2009 MarsdenLR 3298
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
CHEW SOO HO, PANEL PEKERJA: ALAKU VISWANATHAN, PANEL MAJIKAN: TEH YONG TENG
MENTARI MURNI SDN BHD
Versus
SARIAH HASSAN
AWARD NO: 649 TAHUN 2009 (KES NO: 5/1-71/09)
Decided On : 27 MEI 2009
Suatu pengaduan telah difailkan oleh Puan Sariah binti Hassan, Pihak Pengadu terhadap Mentari Murni Sdn. Bhd., Pihak Responden menurut seksyen 56(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kerana ketidak-patuhan Award No. 2147 Tahun 2008 yang diperturunkan oleh Mahkamah Perusahaan No. 19 pada 19.12.2008 dalam Kes No. 19/4-2593/06 oleh Pihak Responden.
Kes ini dibangkitkan untuk perbicaraan pada 27.5.2009 dengan kehadiran Encik Mahadi bin Muhammad dari Tetuan Mahadi Redzuan & Co., peguamcara yang mewakili Pihak Pengadu. Pihak Responden tidak hadir. Tiada alasan dikemukakan mengapa ia tidak hadir. Encik Mahadi bin Muhammad memohon agar Mahkamah meneruskan dengan perbicaraan kes tanpa kehadiran Pihak Responden kerana Pihak Responden sedar akan tarikh perbicaraan pada hari ini apabila pengarahnya menghadiri Mahkamah pada 14.4.2009 untuk sebutan kes ini dan Pihak Responden juga tidak memfailkan apa-apa dokumen untuk menentang pengaduan kes ini.
Memandangkan Pihak Responden tidak hadir Mahkamah tanpa apa-apa alasan, maka Mahkamah meneruskan perbicaraan kes ini tanpa kehadirannya menurut peruntukan seksyen 29(d) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Dalam hujahannya, Encik Mahadi bin Muhammad menghuraikan bahawa kes asal iaitu Kes No. 19/4-2593/06 adalah suatu kes pembuangan kerja yang tidak berpatutan (unfair dismissal). Ketika perbicaraan kes asal, Pihak Responden juga tidak hadir di Mahkamah dan kes tersebut telah didengar pada 23.10.2007 tanpa kehadiran Pihak Responden. Pihak Menuntut/ Pengadu telah memberi keterangan dan setelah mendengar keterangan dan hujahan, Mahkamah telah memutuskan bahawa Pihak Menuntut/Pengadu telah dibuang kerja dengan tidak berpatutan. Maka Mahkamah telah mengeluarkan Award No. 2147 Tahun 2008 yang memperintahkan Pihak Responden membayar RM10,000.00 kepada Pihak Menuntut/Pengadu dalam tempoh 30 hari dari tarikh Award tersebut iaitu dari 19.12.2008. Walau bagaimana pun Pihak Responden telah tidak menjelaskan bayaran tersebut. Oleh itu, pengaduan ini telah difailkan oleh Pihak Pengadu. Pihak Responden memang sedar akan prosiding ketidak-patuhan Award ini dan hanya memilih untuk menghadiri sekali sahaja pada 14.4.2009 untuk sebutan. Pihak Responden juga tidak memfailkan sebarang affidavit untuk menentang pengaduan ini dan tidak mencadangkan apa-apa penyelesaian. Encik Mahadi bin Muhammad berhujah bahawa Pihak Responden tidak mempunyai keadaan khas (special circumstances) untuk tindakannya yang tidak membalas atau tidak menentang prosiding ketidak-patuhan Award kes ini. Beliau memohon agar Mahkamah mengeluarkan Award untuk Pihak Responden mematuhi Award No. 2147 Tahun 2008 tersebut.
Memandangkan Pihak Responden tidak membangkitkan apa-apa keadaan khas (special circumstances) di dalam kes ini dengan tidak memfailkan apa jua dokumen atau pliding serta ketidak-hadirannya di Mahkamah ini pada tarikh perbicaraan kes ini, dan setelah mendengar hujahan peguamcara Pihak Pengadu dan setelah meneliti segala dokumen berkaitan yang difailkan, maka Mahkamah berpuashati bahawa Pihak Responden telah gagal mematuhi Award tersebut. Mahkamah dengan itu mengeluarkan Award memerintahkan Pihak Responden mematuhi Award No. 2147 Tahun 2008 tersebut yang diperturunkan pada 19.12.2008 dalam tempoh 14 Hari daripada tarikh Award ini.