2006 MarsdenLR 1858
MAHKAMAH RAYUAN, PUTRAJAYA
MOKHTAR SIDIN, HMR ; MOHD SAARI YUSOFF, HMR ; ALAUDDIN MOHD SHERIFF, HMR
HARPERS TRADING (M) SDN. BHD.
versus
LEE FOOK KIONG & YANG LAIN
RAYUAN SIVIL NO. W-01-297-1996
Decided On : 01-04-06
Bagi pihak perayu - N Sivabalah (S Suganthi bersamanya); T/n Shearn Delamore & Co.
Bagi pihak responden pertama - Randhari; T/n Lobo & Assoc.
Bagi pihak responden kedua & ketiga - Alice Loke Yee Ching.
Alauddin Mohd Sheriff HMR:
Tanggal 24 Julai 1996 perayu telah memfailkan satu notis usul terhadap responden-responden di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Melalui notis usul tersebut perayu memohon Perintah-Perintah berikut:
(i) suatu perintah certiorari untuk membawa kepada Mahkamah Yang Mulia itu bagi tujuan membatalkan keputusan responden kedua bertarikh 15 Mei 1996 yang dibuat di bawah s. 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ("Akta tersebut") untuk merujuk pembuangan kerja responden pertama kepada Mahkamah Perusahaan;
(ii) suatu perintah larangan yang diarahkan kepada Mahkamah Perusahaan melarangnya dari meneruskan kes Mahkamah Perusahaan No 2/4 - 263/96 selanjutnya;
(iii) bahawa semua arahan yang perlu dan secara sampingan diberikan; dan
(iv) kos bagi permohonan itu dan kos sampingan hendaklah menjadi kos dalam kuasa.
Notis usul tersebut telah dipanggil untuk perbicaraan pada 24 September 1996 dan setelah pihak-pihak bersetuju membuat hujahan bertulis kes ditangguh untuk keputusan pada 19 November 1996. Pada hari tersebut Yang Arif Hakim setelah membaca dan meneliti penghujahan bertulis pihak-pihak memerintahkan bahawa permohonan itu ditolak dan kos permohonan dibayar oleh perayu.
Terkilan dengan keputusan Yang Arif Hakim itu maka perayu sekarang ini merayu kepada mahkamah ini terhadap keputusan tersebut.
Di hadapan mahkamah ini peguam perayu mempertikaikan keputusan Yang Arif Hakim itu berdasarkan alasan-alasan seperti berikut:
(i) Memandangkan fakta bahawa responden pertama telah menolak tawaran pengembalian kerja ("reinstatement"), Yang Arif Hakim salah di sisi undang-undang apabila beliau gagal memutuskan bahawa responden kedua tidak mempunyai bidangkuasa membuat rujukan di bawah s. 20(3) Akta tersebut;
(ii) Yang Arif Hakim itu dikatakan salah di sisi undang-undang apabila beliau gagal memutuskan representasi responden pertama di bawah s. 20(3) Akta tersebut telahpun diselesaikan dan oleh yang demikian, responden kedua tidak mempunyai bidangkuasa membuat rujukan di bawah s. 20(3) Akta tersebut;
(iii) Yang Arif Hakim juga dikatakan salah di sisi undang-undang apabila gagal memutuskan bahawa responden kedua telah mempertimbangkan perkara-perkara tidak relevan dan gagal mempertimbangkan perkara-perkara relevan.
Sebelum kami mempertimbangkan alasan-alasan tersebut di atas elok jika kami sebutkan secara ringkas fakta-fakta kes ini.
Responden pertama berkhidmat dengan perayu sebagai seorang Pengurus Pemasaran. Terdapat suatu siri surat-menyurat di antara perayu dan responden pertama di mana beberapa perkara mengenai kerja responden pertama dan lain-lain perkara telah dipertikaikan oleh perayu (sila lihat ms 153-176 Rekod Rayuan (RR)).
Selepas dari itu suatu perjumpaan di antara perayu dan responden pertama telah diaturkan pada 11 Ogos 1995. Keesokan harinya, responden pertama telah menulis sepucuk surat kepada perayu di mana beliau menyatakan bahawa beliau menganggap dirinya sebagai dibuang kerja oleh perayu berkuatkuasa mulai 12 Ogos 1995 berdasarkan beberapa sebab.
Di dalam surat itu, antara lain, responden pertama telah menyatakan bahawa pihak perayu telah menawarkan bayaran pampasan kepada beliau sekiranya beliau menamatkan perkhidmatannya dengan perayu. Jika tidak perayu akan mengarahkannya 'bercuti' untuk satu tempoh yang tidak ditentukan. Beliau juga menyatakan yang perayu telah memberinya surat perletakan jawatan untuk ditandatangani tetapi beliau menolak tawaran tersebut (sila lihat ms 178 RR).
Berikutan dari itu perayu telah menjawab surat responden pertama dan diikuti oleh jawapan dari responden pertama (sila lihat ms 108-184 RR) dan seterusnya diikuti jawapan dari pihak perayu (lihat ms 186 RR).
Seterusnya responden pertama telah memfailkan representasinya di bawah s. 20(1) Akta tersebut di Jabatan Perhubungan Perusahaan melalui suratnya bertarikh 17 Ogos 1995. Suatu rundingan damai telah ditetapkan oleh jabatan tersebut pada 18 September 1995.
Keesokan harinya, iatu pada 19 September 1995 responden pe