1993 MarsdenLR 1177
MAHKAMAH TINGGI, IPOH
DATO ABDUL AZIZ BIN MOHAMAD H.
RE: ANG AH KANG
versus
.
KEBANKRAPAN NO. 43-1201-88
Decided On : 03-01-93
Bagi pihak Kreditor - Yogamalar; M/s Toh Thiam Hock Bagi pihak Pegawai Pemegang Harta- D. Gunesegran
ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Aziz bin Mohamad H:
Pada 22 Februari 1988, atas petisyen United Malayan
Banking Corporation Berhad, pemohon, Ang Ah Kang, telah dihukum bankrap kerana gagal menjelaskan hutang sebanyak RM3,448.06.
Pemeriksaan awal pemohon telah berakhir pada 16 Mei 1991 dengan perintah supaya pemohon membayar RM60 sebulan mulai 5 Jun 1991. Pada 7 Oktober 1991 dia memohon perintah pelepasan.
Permohonan itu dibantah oleh Public Finance Berhad ("PFB") yang, dalam notis niatnya untuk membantah permohonan itu, mendakwa bahawa, setakat 28 April 1992, pemohon terhutang kepadanya sebanyak RM504,024.91 dengan faedah tambahan yang masih berakru.
Dalam afidavitnya, pengurus cawangan PFB berkata bahawa PFB tidak mengetahui sama ada pemohon telah membuat apa-apa bayaran sebagaimana diperintah itu, dan bahawa PFB belum menerima apa-apa dividen. Pengurus cawangan itu berkata bahawa, oleh kerana hutang pemohon adalah besar, PFB akan mengalami kerugian yang banyak sekiranya pemohon dilepaskan sebelum hutangnya diselesaikan. Dia berkata bahawa, jika permohonan pelepasan pemohon tidak dibenarkan, pemohon akan mengambil usaha yang bersungguh untuk menjelaskan hutangnya supaya dia akan dapat dilepaskan.
Apabila permohonan itu didengar pada 28 April 1992, saya ada di hadapan saya laporan Pegawai Pemegang Harta, bertarikh 3 Januari 1992, sebagaimana dikehendaki oleh s. 33(3) Akta Kebankrapan 1967 . Menurut laporan itu, setakat yang diketahui oleh Pegawai Pemegang Harta, pemohon tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta itu atau di bawah ss. 421, 422, 423 atau >424 Kanun Keseksaan dan bahawa kelakuannya sepanjang prosiding kebangkrapan itu adalah memuaskan. Laporan itu berkata bahawa hutang pempetisyen, iaitu United Malayan Banking Corporation Berhad, telah dijelaskan oleh pihak ketiga, dan Pegawai Pemegang Harta telah menerima tiga tuntutan, yang mana dua telah diselesaikan, meninggalkan tuntutan Public Finance Berhad sahaja lagi. Laporan itu berkata terdapat kredit sebanyak RM15,619.90 dalam estet pemohon, yang mana RM15,000 adalah wang yang didepositkan oleh pihak ketiga. Dengan baki itu, menurut laporan itu, Pegawai Pemegang Harta akan dapat mengisytiharkan dividen lebih kurang 4.04%.
Tentang hutang PFB, nampaknya dari laporan itu bahawa hutang pokok ialah RM150,000 yang bercagarkan pada suatu hartanah yang dipunyai setengah bahagian oleh pemohon. Cagaran itu telah dijual pada 31 Januari 1990 melalui triti persendirian dengan harga RM130,000. Menurut laporan itu, Pegawai Pemegang Harta telah memperakukan tuntutan PFB setakat RM371,807.17, yang merupakan defisit hutang bercagar itu dengan faedah bagi enam tahun.
Pada tarikh pendengaran permohonan itu pada 28 April 1992, wakil Pegawai Pemegang Harta memberitahu Mahkamah bahawa pemohon telah membayar RM60 sebulan tanpa gagal sebagaimana diperintahkan dan jumlah yang telah dibayar ialah RM619. Wakil itu berkata bahawa Pegawai Pemegang Harta berpuas hati pemohon tidak mempunyai pendapatan. Wakil itu berkata bahawa jika pemohon tidak dilepaskan, pihak yang mendepositkan RM15,000 itu, iaitu saudara mara pemoon, akan menarik balik deposit itu.Wakil itu berkata bahawa kebanyakan jumlah hutang kepada PFB terdiri daripada faedah terkumpul selama enam tahun. Pegawai Pemegang Harta menjangka bahawa peluang pemohon mendapat kerja untuk membayar balik hutangnya adalah amat tipis. Menurut pemohon, umurnya 64 tahun. Memandang kepada kedudukan pemohon, Pegawai Pemegang Harta menyokong permohonan itu.
Peguam bijaksana bagi PFB meminta, sekiranya pelepasan diberi, supaya Mahkamah mengenakan syarat di bawah subseksyen (10) s. 33 Akta Kebangkrapan 1967 .
Perbicaraan telah ditangguhkan ke 21 Mei 1992 untuk membolehkan Pegawai Pemegang Harta dan Peguam pemohon menyelidik, atas permintaan Mahkamah, tentang bagaimana subseksyen itu akan beroperasi.
Pada hari sambung bicara, iaitu 21 Mei 1992, Peguam pemohon berkata bahawa PFB mengubah pendiriannya dan berhujah bahawa tidak terdapat apa-apa asas untuk pelepasan be