2002 MarsdenLR 1156
MAHKAMAH RAYUAN (KUALA LUMPUR)
ABDUL HAMID MOHAMAD HMR, ABDUL KADIR SULAIMAN HMR, MOHD SAARI YUSOF HMR
DATUK BANDAR KUALA LUMPUR
versus
OOI CHOON LYE
RAYUAN SIVIL NO: W-01-45-2000
Decided On : 03-14-02
Bagi pihak perayu - B Thangaraj; T/n Thangaraj & Assoc
Bagi pihak responden - Ghazi Ishak (Edward Andrew & Anit Kaur Randhawa); T/n Asbir, Hira Singh & Co
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Sebenarnya terdapat empat rayuan yang berkaitan, iaitu Rayuan Sivil No. W-01-12-2000, W-01-19-2000, W-01-45-2000 dan W-02-201-2001. Tetapi, alasan penghakiman ini adalah mengenai Rayuan Sivil No. W-01-45-2000 sahaja, yang bolehlah disebut sebagai rayuan induk. Ia mengenai perintah yang dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar dan disahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan daripada keputusan Penolong Kanan Pendaftar itu, memberi penghakiman terus kepada responden/plaintif.
Mengikut pernyataan tuntutan responden/plaintif, responden/plaintif adalah pemilik berdaftar tanah dan rumah beralamat No. 18 Jalan Titiwangsa, Kuala Lumpur. Perayu/defendan adalah Datuk Bandar, Bandaraya Kuala Lumpur. Mengikut responden/plaintif, perayu/defendan tanpa kebenarannya atau "justifikasi" yang sah di sisi undang-undang dan tanpa memberi notis kepadanya, telah merobohkan bangunan itu. Mengikut responden/plaintif tindakan itu telah menyebabkannya "disubjekkan kepada penghinaan dan mengalami kesengsaraan dan penderitaan mental, luka kepada perasaan dan maruah dan telah ditahan daripada menggunakan dan menikmati premis tersebut serta rumah kediaman tersebut dan dalam pada itu telah mengalami kerugian dan gantirugi."
Plaintif menuntut gantirugi khas seperti berikut:
BUTIR-BUTIR GANTIRUGI KHAS
KOS MEMBINA SEMULA
(a)Kos awalan iaitu dermaan kepada ISF,
Kemajuan dan PerancanganRM 64,800.00
(b)Kos PembinaanRM648,000.00
(c)Yuran ProfesionalRM 64,800.00
(d)Yuran Mengiklan & Yuran PeguamRM 10,000.00
(e)Kos KewanganRM 40,500.00
(f)Kemungkinan ("Contingency")RM 32,400.00
(g)Keuntungan PembangunRM212,625.00
_____________
RM1,073,125.00
Tolak Penyusutan Nilai (20%)RM 212,625.00
KERUGIAN SEWA
RM2000 sebulan dan masih berterusanRM 4,000.00
______________
JUMLAHRM 864,500.00
=============
Selain daripada itu, responden/plaintif juga menuntut gantirugi am, gantirugi tambahan (aggravated damages), gantirugi teladan (exemplary damages), faedah dan kos.
Perayu/defendan memfail pembelaannya. Dalam pembelaannya, antara lain, perayu/defendan menyatakan bahawa perayu/defendan telah menjalankan tugasnya mengikut undang-undang dalam merobohkan bangunan lama yang usang, terbiar dan tidak boleh diduduki itu. Perayu/defendan juga menyatakan bahawa tuntutan responden/plaintif itu adalah keterlaluan, bertimpal (over-lapping) dan langsung tidak munasabah.
Kedua-dua belah pihak memfail afidavit-afidavit menyokong atau menentang permohonan penghakiman terus itu. Hujah-hujah bertulis kedua-dua belah pihak yang dikemukakan kepada hakim dalam kamar berjumlah 131 muka surat, selain daripada hujah lisan.
Dalam afidavit responden/plaintif menyokong permohonan penghakiman terus itu, responden/plaintif, antara lain, mengatakan bahawa dia tidak pernah menerima sebarang notis bertulis daripada perayu/defendan mengarahkannya mengambil sesuatu tindakan untuk memperbaiki "rumah kediaman" tersebut. Dia juga tidak pernah nampak apa-apa notis yang telah ditampal di rumah tersebut. (Perlu disebut bahawa responden/plaintif tinggal di Pulau Pinang sedangkan rumah itu di Kuala Lumpur).
Afidavit jawapan perayu/defendan diikrarkan oleh Timbalan Pengarah II, Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Perancang & Kawalan Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Antara lain beliau mengatakan bahawa rumah tersebut adalah sebuah banglo lama yang terbiar dan tidak didiami dan menjadi sarang penagih dadah. Rumah itu ditinggalkan tanpa penjagaan di mana tumbuhan liar tumbuh menjalar pada pagar rumah dan juga pada pagar gelanggang tenis. Rumput rampai tumbuh di sekeliling banglo tidak dipotong dan pagar dawai digelanggang tenis berkarat. Juga didapati bahawa hanya struktur bangunan yang tinggal dan bangunan itu berada dalam keadaan hampir runtuh dan merbahaya. Silingnya telah runtuh dan bumbung bangunan berlubang. Bahagian dalam bangunan dengan jelas menunjukkan bahawa ia menjadi sarang penagih dadah, menurut beliau.
Menurut beliau lagi, suatu notis telah dihantar. Sebelum mengh