2004 MarsdenLR 2000
MAHKAMAH PERUSAHAAN JOHOR BAHRU
FELDA TRANSPORT SERVICES SDN BHD LWN. AZMI MD NUSI
[Award No. 1893 - 2004 No. Kes: 16/4-809/00]
AWARD
Pertikaian di antara Felda Transport Services Sdn Bhd (syarikat) dengan Azmi Nusi (yang menuntut) dalam kes ini adalah berkenaan pembuangan kerja yang menuntut pada 6 Januari 2000.
Yang menuntut mula bekerja dengan syarikat pada 8 Mac 1993 sebagai kalendan dan telah dinaikkan pangkat sebagai pemandu lori pada 17 Disember 1995. Pada 29 Disember 1999 yang menuntut telah menerima surat tunjuk sebab yang kandungannya antara lain berbunyi:
Dimaklumkan bahawa pada 22.12.1999 saudara memandu lori WED 3054 T/WB 2693 membawa muatan isi sawit sebanyak 32.38 mt. Mengikut rekod kilang, saudara telah keluar dari Keratong anggaran jam 2.00 petang dan sampai di KCP Pasir Gudang anggaran jam 10.00 malam.
Mengikut pemeriksaan dan ujian kualiti sebelum penurunan di KCP Pasir Gudang, didapati kandungan kotoran adalah tinggi dan tempurung melebihi had yang dibenarkan. Disebabkan oleh masalah kualiti, pihak KCP Pasir Gudang telah membuat laporan polis, adanya berlaku penipuan kualiti isi sawit dan pihaknya tidak menerima isi sawit tersebut.
Berdasarkan perkara di atas saudara adalah dikehendaki memberi penjelasan secara bertulis dalam tempoh empat (4) hari dari tarikh surat ini dikeluarkan.
Yang menuntut telah digantung kerja serta diarahkan menghadiri siasatan dalaman pada 4 Januari 2000. Yang menuntut telah dituduh dengan pertuduhan berikut.
Bahawa saudara Azmi Bin Md. Nusi yang memandu lori WED 3054 T/WB 2693 disyaki menipu muatan isi sawit kepunyaan Kilang Keratong 3 dengan mengeluarkan isi sawit yang baik dan menambah dengan tempurung isi sawit pada 22.12.1999 anggaran jam 2.00 petang hingga anggaran 10.00 malam.
Panel siastan dalaman mendapati yang menuntut bersalah dan yang menuntut telah dibuang kerja pada 6 Januari 2000. Yang menuntut menafikan telah melakukan kesalahan salah laku tersebut dan mengadu telah dibuang kerja tanpa sebab atau alasan yang adil. Susulan aduan yang menuntut ialah rujukan kesnya ke mahkamah ini.
Dalam perbicaraan di mahkamah ini syarikat telah memanggil empat orang saksi memberi keterangan. Saksi pertama Syed Alwi Syed Sharif (COW1) memberi keterangan bahawa pada 22 Disember 1999 yang menuntut yang memandu lori WED 3054 T/WB 2693 telah diarah mengangkut isi sawit daripada kilang Keratong 3 Pahang ke Kilang KCP Pasir Gudang Johor. Menurut rekod kilang yang menuntut telah berlepas daripada Keratong 3 jam 1 tengah hari tetapi hanya sampai di KCP Pasir Gudang pda jam 10 malam. Perjalanan ini mengambil masa lapan jam sedangkan pada lazimnya hanya mengambil masa lima jam. Pihak KCP telah enggan menerima muatan tersebut kerana muatan itu didapati mengandungi kekotoran yang melebihi had yang dibenarkan. Syarikat tidak menerima bayaran pengangkutan muatan tersebut. Pihak KCP telah membuat laporan polis kerana mengesyaki ada penipuan kualiti isi sawit. Setelah menerima laporan daripada KCP, COW1 telah membuat laporan polis. Yang menuntut telah dihadapkan kepada suatu siasatan dalaman. Dalam siasatan dalaman ini COW1 telah bertindak sebagai pegawai pendakwa. Yang menuntut telah diwakili wakil kesatuan.
Menurut COW1 selanjutnya dalam siasatan dalaman itu pembelaan yang menuntut mengenai kelewatannya tiba di Pasir Gudang ialah kerana beliau telah berhenti di Cenderawasih (sempadan Pahang Johor) untuk mengelakkan sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimanapun siasatan syarikat mendapati tiada sekatan jalan pada masa yang berkenaan. COW1 memberitahu bahawa tiada pembantu dalam lori itu. Yang menuntut seorang sahaja yang bertugas pada hari itu.
Dalam pemeriksaan balas COW1 memberitahu setelah muatan dimasukkan ke dalam lori, sebelum lori meninggalkan kilang, lori itu ditutup dengan kanvas dan dirantai pada badan lori dan hujung rantai di seal. Seal ini hanya akan dibuka di KCP Pasir Gudang. Dalam kes ini tiada aduan seal telah dibuka. Pihak KCP menetapkan had kotoran pada sekitar 6% sahaja tetapi kekotoran pada muatan ini telah melebihi 9.46%.
Dalam pemeriksaan semula COW1 memberitahu seal itu dibuat daripada pl