksyen 6 Akta Had Masa 1953 (Limitations Act).
Plaintif telah memfailkan satu permohonan bertarikh 6 Mac 1993 untuk mendapatkan penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 di atas alasan bahawa pembelaan defendan tidak ada menunjukkan apa-apa pembelaan yang berasas. Defendan pula telah memfailkan satu permohonan bertarikh 28 April 1993 untuk membatalkan writ dan penyataan tuntutan plaintif. Kedua-dua permohonan telah ditetapkan untuk pendengaran serentak di hadapan saya.
Di hari pendengaran permohonan pada 15 Oktober 1993 saya telah membuat keputusan untuk mendengar permohonan defendan dahulu kerana saya berpendapat sekiranya permohonan defendan dibenarkan maka tuntutan dan permohonan plaintif dengan sendirinya akan lupus. Di dalam permohonan defendan setelah menelitinya saya berpendapat defendan hanya membangkitkan satu isu yang boleh dipertimbangkan dan mempunyai merit iaitu tuntutan plaintif telah melebihi had masa yang diperuntukkan oleh undangundang dan oleh itu plaintif tidak berhak membuat tuntutan ini. Plaintif telah membantah isu ini ditimbulkan oleh defendan kerana ia tidak dibangkitkan di dalam permohonan. Adalah jelas kepada saya bahawa isu ini telah dibangkitkan di dalam penyata pembelaannya dan juga di dalam afidavit menyokong permohonan defendan. Di samping itu saya berpendapat ini adalah merupakan satu isu undangundang dan dengan itu mana-mana pihak boleh membangkitkannya pada bila-bila masa. Dengan itu saya telah menolak bantahan oleh plaintif.
Berkenaan isu ini defendan menyatakan bahawa plaintif tidak berhak mengambil tindakan ini kerana ia melebihi tempoh enam tahun sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Had Masa 1953. Defendan menyatakan kausa tindakan plaintif ialah berasaskan "tortious liability" iaitu kecuaian (negligence) yang telah dilakukan oleh defendan. Ini tidak dinafikan oleh plaintif. Defen