2024 MarsdenLR 3408
MAHKAMAH MAJISTRET KUALA SELANGOR
JAROM ANGKUT SDN BHD LWN. PENDAKWA RAYA
[Kes No: BJ-89-92-02/2024]
Mahkamah menegaskan bahawa peruntukan undang-undang yang jelas harus dipatuhi, dan prosedur penyitaan kenderaan tidak boleh diabaikan sebelum perbicaraan selesai.
Headnote:(A) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 – Seksyen 80(3) dan 80(4) – Permohonan untuk melepaskan kenderaan yang disita – Mahkamah menolak permohonan Pemohon untuk melepaskan lori yang disita kerana prosedur undang-undang tidak dipatuhi – Pemohon tidak dapat membuktikan bahawa kesalahan tidak dibuktikan dalam masa 30 hari – Mahkamah berpegang kepada peruntukan undang-undang yang jelas dan tidak samar. (Paras 5, 11, 12, 16)
Facts of the case: Pemohon adalah syarikat logistik yang lori miliknya disita kerana membawa muatan berlebihan. Pemohon memohon pelepasan lori tersebut setelah dituduh di mahkamah, tetapi kes masih belum dibicarakan.
Findings of Court: Mahkamah mendapati bahawa prosedur penyitaan adalah sah dan tidak ada keperluan untuk melepaskan lori sebelum perbicaraan selesai.
Issues: Isu utama adalah sama ada Majistret boleh mengeluarkan perintah pelepasan sementara tanpa sabitan terlebih dahulu.
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa peruntukan s 80(3) perlu dibaca bersama dengan s 80(4), dan tidak boleh digunakan secara bersendirian.
Result: Permohonan Pemohon ditolak dengan kos.
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Pemohon melalui Notis Usul bertarikh 7 Februari 2024 memohon di bawah s 80(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi mendapatkan perintah-perintah seperti berikut:
i. Bahawa kebenaran diberikan kepada Pemohon untuk memfailkan permohonan ini menurut s 80(3) Akta yang sama;
ii. Bahawa Responden melepaskan kenderaan bernombor pendaftaran BLM 7210 dalam keadaan baik pada pemohon sebagai pemilik asal kenderaan-kenderaan dalam masa 24 jam dari tarikh perintah ini; dan
iii. Perintah-perintah lain yang difikirkan adil dan suai manfaat oleh mahkamah
[2] Responden telah membantah permohonan ini dengan memfailkan Afidavit Jawapan. Kemudian, Afidavit Balasan difailkan oleh Pemohon. Mahkamah telah meneliti dan mendengar permohonan ini dan akhirnya memutuskan untuk menolak permohonan ini dengan kos atas alasan-alasan seperti di bawah.
Latar Belakang
[3] Pemohon adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan logistik yang mana lori digunakan untuk mengangkut barangan ke tempat tertentu pada masa dan tarikh yang ditetapkan. Pada 14 Julai 2023 sebuah lori No pendaftaran BLM 7210 milik Pemohon telah disita oleh Responden di bawah s 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa lebihan muatan sebanyak 40,260kg iaitu 103.23% daripada Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan. Notis sitaan di bawah s 80(2) Akta yang sama telah dikeluarkan kepada Pemohon.
[4] Pada 3 Ogos 2023 Pemohon telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dengan pertuduhan membawa muatan melebihi daripada Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan di bawah s 57(1)(a) dan (b), (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh dihukum di bawah s 57(3) Akta yang sama namun pertuduhan hanya dibacakan terhadap Pemohon pada 20 September 2023. Pemohon tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan dan minta dibicarakan. Setakat tarikh keputusan permohonan ini, kes tersebut masih belum dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah. Perbicaraan kes tersebut ditetapkan mahkamah pada 19 Julai 2024.
Isu-Isu Berbangkit
[5] Setelah mahkamah ini telah meneliti afidavit dan hujahan bertulis Pegawai Pendakwa terpelajar dan Peguambela Responden yang terpelajar bagi permohonan ini, maka terdapat isu utama dalam permohonan ini yang mahkamah ini perlu menjawab terlebih dahulu iaitu:
Sama ada Majistret dibenarkan oleh undang-undang untuk mengeluarkan perintah pelepasan sementara lori tersebut di bawah s 80 (4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu memerintahkan Responden untuk melepaskan lori kepada Pemohon dalam masa 24 jam dari tarikh perintah diberikan mahkamah tanpa Responden disabitkan terlebih dahulu di bawah s 57(3) Akta yang sama.
[6] Pemohon dalam afidavit sokongan bertarikh 6 Februari 2024 menyatakan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan ke atas Pemohon telah gagal dibuktikan dalam masa 30 hari dari tarikh sitaan 14 Julai 2023, maka tiada keperluan bagi lori tersebut ditahan untuk tujuan siasatan dan apa-apa perlaksanaan. Selain itu, Pemohon menyatakan lori tersebut ketika disita masih mempunyai Lesen Kenderaan Motor dan Perlindungan Insurans yang sah dan masih berkuatkuasa di samping Pemohon masih membayar pinjaman bank lori tersebut. Penyitaan lori tersebut menyebabkan Pemohon menanggung kerugian besar selain merencatkan perjalanan perniagaan Pemohon yang semestinya menggunakan lori tersebut untuk operasi perniagaannya.
[7] Responden dalam afidavit balasan bertarikh 29 April 2024 menyatakan bahawa lori telah disita secara sah di bawah s 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan pendakwaan dilakukan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang. Responden menegaskan bahawa peruntukan s 80(3) dan s 80(4) Akta yang sama adalah perlu dibaca bersama. Oleh yang demikian, notis usul ini adalah tidak berkaitan sama sekali kerana lori tersebut telah disita secara sah oleh Responden.
[8] Adalah baiknya sebelum mahkamah ini menerokai isu ini, peruntukan s 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diperturunkan seperti berikut:
80. Power to seize relevant vehicle for