2005 MarsdenLR 2217
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
MOHD NOOR ABDULLAH H
PPH DEVELOPMENT (M) SDN BHD
versus
FABINA DEVELOPMENT SDN BHD & SATU LAGI
GUAMAN SIVIL NO: 22-85-02
Decided On : 04-18-05
Bagi pihak plaintif - JJ Chan; T/n Shearn Delamore & Co
Bagi pihak defendan 2 - Ambiga Sreenavasan (Zarizana Abdul Aziz & Jaishree Sadhwani bersamanya); T/n K Ahmad & Yong
Mohd Noor Abdullah H:
Tuntutan Plaintif
Defendan 2 ialah pemilik berdaftar tanah berkenaan di mana kerja-kerja binaan sedang dibina. Defendan 1 ialah pemaju tanah berkenaan yang dilantik oleh defendan 2 melalui privatization agreement. Plaintif ialah kontraktor utama yang dilantik oleh defendan 1 untuk menyiapkan projek separa siap bernama Sri Bayu.
Menurut perjanjian antara plaintif dengan defendan 1 bertarikh 19 Julai 2000, plaintif telah memasuki tanah berkenaan dan membuat kerja-kerja binaan. Pada 21 Disember 2000 defendan 1 gagal membayar kerja-kerja binaan yang diperakui di bawah Sijil Akitek Sementara No. 20, 21, 22 dan 23 berjumlah RM1,738,648.45. Sepatutnya defendan 1 hendaklah membayar dalam masa 30 hari setiap sijil akitek itu diperakui dan diserahkan kepada defendan 1.
Disebabkan oleh kegagalan defendan 1 membayar jumlah itu kepada plaintif, maka plaintif berhak menamatkan perjanjian antara mereka tetapi plaintif tidak berbuat demikian kerana defendan 2 dikatakan membuat representasi kepada plaintif dan pembekal barangannya dan sub kontraktornya agar plaintif meneruskan kerja-kerja binaan itu dan mempastikan defendan 2 akan membayar semua jumlah yang terhutang lantaran defendan 2 menjadi project owner selain dari menjadi beneficial landowner. Ekoran dari representasi itu defendan 2 telah memasuki supplemental agreement bertarikh 2 Januari 2001 dengan defendan 1 di mana defendan 2 bersetuju akan bertanggungan untuk membayar tidak melebihi RM4 juta tuntutan tertunggak plaintif tidak termasuk RM3, 4 juta yang telah dibayar. Selain dari itu defendan 2 juga telah membuat representasi kepada plaintif bahawa plaintif akan dengan sepenuhnya diberi ganjaran oleh defendan 2 tentang kerja-kerja binaan yang belum dibayar dan kerja-kerja binaan yang akan dilaksanakan. Maka plaintif dan sub kontraktornya terus menyambung kerja-kerja binaan itu. Kerja-kerja binaan itu dicerminkan dalam Sijil Akitek No. 24, 25 dan 26 berjumlah RM3,232,297.99.
Plaintif kesesakan wang kerana kegagalan defendan 1 membayar RM4,970,936.44 setelah beberapa notis dihantar. Pada 18 Februari 2002 defendan 1 menamatkan perjanjiannya dengan plaintif dengan serta merta. Plaintif menolak penamatan itu kerana plaintif bersedia, sanggup dan berupaya menyempurnakan baki kerja binaan itu sebanyak 5% lagi yang dianggarkan bernilai RM4 juta.
Pembelaan Defendan 2
Projek Sri Bayu ialah projek terbengkalai UDA Holding yang kemudian diswastakan oleh kerajaan melalui defendan 2 yang melantik defendan 1 sebagai pemaju untuk memulih dan menyiapkannya. Plaintif ialah kontraktor utama projek ini yang dilantik oleh defendan 1.
Defendan 2 menafikan membuat sebarang representasi kepada plaintif bagi mempastikan plaintif atau sub kontraktor atau pembekalnya akan dibayar semua bayaran. Apa-apa perjanjian antara defendan 1 dan defendan 2 tidak berkaitan dengan representasi yang diberi kepada plaintif. Defendan 2 ada cuba mencari penyelesaian mengenai pertikaian antara plaintif dan defendan 1 demi kepentingan pembeli-pembeli. Negotiation/perundingan antara plaintif, defendan 1 dan defendan 2 adalah tanpa prejudice dan atas permintaan plaintif dan defendan 1. Defendan 2 seterusnya menafikan membuat sebarang representasi mengenai supplemental agreement, kononnya plaintif akan dibayar oleh defendan 2 yang mana defendan 2 tidak memberi salinannya kepada plaintif. Menurut supplemental agreement itu, defendan 1 sahaja yang bertanggungan untuk membayar semua bayaran kepada plaintif, sub kontraktor dan pembekalnya.
Defendan 2 gagal menyelesaikan pertikaian antara plaintif dengan defendan 1 kerana plaintif menuntut supaya hutang defendan 1 diserahkan kepada defendan 2 untuk menjelaskannya (assignment of debt) jika tidak, kerja-kerja akan diberhentikan. Plaintif enggan meneruskan kerja-kerja binaan itu tanpa 'assignment' hutang defendan 1. Defendan 2 menafikan pernah melantik Ten-Tel Construction Sdn. Bhd. untuk menyempurnakan projek itu, perlantikan itu dibuat oleh Syarikat Pe