2024 MarsdenLR 1298
MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SEREMBAN
SITI ASIAH AHMAD ALI LWN. MASLAN MAAROF
[Kes Mal No: 05200-017-0353-2019]
Harta yang diperoleh semasa perkahwinan boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian berdasarkan sumbangan kedua-dua pihak, dan pembahagian harus adil dan munasabah.
Headnote:(A) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003 - Seksyen 2 dan 122 - Tuntutan harta sepencarian - Plaintif menuntut harta sepencarian setelah bercerai dengan Defendan dan menyatakan bahawa harta tersebut diperoleh semasa perkahwinan - Mahkamah memutuskan bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian dan mengagihkan 1/2 bahagian kepada setiap pihak. (Paras 10, 23, 40)
(B) Pembuktian - Beban pembuktian terletak pada pihak yang menuntut dan pihak yang menafikan - Mahkamah mempertimbangkan bukti dan keterangan saksi untuk menentukan sumbangan masing-masing dalam memperoleh harta sepencarian. (Paras 15, 19, 22)
Facts of the case:
Plaintif dan Defendan berkahwin selama hampir 17 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Harta yang dipertikaikan adalah sebidang tanah yang didaftarkan atas nama Defendan, tetapi Plaintif mendakwa ia adalah harta sepencarian yang diperoleh semasa perkahwinan. (Paras 2-6)
Findings of Court:
Mahkamah mendapati bahawa harta yang dituntut adalah harta sepencarian dan mengisytiharkan hak bersama antara Plaintif dan Defendan. (Paras 23, 40)
Issues: Isu utama adalah sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian dan kadar pembahagian yang wajar untuk Plaintif. (Paras 10)
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa harta tersebut diisytiharkan sebagai harta sepencarian berdasarkan sumbangan yang dibuat oleh kedua-dua pihak semasa perkahwinan. (Paras 23, 40)
Result: Mahkamah memerintahkan harta tersebut dibahagikan secara sama rata antara Plaintif dan Defendan.
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Ini adalah kes tuntutan untuk mendapatkan pengisytiharan dan pembahagian harta sepencarian.
Latar Belakang Fakta
[2] Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 24 Disember 1988 dan bercerai pada 04 Mac 2005. Tempoh perkahwinan Plaintif dan Defendan adalah selama hampir 17 tahun.
[3] Hasil perkongsian hidup dengan Defendan, Plaintif telah dikurniakan dengan 5 (lima) orang anak iaitu MH 1, MH 2, MH 3, MH 4 dan MH 5, kini usia kesemuanya antara 27 tahun hingga 34 tahun.
[4] Sepanjang perkahwinan, Plaintif dan Defendan telah memperolehi sebidang tanah di mana 1/2 bahagian ke atas hartanah yang dikenali sebagai GERAN 19070, Lot 1580, Mukim Lenggeng, Daerah Seremban, Negeri Sembilan seluas 1.5302 hektar telah didaftarkan atas nama pihak Defendan seorang (selepas ini dirujuk sebagai "hartanah tersebut").
[5] Dalam tempoh perkahwinan dengan Defendan, Plaintif mendakwa memperolehi dan memajukan beberapa aset iaitu :
i) 1/2 bahagian tanah di atas Geran 19070, Lot 1580, Mukim Lenggeng, Daerah Seremban, Negeri Sembilan seluas 1.5302 hektar.
ii) Sebuah rumah yang dibina di atas lot tanah tersebut oleh arwah ibu Plaintif, Siti Sawiyah binti Lebai Bakar yang telah meninggal dunia pada 4 November 2005.
iii) Sebuah rumah kelamin yang dibina di atas lot tanah tersebut dan pernah didiami oleh Plaintif dan Defendan dalam tempoh perkahwinan.
[6] Plaintif memohon daripada Mahkmah agar harta-harta berikut, iaitu:-
i) Bahawa setengah 1/2 bahagian atas nama Defendan ke atas hartanah ke atas hartanah yang dikenali sebagai Geran 19070, Lot 1580, Mukim Lenggeng, Daerah Seremban, Negeri Sembilan seluas 1.5302 hektar seperti dinyatakan di Perenggan 5 di atas diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
ii) Bahawa 3/4 daripada 1/2 bahagian Defendan ke atas hartanah tersebut diserahmilik kepada Plaintif.
iii) Pihak Pejabat Tanah yang berkenaan, setelah menerima sesalinan perintah ini hendaklah mendaftarkan Plaintif sebagai tuan punya 3/4 bahagian hartanah tersebut.
iv) Kos tindakan dan guaman ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Defendan.
v) Lain-lain perintah yang difikirkan patut dan munasabah untuk diberikan oleh Mahkamah yang mulia ini.
[7] Defendan tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif dan menyatakan bahawa :
i) tanah yang dituntut oleh Plaintif adalah tanah pemberian arwah nenek Defendan atas balas kasih sayang dan menafikan pembelian bapa Plaintif;
ii) pembinaan rumah oleh ibu Plaintif adalah atas dasar ehsan Defendan tanpa sebarang imbuhan atau balasan kerana beliau adalah ibu mertua Defendan;
iii) rumah kelamin dibina atas hasrat untuk tinggal bersama Plaintif dan rumah tersebut dibina atas usaha dan kewangan Defendan sendiri tanpa bantuan Plaintif.
[8] Sepanjang perbicaraan Plaintif telah mengemukakan 3 orang saksi dan mengemukakan ikatan dokumen yang ditandakan sebagai P1 - P6 untuk menyokong kesnya. Sementara Defendan pula telah mengemukakan seorang saksi dan dokumen bertandakan D-1 sehingga D-5 bagi menyokong kes Defendan.
[9] Sepanjang perbicaraan, Plaintif diwakili oleh Cik Hajah Salina Binti Mohd Sari dan Puan Hanis Izzati binti Mohd Ariff dari Tetuan Salina, Suriyati & Co, manakala Defendan diwakili oleh Tuan Mohd Amir Bin Yahya, Puan Zailifah Binti Rusli dan Tuan Mohd Amirul Adam Bin Ahmad, peguam syarie dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan
Isu-Isu Yang Perlu Diputuskan
[10] Terdapat 2 isu sahaja yang berbangkit dan perlu diputuskan dalam kes ini iaitu:
(i) Isu Pertama : sama ada harta yang dituntut oleh Plaintif adalah harta sepencarian?; dan
(ii) Isu Kedua: Jika sabit harta sepencarian, sama ada Plaintif wajar mendapat 3/4 bahagian?
Analisis Dan Dapatan
Isu Pertama : Sama Ada Semua Harta Yang Dituntut Oleh Plaintif Adalah Harta Sepencarian?;
(i) Apakah keadaan yang boleh mensabitkan sesuatu hartasebagai harta sepencarian?
[11] Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003 mentakrifkan Harta Sepencarian sebagai-
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut