2023 MarsdenLR 81
MAHKHAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
MOHAMAD ALRAZIQ RAMLI LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: W-05(SH)-397-10-2021]
Effective warning under Section 37B(1) is crucial for admissibility of statements in drug cases.
Headnote:This judgment addresses the appeal of the appellant against the conviction for drug possession under Section 6 of the Dangerous Drugs Act 1952. The court finds that the prosecution failed to prove possession and knowledge of the drugs due to procedural errors in administering the caution. Consequently, the appeal was allowed, and the conviction overturned.
| Table of Content |
|---|
| 1. conviction and sentence are recorded. (Para 1 , 2 , 3) |
| 2. police procedures during arrest and evidence collection. (Para 4 , 5 , 6 , 7 , 8) |
| 3. court's determination of prima facie case. (Para 9 , 10 , 11) |
| 4. defense witnesses and their testimony. (Para 13 , 14 , 15 , 16) |
| 5. issues raised in appeal. (Para 17 , 18 , 19 , 20 , 21 , 22) |
| 6. importance of proper caution wording. (Para 23 , 24 , 25 , 26 , 28 , 30 , 33 , 34) |
| 7. credibility of police witness testimonies. (Para 35 , 36 , 37 , 38) |
| 8. court determinations on knowledge and possession. (Para 39 , 40 , 41 , 42 , 43 , 44 , 45 , 46 , 47 , 48) |
Pengenalan
[1] Perayu telah disabitkan dengan suatu pertuduhan pindaan di bawah s 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39A(2) Akta yang sama dan dikenakan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan.
[2] Ini adalah rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman.
[3] Rayuan perayu telah didengar oleh kami pada 16 Mac 2023. Pada tarikh yang sama, kami sebulat suara membenarkan rayuan perayu. Kami mengenepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi. Perayu dibebas dan dilepaskan.
Pertuduhan Pindaan
Bahawa kamu pada 26 Mac 2019 jam lebih kurang 10.15 malam, ditepi jalan kawasan belakang pusat membeli belah Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail, dalam Daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memiliki dadah berbahaya jenis cannabis berat bersih 2940.2 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah s 39A(2) Akta yang sama.
Kes Pendakwaan
[4] Pada 26 Mac 2019 jam lebih kurang 10.15 malam, Insp Mohd Haszaruddin Kamaruzzaman (SP2) bersama pasukannya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur telah menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dengan nombor pendaftaran WTF 1013 di tepi jalan kawasan belakang pusat membeli belah Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
[5] Selepas kereta ditahan, SP2 mengarahkan pemandu untuk menurunkan tingkap kereta. Selepas tingkap dibuka dari dalam, didapati pemandu adalah seorang lelaki Melayu iaitu perayu (OKT). SP2 memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa kepada perayu. Hanya perayu seorang sahaja yang berada di dalam kereta. SP2 menyuruh perayu mematikan enjin kereta dan keluar dari kereta. SP2 menjalankan pemeriksaan badan ke atas perayu dan tidak menjumpai apa-apa barang salah.
[6] SP2 telah bertanya kepada perayu sama ada perayu ada menyimpan apa-apa barang salah atau tidak. Perayu kononnya memberitahu SP2 "ada di dalam kereta disebelah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri kereta". SP2 kemudiannya mengarahkan perayu untuk mengambilnya. Perayu telah mengambil satu beg galas plastik berwarna putih bertulis "King of Trainers JD" (ekshibit P13) dari tempat duduk penumpang hadapan dan menyerahkannya kepada SP2.
[7] Setelah dibuat pemeriksaan, SP2 mendapati di dalam beg tersebut terdapat tiga (3) ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar yang disyaki ganja. Tiga ketulan mampat ini dirampas oleh SP2 dan perayu ditangkap. Perayu dan barang yang dirampas dibawa balik ke Balai Polis Dang Wangi.
[8] Tiga ketulan mampat daun kering yang dirampas dari dalam kereta perayu telah dianalisa oleh ahli kimia (SP4) dan disahkan adalah dadah jenis cannabis dengan berat 2940.2 gram. Cannabis adalah dadah berbahaya di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB), Oleh itu, perayu dituduh dengan kesalahan mengedar dadah di bawah s 39B(1)(a) Akta yang sama.
Keputusan Di Akhir Kes Pendakwaan
[9] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan pengedaran. Sebaliknya, HMT berpusahati bahawa suatu kes prima facie telah dibuktikan di bawah s 6 ADB dan meminda pertuduhan.
[10] HMT memutuskan bahawa perayu mempunyai milikan, kawalan dan jagaan ke atas dadah yang dijumpai di dalam kereta dengan mengambi