2009 MarsdenLR 1993
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
ROSLAN MAT NOR
PROTON EDAR SDN BHD
Versus
MOHD AZLAN KHAIRUDDIN
AWARD NO: 1264 TAHUN 2009 (KES NO: 28/4-2297/06)
Decided On : 27 OKTOBER 2009
Latar belakang
1. Pihak Menuntut telah bekerja di syarikat Responden pada 20.11.1997. Beliau telah disahkan ke jawatan Penasihat Perkhidmatan berkuatkuasa dari 31.12.2003.
2. Pada 18hb. Januari, 2005, Pihak Menuntut dikatakan telah menyalahguna Delivery Note (DN) dengan mengeluarkan 4 unit tayar untuk kegunaan sendiri tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya. Selain dari itu, pada tarikh yang sama, Pihak Menuntut juga dikatakan telah mengeluarkan 4 tayar tersebut tanpa membuat pembayaran sebanyak RM640.00.
3. Ekoran daripada kejadian tersebut, Pihak Syarikat telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 3hb. Mei, 2005. Pihak Menuntut telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut pada 5hb. Mei, 2005. Setelah menerima jawapan tunjuk sebab, Pihak Syarikat telah mengeluarkan Notis Siasatan Dalaman yang akan diadakan terhadap Pihak Menuntut pada 18hb. Mei, 2005.
4. Walau bagaimanapun, nota keterangan prosiding Siasatan Dalaman tidak dikemukakan di Mahkamah ini. Ia adalah kerana catatan Siasatan Dalaman itu telah musnah kerana disketnya telah rosak. Disamping itu, pegawai yang menyimpan catatan tersebut telah tidak lagi bekerja di syarikat Responden.
Keterangan Syarikat
5. Syarikat telah mengemukakan 3 orang saksi didalam perbicaraan ini. COW1 yang merupakan Pengurus Pusat Servis di Puchong dimana Pihak Menuntut bekerja pada masa yang matan. COW1 nyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh Pihak Menuntut untuk mendapatkan kebenaran untuk membeli tayar secara ansuran. COW1 tidak memberikan kebenaran kepada Pihak Menuntut.
6. COW1 bersetuju bahawa beliau ada berikan kata laluannya kepada COW2. COW1 menyatakan bahawa didalam kes ini, invois jualan dikeluarkan walaupun Pihak Menuntut tidak membuat bayaran lagi kerana akhirnya bayaran perlu dibuat juga oleh Pihak Menuntut.
7. COW2 yang merupakan penjaga setor syarikat pada masa yang matan. Berkenaan insiden Pihak Menuntut membuat tempahan tayar, COW2 menyatakan:-
"Q : Semasa dia datang apa yang dicakap?
A : Dia buat tempahan tayar. Saya dapati tayar yang diminta tiada di tempat saya. Kemudian saya dapati tayar ada di Mutiara Damansara. Dia hendak barang itu dan minta TRN untuk transfer barang itu ke Puchong. Dia tidak kata apa-apa lagi. Dia tidak cakap saya nak bayar kemudian. Dia tidak cakap COW1 suruh."
COW2 turut menyatakan beliau keluar TRN (Transfer Request Note) atas permintaan lisan Pihak Menuntut tanpa arahan daripada sesiapa. COW2 sahkan ada beri invois jualan kepada Pihak Menuntut. Beliau akui mempunyai pengetahuan bahawa tayar itu masih belum dibayar harganya oleh Pihak Menuntut. COW2 nyatakan juga beliau telah gunakan password COW1.
6. Namun demikian, COW2 menyatakan beliau tidak mengetahui bahawa Pihak Menuntut akan membayar harga tayar itu secara ansuran.
7. COW3 yang merupakan Ketua Bahagian Perhubungan Perusahaan syarikat Responden mengesahkan bahawa potongan dibuat daripada gaji akhir Pihak Menuntut bagi penjelasan bayaran harga tayar yang sepatutnya dibayar oleh Pihak Yang Menuntut. COW3 juga nyatakan bahawa sekiranya Pihak Menuntut membayar harga tayar tersebut sebelum Siasatan Dalaman dilakukan ia mungkin tidak akan menyebabkan Pihak Menuntut dibuang kerja walaupun ia masih merupakan satu kesalahan.
8. Disamping itu, COW3 juga mengesahkan bahawa hasil siasatannya mendapati COW1 meminta Pihak Menuntut untuk membayar. Tiada amaran pertama diberikan kepada Pihak Menuntut sebelum surat tunjuk sebab dikeluarkan.
Keterangan Pihak Menuntut
9. Pihak Menuntut tidak menafikan bahawa telah membeli tayar tersebut, tetapi ianya dilakukan setelah mendapat kebenaran COW1. Beliau juga menyatakan bahawa TRN dikeluarkan oleh COW2 adalah atas permintaannya.
10. Pihak Yang Menuntut menyatakan selepas beliau mengambil tayar tersebut daripada Mutiara Damansara, beliau bawa balik ke Puchong dan tunjukkan kepada 'spare-part' di Puchong. Tujuan beliau berbuat demikian ialah bagi membolehkan invois jualan dikeluarkan kepadanya. Namun invois jualan tidak dikeluarkan.
11. Pihak Menuntut juga men