2025 MarsdenLR 1108
MAHKAMAH SESYEN KUALA LUMPUR
MUHAMMAD NOORAMSYAR MOHD LIMY LWN. RHB ISLAMIC BANK BERHAD
[Guaman No: WA-A52M-2524-05/2024]
Defendan tidak gagal memenuhi kewajipan kontraktual dalam mendapatkan perlindungan GRTT bagi si mati, kerana proses permohonan dilakukan dalam masa yang munasabah dan kematian si mati tidak dapat dijangkakan.
Headnote:(A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 - A 18 k 19(1)(b) dan (d) - Permohonan untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan - Defendan memohon pembatalan tuntutan berdasarkan kegagalan plaintif memenuhi kewajipan kontraktual dalam mendapatkan perlindungan GRTT - Defendan telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan memproses permohonan dalam masa yang munasabah. (Paras 1-33)
(B) Tanggungjawab Kontraktual - Defendan bertanggungjawab untuk mendapatkan perlindungan GRTT bagi si mati dalam tempoh masa yang munasabah - Kematian si mati tidak dapat dijangkakan oleh defendan dan tidak menghalang proses kelulusan. (Paras 18-30)
(C) Kelayakan dan Proses Permohonan - Proses kelayakan dan penilaian kredit si mati dilakukan dengan wajar dan dalam masa yang munasabah. (Paras 28-32)
Facts of the case:
Defendan memproses permohonan pembiayaan si mati yang melibatkan perlindungan GRTT, namun si mati meninggal dunia sebelum perlindungan itu dapat dilaksanakan. Defendan hanya mengetahui tentang kematian si mati 10 bulan kemudian.
Findings of Court:
Defendan telah melaksanakan tanggungjawab kontraktual dan proses permohonan dalam masa yang munasabah, dan plaintif tidak mempunyai asas tuntutan yang munasabah.
Issues: Adakah defendan gagal memenuhi kewajipan kontraktual dalam mendapatkan perlindungan GRTT bagi si mati?
Ratio Decidendi: Mahkamah mendapati bahawa defendan telah bertindak dengan berhati-hati dan dalam masa yang munasabah dalam memproses permohonan, dan kematian si mati tidak dapat dijangkakan.
Result: Permohonan defendan untuk membatalkan tuntutan plaintif dibenarkan dengan kos sebanyak RM3,000.00.
PENGHAKIMAN
(Lampiran 10 Pembatalan Writ Dan Penyata Tuntutan)
Pengenalan
[1] Melalui Lampiran 10, Defendan memohon bagi perintah di bawah bidang kuasa sedia ada Mahkamah atau menurut A 18 k 19(1)(b) atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 seperti berikut:
1. Bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif (selepas ini dirujuk sebagai "Writ dan Pernyataan Tuntutan") bertarikh 6 Mei 2024 dalam tindakan ini dibatalkan terhadap Defendan;
2. Bahawa kos Permohonan ini dibayar oleh Plaintif kepada Defendan; dan
3. Apa-apa relif lain dan tambahan yang difikirkan wajar dan sesuai oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
Latar Belakang Kes
[2] Pada 6 Februari 2020, atas permohonan Si Mati, Si Mati telah menandatangani Surat Tawaran Bersyarat bagi Kemudahan Pembiayaan-i Berjangka berjumlah RM50,267.00 yang dijamin oleh Sijil Amanah Saham Berhad (ASB), yang telah diterima oleh Si Mati berdasarkan terma dan syarat yang terkandung di dalamnya.
[3] Kemudahan tersebut adalah bertujuan untuk membiayai pembelian 50,000-unit ASB oleh Si Mati dan juga sebagai Pelan Insurans yang dikenali sebagai Group Reducing Term Takaful (GRRT) oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, yang menyediakan perlindungan bagi Kemudahan tersebut untuk tempoh selama 5 tahun.
[4] Tujuan GRRT tersebut adalah untuk memberikan perlindungan terhadap Defendan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas si mati semasa tempoh pembiayaan.
[5] Si Mati telah bersetuju dengan terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam Surat Tawaran Bersyarat, yang mana memperuntukkan bahawa Tawaran itu tertakluk kepada kelulusan status kredit Si Mati oleh pihak Defendan dan penyempurnaan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh Plaintif dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja.
[6] Permohonan si Mati telah diproses sepenuhnya oleh Defendan mengikut aliran kerja dan diselesaikan dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja seperti mana kronologi-kronologi yang berikut:
(a) Pada 7 Februari 2020, Defendan telah mendaftarkan permohonan si Mati ke dalam sistem perbankan dalam talian Defendan yang dikenali sebagai Sistem Flash;
(b) Dari 11 Februari 2020 sehingga 13 Februari 2020, permohonan Si Mati berada dalam proses semakan dan penilaian bagi pengesahan kelayakan, penilaian kredit, dan kelulusan oleh pihak Defendan;
(c) Si Mati mempunyai pengetahuan bahawa Permohonan tersebut telah diluluskan pada 14 Februari 2020 setelah semakan dan penilaian dijalankan oleh Defendan;
(d) Pada 14 Februari 2020, pada jam 4.34 petang, Defendan telah menghantar permohonan si Mati kepada Permodalan Nasional Berhad untuk tujuan pengesahan kelayakan;
(e) PNB telah meluluskan dan mengembalikan pengesahan melalui Sistem pada 17 Februari 2020 pada jam 4:21 petang; dan
(f) Pada 18 Februari 2020, setelah semua dokumen disempurnakan, Defendan telah membuat pengeluaran pinjaman sebanyak RM50,000.00 ke dalam akaun ASB si Mati dan RM267.00 kepada Takaful Malaysia Berhad.
[7] Si mati meninggal dunia pada 15 Februari 2020 dan Defendan hanya mengetahui tentang si Mati telah meninggal dunia 10 bulan kemudian melalui surat Plaintif bertarikh 10 Disember 2020.
[8] Perlindungan GRTT itu menjadi tidak sah laku oleh kerana si Mati telah meninggal dunia.
[9] Oleh kerana tiada bayaran dibuat terhadap Kemudahan tersebut oleh Plaintif dan/atau si Mati selepas Kemudahan tersebut diluluskan oleh Defendan, pihak Defendan telah mengeluarkan suatu Notis Tuntutan bertarikh 28 Disember 2020 terhadap si Mati.
[10] Defendan telah memaklumkan bahawa atas kegagalan mengawal selia Pembiayaan tersebut, Defendan telah menjual semula Sijil ASB yang dicagarkan kepada Defendan.
[11] Namun, hasil jualan Sijil ASB tersebut tidak mencukupi untuk menyelesaikan baki Pembiayaan si Mati tersebut. Jumlah baki yang perlu dijelaskan selepas pelupusan Saham ASB setakat 21 Disember 2020 adalah sebanyak RM1,840.65.
[12] Penjualan semula Sijil ASB tersebut telah dibuat bertujuan untuk menanggung baki Pembiayaan Kemudahan tersebut seperti yang telah ditetapkan di ba