2006 MarsdenLR 1371
MAHKAMAH RAYUAN, PUTRAJAYA
MOKHTAR SIDIN, HMR ; SAARI YUSOFF, HMR ; ALAUDDIN MOHD SHERIFF, HMR
YOGANANTHY A S THAMBAIYA
versus
IDRIS OSMAN
RAYUAN SIVIL NO: J-02-166-2001
Decided On : 01-04-06
Bagi pihak perayu - Asmet Nasruddin; T/n Puthucheary Firoz Asmet & Mai.
Bagi pihak responden - PK Nathan (Fadhilah Mansor bersamanya); T/n Nathan & Yang.
Alauddin Mohd Sheriff HMR:-
[1]Terdapat tiga (3) permohonan ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah ini pada 18 April 2002. Pertama, ialah permohonan perayu untuk perlanjutan masa bagi memfailkan dan menyerahkan rekod rayuan menurut k. 18(7) dan k. 102 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 dan Arahan Amalan No. 1 Tahun 1996 (Lampiran 10(a). Kedua, ialah permohonan perayu supaya pelaksanaan penghakiman bertarikh 16 Oktober 2000 yang menolak tuntutan perayu dan membenarkan tuntutan balas responden digantung sehingga pendengaran dan keputusan rayuan perayu menurut s. 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan bidangkuasa sedia ada mahkamah ini (Lampiran 15(a). Ketiga, ialah permohonan responden untuk satu perintah bahawa rayuan yang telah dimasukkan oleh perayu di sini hendaklah dibatalkan kerana ia merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah (Lampiran 18(a).
[2]Di akhir perbicaraan mahkamah ini telah membenarkan permohonan di Lampiran 18(a) dan menolak permohonan-permohonan di Lampiran 10(a) dan Lampiran 15(a). Disebabkan perayu ingin memohon kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan tersebut di atas dan bagi mematuhi kehendak k. 107 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, maka penghakiman ini disediakan.
[3]Bagi tujuan memahami rayuan ini dengan lebih jelas adalah perlu bagi kami menjelaskan latarbelakang kes ini secara terperinci.
[4]Pada 16 Oktober 2000 Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman (beliau ketika itu) Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah membatalkan tuntutan perayu dalam Guaman Sivil No. 22-160-1995(1) apabila perayu dan peguamnya telah gagal hadir di perbicaraan kes tersebut yang ditetapkan pada 16 dan 17 Oktober 2000. Yang Arif kemudiannya telah meneruskan dengan perbicaraan tuntutan-balas responden. Keterangan telah dikemukakan oleh peguam responden menerusi dua orang saksi bagi membuktikan tuntutan-balas tersebut. Penghakiman telah dimasukkan di dalam tuntutan-balas responden terhadap perayu (lihat Perintah Mahkamah di ms 22 Lampiran 18(a).
[5]Pada 17 Oktober 2000 perayu memfailkan permohonannya untuk menghidupkan semula tuntutannya terhadap responden dan mengenepikan penghakiman yang diberikan pada 16 Oktober 2000 berkaitan dengan tuntutan-balas responden terhadapnya. Permohonan tersebut dibuat mengikut A. 35 kk. 1 dan 2, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (lihat ms 28 Lampiran 18(a).
[6]Kemudian, pada 20 Oktober 2000 perayu telah memfailkan satu lagi permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman bertarikh 16 Oktober 2000 (lihat ms 31 Lampiran 18(a).
[7]Pada 14 November 2000 peguam responden telah diserahkan dengan satu salinan notis rayuan melalui surat bertarikh 13 November 2000 oleh peguam perayu terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Oktober 2000 (lihat ms 34 Lampiran 19(a). Notis rayuan tersebut terdapat di ms 37 Lampiran 18(a). Walau bagaimanapun, pada masa itu, responden dan peguamnya tidak mengetahui bilakah notis rayuan tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
[8]Peguam perayu telah menyampaikan rekod rayuan kepada peguam responden pada 1 Januari 2001 melalui surat mereka bertarikh 22 Disember 2000 (lihat ms 40 Lampiran 18(a). Setelah menyemak rekod rayuan tersebut peguam responden mendapati bahawa notis rayuan tersebut sebenarnya difailkan pada 5 Disember 2000 (lihat ms 43 Lampiran 18(a). Mahkamah Tinggi Johor Bahru melalui surat bertarikh 7 Disember, 2000 yang dialamatkan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia telah memaklumkan bahawa notis rayuan tersebut diterima pada 5 Disember 2000 (lihat ms 46 Lampiran 18(a).
[9]Perlu dinyatakan di sini sekali lagi bahawa asas permohonan responden di Lampiran 18(a) ialah bahawa rayuan yang dibawa oleh perayu adalah merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana perayu telahpun membuat permohonan di Mahkamah Tinggi mengikut A. 35 kk. 1 dan 2, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, memandangkan beliau dan peguamnya tidak menghadiri mahkamah pada 16 Oktober 2000. Notis rayuan yang telah difailkan oleh pe