2008 MarsdenLR 4068
MOHD ZAWAWI SALLEH, JC
MAHKAMAH TINGGI (JOHOR BAHRU)
PP - Appellant
Versus
NASRUN EFFENDI - Respondents
SEMAKAN JENAYAH NO: MT(3) 45-3-2008
Decided On : 04/03/2008
1. PERMOHONAN
1.1 Ini adalah satu permohonan semakan di bawah Bab XXXI Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) terhadap keputusan Tuan Majistret Pontian, Johor, yang dibuat pada 23.11.2007.
2. FAKTA KES
2.1 Responden telah dituduh di hadapan Mahkamah Majistret, Pontian, Johor pada 1.10.2007, dengan suatu pertuduhan seperti yang berikut:
"Bahawa kamu sebagai nakhoda pesawat tempatan "KM Selamat" pada 20.9.2007, kira-kira jam 7.15 pagi, di Perairan Malaysia di kedudukan LAT 1' 15' 298' Utara dan Longitud 103' 30' 20' Timur dalam daerah Pontian, di dalam Negeri Johor Darul Takzim terlibat dalam mengangkut barang dari kelas berduti semasa diimport atau dieksport di bawah Perintah Duti Kastam 1996, atau barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 1998 (P.U (A) 210/98 iaitu terdiri dari:
(1550 x 50 kg beg gula pasir)
(1025 x 25 kg beg beras)
172 keping tilam
49 beg tin kosong,
di dalam pesawat tersebut tanpa mendapat kebenaran Ketua Pengarah Kastam dengan itu kamu telah gagal untuk mematuhi peruntukan seksyen 49(1) Akta Kastam, 1967 dan dengan demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 138 Akta yang sama.".
2.2 Responden telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan di atas dan disabitkan. Responden telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000.00 dan jika gagal bayar, dipenjara selama 6 bulan. Mahkamah Majistret juga telah memerintahkan supaya ekshibit-ekshibit yang berikut, iaitu:
Eks. P4 - 1550 x 50 kg beg gula pasir,
Eks. P5 1025 x 25 kg beg beras,
Eks. P6 - 172 keping tilam,
Eks. P7 - 49 beg tin kosong, dan
Eks. P8 - sebuah bot "KM SELAMAT",
dilucuthakkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia menurut peruntukan seksyen 127(1) Akta Kastam, 1967.
2.3 Responden tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Oleh itu, melalui satu Notis Rayuan bertarikh 8 Oktober 2007, Responden merayu terhadap keseluruhan keputusan Majistret tersebut ke Mahkamah Tinggi. Rayuan ini masih belum lagi didengar oleh Mahkamah Tinggi.
2.4 Sementara itu, Resoponden telah menfailkan satu Permohonan Pelbagai (No. 89-1-2007) bertarikh 8 Oktober 2007, di hadapan Mahkamah Majistret, Pontian menurut seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah. Dalam permohonan tersebut, Responden, antara lain, memohon agar bot "KM SELAMAT" dilepaskan dengan bon mahkamah.
2.5 Pada 29 Oktober 2007, Mahkamah Majistret, Pontian telah mendengar permohonan tersebut dengan kehadiran kedua-dua Pemohon dan Responden serta melepaskan bot "KM SELAMAT" dengan bon tunai berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah. Walau bagaimanapun, amoun bon belum lagi ditetapkan kerana penilaian terhadap bot tersebut belum diperolehi.
2.6 Pada 5.12.2007, Pemohon telah membuat satu permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan pelepasan tersebut. Pada 20.2.2008, Tuan Majistret sendiri telah menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memohon agar keputusan beliau tersebut disemak semula di bawah Bab XXXI Kanun Prosedur Jenayah.
3. KUASA MAHKAMAH TINGGI UNTUK MEMBUAT SEMAKAN JENAYAH
3.1 Prosedur semakan diperuntukkan dalam seksyen 31 dan 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Bab XXXI Kanun Prosedur Jenayah. Tujuan peruntukan-peruntukan ini telah dinyatakan oleh Hakim Wan Yahya (sebagaimana beliau ketika itu) dalam kes Hari Ram Seghal v. PP ; [1981] 1 MLJ 165 seperti yang berikut:
"The object of these provisions is to correct any miscarriage of justice arising not only from error in judgment and procedure but from neglect or indolence on the part of those in authority and resulting in undeserved hardship on any individual affected by such judgment, neglect or indolence.
Any mistake or flaw in that machinery, which may have the possibility of injustice, must be resolved in their favour.".
3.2 Prosedur bagaimana sesuatu semakan perlu dilaksanakan telah dijelaskan oleh Hakim K.C. Vohrah (sebagaimana beliau ketika itu) dalam kes P.P v. Muhari bin Mohd Jani & Anor [1999] 8 CLJ 430; [1996] 3 MLJ 116 seperti yang berikut:
"Under s. 31 of the