1997 MarsdenLR 1249
HIGH COURT (KUALA LUMPUR)
NIK HASHIM, JC
IAN JAMES ROGERS
versus
MENTERI SUMBER MANUSIA & SATU LAGI
USUL PEMULA NO R3-25-161-1996
Decided On : 03-27-97
FY Lim (Lim Kian Leong & Co) bagi pihak pemohon.
Haliza bte Othman (Peguam Kanan Persekutuan) bagi pihak penentang.
Pihak pemohon/perayu melalui notis usul (lampiran 6) memohon kebenaran untuk perlanjutan masa bagi memfailkan notis usul ex parte di luar masa bagi mendapatkan kebenaran untuk memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan penentang yang diberi pada 25 Oktober 1996. Notis usul ex parte telah difailkan tiga hari lewat dari enam minggu sebagaimana yang ditetapkan di bawah A 53 k 1A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 ('KMT'). Notis usul bagi perlanjutan masa disokong dengan afidavit pemohon, Ian James Rogers, dalam Bahasa Melayu.
Cik Haliza Othman, Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak penentang dalam bantahannya berhujah bahawa notis usul ini tidak ada afidavit sokongan, kerana afidavit pemohon dalam Bahasa Melayu tidak terpakai kerana tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa pemohon dan notari awam di England faham Bahasa Melayu.
Cik FY Lim bagi pihak pemohon, memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya di bawah A 41 k 4 KMT untuk menerima afidavit pemohon dan mengatakan afidavit itu hanya cacat di segi bentuknya.
Saya dengan hormatnya bersetuju dengan hujah pihak penentang. Walaupun afidavit yang dibuat di luar Malaysia boleh diterima tanpa bukti pemeteraian di bawah A 41 k 12 KMT, namun begitu dalam kes ini, afidavit yang diikrar oleh pemohon dalam Bahasa Melayu dan diikrar di hadapan seorang notari awam di England tidak dapat diterima kerana tidak ada bukti bahawa pemohon dan notari awam itu faham Bahasa Melayu. Pemohon ialah seorang warganegara United Kingdom dan tinggal di Australia. Manakala afidavit itu telah diikrarkan di hadapan seorang notari awam di Bank Street, Bury, Greater Manchester BL9 ODL, England. Pada hemat saya, kedua-dua mereka ini adalah buta huruf dalam Bahasa Melayu. Tidak ada keterangan yang nyata bahawa mereka faham bahasa itu. Beban untuk membuktikan mereka faham Bahasa Melayu ialah di atas pemohon, dan dalam kes ini, beliau gagal membuktikannya. Jadi, tanpa kefahaman Bahasa Melayu, notari awam tidak layak menerima ikrar pemohon dalam bahasa yang dia sendiri tidak faham. Sesungguhnya pemohon sendiri buta huruf dan tidak faham akan kandungan afidavit yang dia ikrarkan itu. Tidak ada jurat yang menyatakan bahawa pemohon faham apa yang dia ikrarkan (A 41 k 3; S Ravi a/l G Suppiah v Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Anor [1995] 2 CLJ 152). Oleh sebab itu, afidavit pemohon dalam Bahasa Melayu itu adalah tidak sah, dan tidak boleh diterima dan digunakan untuk menyokong notis usul. Ia dibuat tidak menurut peraturan yang asas. Aturan 41 k 4 tidak boleh menyelamatkan afidavit tersebut kerana ia bukan cacat di segi bentuk tetapi cacat di segi kesahihannya dari awal lagi, dan ia tidak boleh dipulihkan.
Selain daripada afidavit dalam Bahasa Melayu, pemohon juga telah melampirkan terjemahan afidavit pemohon dalam Bahasa Inggeris, yang diikrar di hadapan notari awam yang sama. Mahkamah tidak dapat menerima afidavit sedemikian untuk menyokong notis usul pemohon kerana ia merupakan satu afidavit terjemahan dari afidavit asal yang telah diputuskan tidak sah. Oleh itu, ia juga menjadi afidavit yang tidak sah. Sekiranya afidavit dalam Bahasa Inggeris itu diambil kira sekalipun, namun demikian, ia masih tidak boleh diterima kerana ia telah dimasuk dan difailkan tanpa bayaran dan dicopkan dengan bayaran fee mahkamah (A 41 k l0(2) KMT) dahulu. Lagi pun, ia cacat kerana notari awam telah gagal menandatangan ringkas pada pengubahan yang telah dibuat olehnya dalam jurat pada tahun '1996' yang telah dipotong dan digantikan dengan tahun '1997', dan kegagalan menandatangani potongan itu menyalahi A 41 k 7(1) KMT. Selain daripada itu, s 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan segala prosiding hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, dan dalam kes ini kedua-dua afidavit telah dengan sengaja dilampirkan untuk menyokong notis usul. Penggunaan Bahasa Melayu di Mahkamah hendaklah dipertahankan. Mahkamah dapati tidak ada sebab mengapa Bahasa Melayu tidak dapat digunakan sepe