2024 MarsdenLR 222
MAHKAMAH MAJISTRET MERSING
PENDAKWA RAYA LWN. ZIABUL HAQ MOHD ISHAK
[Kes Jenayah No: JJ-83-60-04/2024]
Mahkamah menegaskan bahawa hukuman penjara 1 tahun dan denda RM5,000.00 adalah munasabah dan setimpal untuk kesalahan menakutkan secara jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Headnote:(A) Kanun Keseksaan - Seksyen 506 - Tertuduh didapati bersalah menakutkan secara jenayah dengan mengancam untuk membunuh. Mahkamah mengenakan hukuman penjara 1 tahun dan denda RM5,000.00 atau 5 bulan penjara jika gagal bayar. (Paras 5, 22, 38)
(B) Pengakuan Salah - Tertuduh mengaku salah di hadapan mahkamah dan memahami pertuduhan serta hukuman yang dikenakan. (Paras 23, 34)
(C) Pemberatan - Mahkamah mempertimbangkan faktor mitigasi dan pemberatan dari pihak pendakwaan dalam menjatuhkan hukuman. (Paras 21, 37)
(D) Kepentingan Awam - Mahkamah menekankan kepentingan awam dalam pelaksanaan undang-undang jenayah untuk mencegah perbuatan jenayah. (Paras 30, 32) (E) Keputusan - Hukuman yang dijatuhkan adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh. (Paras 38)
PENGHAKIMAN
A. Pengenalan
[1] Tertuduh di dalam kes ini telah dituduh dibawah s 506 Kanun Keseksaan .
[2] Tertuduh merupakan seorang warganegara Myanmar dan pemegang kad UNHCR serta memahami Bahasa Malaysia.
[3] Mahkamah juga telah menerangkan hak tertuduh untuk mendapatkan jurubahasa asing, tertuduh memilih untuk meneruskan dengan Bahasa Malaysia (Mahkamah telah bertanya beberapa soalan dan berpuas hati tertuduh memahami Bahasa Malaysia sebagaimana yang didakwa).
[4] Setelah Mahkamah ini berpuas hati pengakuan salah tertuduh adalah teratur, Mahkamah meneruskan prosedur Fakta dan Hukuman.
[5] Setelah meneliti pertuduhan, fakta kes, ekshibit-ekshibit yang dikemukakan dan mengambil kira rayuan tertuduh serta pemberatan Pendakwaan, Mahkamah mengenakan hukuman berbentuk Penjara selama tempoh 1 tahun bermula dari Tarikh dituduh 7 April 2024 dan RM5,000.00 gagal bayar 5 bulan penjara.
[6] Tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan, tertuduh telah memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan.
B. Pertuduhan Dan Peruntukan Hukuman
[7] Pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah sebagaimana berikut:
Pertuduhan:
Bahawa kamu bersama-sama yang masih bebas pada 30 April 2023 jam lebih kurang 5.00 petang bertempat di tepi Jalan Mersing Kechil, dalam daerah Mersing dalam negeri Johor telah menakutkan secara jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian terhadap Muhd Salim Abdul Jabbar, No UNHCR: 354-09C07857. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah s 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
Hukuman:
Barang siapa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya; dan jika ugutanya itu ialah ugutan hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, atau hendak menyebabkan kebinasaan apa-apa harta dengan api, atau hendak menyebabkan sesuatu kesalahan yang boleh diseksa dengan bunuh atau penjara, atau dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau hendak mentohmahkan seseorang perempuan sebagai jalang, maka ia hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
C. Pengakuan
[8] Tertuduh telah kali pertama dibawa dan dihadapkan ke Mahkamah pada 7 April 2024, di mana berdasarkan rekod tertuduh telah membuta pengakuan salah dan kes ditangguh ke 22 April 2024 bagi sebutan Fakta Hukuman. Pada Tarikh 22 April 2024 Tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah namun apabila fakta kes dibacakan tertuduh tidak mengakui fakta kes tersebut. Kes sekali lagi telah ditangguhkan ke 15 Mei 2024 bagi sebutan serahan dokumen.
[9] Pada 15 Mei 2024, Mahkamah telah sekali lagi dimaklumkan bahawa tertuduh ingin membuat pengakuan salah. Mahkamah ini mengambil maklum tertuduh merupakan seorang warganegara Myanmar dan pemegang kad UNHCR. Mahkamah telah mengambil pendekatan dengan menjelaskan kepada tertuduh hak-hak tertuduh untuk mendapatkan khidmat jurubahasa asing bagi memberi kefahaman kepada tertuduh.
[10] Setelah Mahkamah menerangkan hak-hak tertuduh, tertuduh memilih untuk meneruskan prosiding tanpa pemanggilan jurubahasa asing. Mahkamah juga telah bertanya secara lisan kepada tertuduh dan membuat dapatan tertuduh memahami Bahasa Malaysia dan boleh bertutur dengan fasih sebagaimana seorang warganegara Malaysia.
[11] Berdasarkan pemilihan tertuduh dan Mahkamah berpuas hati sememangnya tertuduh memahami Bahasa Malaysia, prosiding diteruskan. Pertuduhan dan hukuman telah dibacakan dan diterangkan. Tertuduh memahami pertuduhan dan hukuman dan membuat pengakuan salah.
[12] Mahkamah berpuas hati tertuduh memahami pertuduhan, hukuman dan kesan dan akibat pengakuan tersebut.
[13] Fakta Kes dibentangkan dan diakui oleh tertuduh, serta ekshibit dikemukakan dan rayuan tertuduh serta pemberatan dihujahkan, Mahkamah dapati hukuman yang difailkan di dalam sistem adalah tidak tepat.
[14] Mahkamah