2009 MarsdenLR 1258
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
CHEW SOO HO, PANEL MAJIKAN: AMIR HARJEET ABDULLAH, PANEL PEKERJA: LIM WENG KHUAN
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KAMAYA ELECTRIC (M) SDN BHD
Versus
KAMAYA ELECTRIC (M) SDN BHD
AWARD NO: 765 TAHUN 2009 (KES NO: 5(12)/3-886/05)
Decided On : 26 JUN 2009
Rujukan ini di bawah Seksyen 8(2A) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia adalah berpunca daripada pertikaian perusahaan di antara Kamaya Electric (M) Sdn Bhd. (Pihak Responden) dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Kamaya Electric (M) Sdn Bhd., (Pihak Kesatuan) mengenai tindakan-tindakan majikan yang menyalahi Seksyen 4(1) dan Seksyen 5(a), (c), dan (d) Akta yang sama.
Kes ini telah dibangkitkan untuk perbicaraan pada 26.06.2009 dengan kehadiran Encik Dexter Mah dari Tetuan K.S. Su & Mah, peguamcara yang mewakili Pihak Responden. Pihak Kesatuan dan wakilnya dari M.T.U.C. tidak hadir. Encik Dexter Mah memohon agar kes ini dibatalkan atas alasan-alasan bahawa Pihak Kesatuan tidak mengemukakan sebarang sebab yang berpatutan kepada Mahkamah bagi ketidak-hadiran mereka dan wakilnya dari M.T.U.C.; yang kedua, kes ini ialah kes tahun 2005 dan terdapat banyak kali penangguhan yang mana Pihak Kesatuan atau wakilnya didapati telah tidak hadir beberapa kali tetapi Mahkamah sebelum ini telah memberi peluang kepada Pihak Kesatuan tanpa membatalkan kes ini; sejumlahnya, Pihak Responden telah hadir kes ini sebanyak 15 kali sekurang-kurangnya dan kesimpulanya Pihak Kesatuan tidak berminat untuk meneruskan kes ini dengan ketidak-kehadiran pada perbicaraan kali ini juga.
Mahkamah ini sebenarnya telah menunda kes ini dari 9.00 pagi sehingga 10.10 pagi sebelum memanggil kes ini untuk perbicaraan kerana memberi peluang kepada Pihak Kesatuan dan/atau wakilnya dari M.T.U.C. untuk hadir tetapi mereka telah gagal menghadiri apabila kes ini dipanggil untuk perbicaraan. Tiada alasan dikemukakan dan tiada permohonan penangguhan dipohon. Mahkamah langsung tidak dihubungi oleh Pihak Kesatuan atau wakilnya dari M.T.U.C. Kes ini ialah kes tahun 2005 dan telah memakan masa lebih kurang 4 tahun sehingga tarikh hari ini dengan beberapa penangguhan. Sungguh pun Mahkamah telah menerima satu fax dengan disertakan cuti sakit seorang bernama Zaharudin yang berkaitan kes ini tetapi tiada maklumat mengenai apa peranan penama tersebut iaitu sama ada beliau wakil yang mengendalikan kes ini atau beliau seorang saksi di dalam kes ini atau untuk apa; Mahkamah ini langsung tidak dimaklumkan kerana tiada surat dikepilkan atau permohonan penangguhan dikemukakan. Mahkamah mendapati tiada alasan untuk kes ini ditangguh lagi selepas 4 tahun tanpa sebarang permohonan penangguhan yang disokong dengan alasan yang bukan sahaja munasabah bahkan luar biasa (exceptional). Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Pihak Responden bahawa Pihak Kesatuan telah tidak menunjukkan minat untuk meneruskan kes ini dan ia telah menyebabkan "undue delay" di dalam kes ini. Maka, Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguamcara tersebut agar kes ini ini sewajarnya dibatalkan dan dengan ini Mahkamah mengeluarkan Award membatalkan kes ini.