2013 MarsdenLR 2165
MAHKAMAH PERUSAHAAN KUALA LUMPUR
MOHD RATHI ARZANI DAWAMI LWN. 99 EAST LANGKAWI SDN BHD
Award No: 23 Tahun 2013 [Kes No: 13/4 - 612/2011]
Pemecatan pekerja atas alasan redundancy harus dibuktikan dengan alasan yang sah dan munasabah, di mana beban pembuktian terletak pada majikan.
Headnote:(A) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 - Seksyen 20(3) - Pemecatan tanpa sebab yang sah - Mahkamah mendapati pemecatan oleh syarikat responden disebabkan 'redundancy' tidak dibuktikan, dan pemohon tidak diberi notis yang cukup atau alternatif yang adil sebelum pemecatan - Syarikat gagal membuktikan alasan pemecatan yang tidak munasabah. (Paras 5, 8, 25, 29)
(B) Beban Pembuktian - Beban adalah pada syarikat untuk membuktikan pemecatan adalah beralasan, termasuk situasi lebihan tenaga kerja - Mahkamah menegaskan tiada keperluan untuk mengeluarkan award terhadap pihak yang tidak hadir tanpa bukti kukuh yang menyokong alasan pemecatan. (Paras 19, 20, 21)
(C) Gantirugi - Pemohon berhak kepada pampasan termasuk gaji kebelakangan, dan pampasan gantian pengembalian kedudukan jawatan adalah berpatutan walaupun pemulihan jalur kerja tidak dijalankan akibat ketidakserasian. (Paras 29, 32, 34)
| Table of Content |
|---|
| 1. case initiation and background information (Para 1 , 2 , 5 , 6 , 9) |
| 2. claimant's performance and termination arguments (Para 7 , 8 , 12 , 14) |
| 3. definition and implications of redundancy (Para 15 , 16 , 17) |
| 4. burden of proof in redundancy cases (Para 19 , 20 , 21) |
| 5. court's assessment of fairness in termination (Para 22 , 23 , 24 , 25) |
| 6. final decision on claimant's unfair dismissal (Para 29) |
| 7. compensation awarded and ruling (Para 30 , 33) |
[1] Ini adalah satu rujukan oleh Menteri Sumber Manusia di bawah s 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) pada 21 April 2011 yang timbul dari pemecatan kerja Mohd. Rathi Azrani Bin Dawami ("yang menuntut") pada 20 November 2008 oleh 99 East Langkawi Sdn Bhd ("responden").
[2] Perbicaraan kes ini dijalankan secara ex-parte bermula dan selesai perbicaraan pada 5 September 2012 tanpa kehadiran wakil responden. Peguamcara yang mewakili yang menuntut adalah Tetuan Azra & Associates. Pihak responden pada awalnya di wakili oleh peguam Goh Toh Jen dari Tetuan TJ Goh & Co dan telah memfailkan Pernyataan Jawapan, Ikatan Dokumen pihak syarikat dan Kenyataan Saksi syarikat (Natalie Ann Leong Su-Yi, Administration Manager) pada 3 Januari 2012. Hujahan Bertulis dan Otoriti Kes telah difailkan oleh peguam yang menuntut pada 6 November 2012.
Perbicaraan Ex-Parte
[3] Perbicaraan kes ini telah ditetapkan pada 4 dan 5 September 2012 apabila kes ini dipanggil untuk sebutan pada 10 Mei 2012 di mana yang menuntut dan peguam syarikat, Nik Mohd Hasrul Bin Nik Hamdan dari Tetuan TJ Goh & Co hadir. Pada hari perbicaraan pertama iaitu 4 September 2012, hanya yang menuntut dan peguam yang menuntut (Mohd Hadi Ar-Rais Bin Muhamad dari Tetuan Azra & Associates) yang hadir. Peguam syarikat atau wakil syarikat tidak hadir. Menurut kand (26) (catatan minit panggilan telefon), Jurubahasa Pn Rosmaizam Binti Mohamed Yusoff telah menelefon Peguam syarikat, Nik Mohd Hasrul Bin Nik Hamdan pada 4 September 2012, jam 10.30 pagi untuk hadir tetapi Mahkamah dimaklumkan bahawa peguam syarikat telah menarik diri dari mewakili Respoden melalui surat bertarikh 4 September 2012 di kand (28). Pada jam 11.00 pagi hari yang sama, wakil syarikat (Jessie Lim, Administrator) telah dihubungi melalui telefon oleh Jurubahasa Mahkamah bahawa kes ini akan dijalankan pada 5 September 2012, jam 9.30 pagi dan jika Peguam atau wakil syarikat gagal hadir, maka kes akan dibicarakan secara ex parte. Pada 5 September 2012, jam 10.40 pagi kes ini dipanggil untuk bicara. Hanya yang menuntut dan peguam yang menuntut yang hadir. Wakil syarikat atau Peguam syarikat tidak hadir. Peguam yang menuntut telah memohon kepada Mahkamah agar kes ini dijalankan secara ex parte. Oleh yang demikian, Mahkamah telah menjalankan perbicaraan ini secara ex parte.
[4] Yang menuntut memfailkan Peryataan Kes pada 8 September 2011 dan kemudiannya telah memfailkan Pernyataan Kes Terpinda pada 26 Mac 2012. Di samping itu yang menuntut telah memfailkan Ikatan Dokumen pada 11 Januari 2012 dan Kenyataan Saksi yang menuntut pada 9 April 2012. Pada tarikh perbicaraan, yang menuntut telah menarik balik Kenyataan Saksi pada masa yang sama memfailkan Kenyataan Kes baru.
Fakta Kes
[5] Yang menuntut memulakan pekerjaan dengan syarikat responden sebagai Diesel Mechanic mulai tarikh 9 November 2007 dengan gaji pokok RM 7,000.00 sebulan mengikut surat tawaran jawatan bertarikh 9 November 2007 (CLB, ms 1) yang ditandatangani oleh Alex Terry, Pengurus Projek. Di antara tuga-tugas yang menuntut adalah seperti berikut:
(a) menjalankan prosedur diagnostik, penyelenggaraan, pembaikan dan kerja baik pulih enjin serta komponen yang berkaitan serta membaiki dan menyelenggara sistem penyejukan, sistem bahan api dan kompresor angin;
(b) membaiki dan menyelenggara transmisi otomatik dan manual serta memabiki dan menyelenggara dan memasang sistem hidrolik; dan
(c) menyimpan rekod kerja pembaikan yang dilakukan termasuk bahan gantian dan minyak yang digunakan.
[6] Syarika