2023 MarsdenLR 134
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
MOHD ZUHAILI ZAINAL LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: J-09-245-09/2021]
The court upheld the conviction under the Dangerous Drugs Act, confirming that proper procedures were followed in urine sampling and that past convictions were admissible, emphasizing the appellate court's limited role in overturning trial court findings.
Headnote:(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 - Seksyen 15(1)(a) dan 39C(1) - Sabitan atas kesalahan pengambilan dadah - Perayu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama enam tahun dan satu sebatan rotan - Rayuan ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman - Prosedur pengambilan sampel urin dipatuhi sepenuhnya dan tiada keraguan mengenai keterangan saksi pendakwaan. (Paras 25, 26, 30)
(B) Prinsip undang-undang - Mahkamah Rayuan tidak akan mengganggu sabitan mahkamah perbicaraan kecuali terdapat kesalahan yang jelas atau keterangan yang kukuh menunjukkan hakim perbicaraan terkhilaf dalam menilai keterangan. (Paras 18, 19, 20)
(C) Isu pematuhan Seksyen 400 Kanun Tatacara Jenayah - Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pegawai mahkamah adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang. (Paras 27, 28, 29)
Facts of the case:
Perayu dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine selepas ujian urin. Perayu mempunyai dua sabitan lampau di bawah akta yang sama.
Findings of Court:
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman, mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen.
Issues: Isu utama adalah mengenai kesahihan prosedur pengambilan sampel urin dan pematuhan Seksyen 400 Kanun Tatacara Jenayah.
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa prosedur pengambilan sampel urin telah dipatuhi dan keterangan saksi pendakwaan adalah sah. Keputusan Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan prinsip bahawa sabitan tidak akan diganggu kecuali terdapat kesalahan jelas.
Result: Rayuan ditolak.
| Table of Content |
|---|
| 1. initiation and outcome of the prosecution. (Para 1 , 2 , 3 , 4 , 5) |
| 2. details of the drug testing procedure. (Para 6 , 7 , 8 , 9 , 10 , 11 , 12 , 13 , 14 , 15 , 16 , 17) |
| 3. court's reasoning on the appeal process. (Para 18 , 19 , 20 , 21 , 22 , 23 , 24 , 25 , 26) |
| 4. arguments regarding the admissibility of past conviction records. (Para 27 , 28) |
| 5. confirmation of previous convictions. (Para 29) |
Mukadimah
[1] Pendakwaan terhadap Perayu bermula di Mahkamah Sesyen, Segamat, Johor atas satu kesalahan di bawah s 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
[2] Di akhir kes pembelaan, Perayu/Tertuduh telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama enam (6) tahun dari tarikh sabitan (27 Februari 2020) dan satu (1) sebatan rotan serta dikenakan Perintah Pengawasan selama dua (2) tahun selepas tamat menjalani hukuman pemenjaraan.
[3] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, pada 27 Februari 2020 Perayu telah menfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Muar, Johor terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
[4] Pada 14 September 2021, Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana telah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen.
[5] Pada 19 September 2021, Perayu telah menfailkan Notis Rayuan J-09-245-09/2021 (Kandungan 1) di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Pertuduhan
"Bahawa kamu pada 17 Mac 2018 jam lebih kurang 3.55 pagi bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, di dalam Daerah Segamat, dalam Negeri Johor, telah memasukkan dadah berbahaya iaitu 'Amphetamine' dan 'Methamphetamine' dalam badan kamu sendiri. Oleh yang demikian itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah s 39C(1) Akta yang sama."
Fakta Kes Pendakwaan
[6] Pada 17 Mac 2018, jam lebih kurang 3.30 pagi, ketika SP2 (Kpl Roshazizat bin Hj Idris) bersama-sama tujuh (7) anggota polis yang lain sedang membuat tugas rondaan URB di Jalan Genuang, Segamat, SP2 telah menahan dan memeriksa Perayu yang kelihatan berada di dalam keadaan yang mencurigakan sedang menaiki motosikal jenis Honda Wave No Pendaftaran NBV 2692.
[7] Perayu telah ditangkap kerana disyaki terlibat dengan dadah dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor untuk tindakan selanjutnya.
[8] Pada tarikh dan tempat yang sama, jam sekitar 3.55 pagi, SP4 (Inspektor Raimi bin Romaino) telah menjalankan ujian saringan urin ke atas Perayu. SP4 telah menerangkan kepada Perayu mengenai prosedur membuat ujian urin ini. Perayu telah memilih dua (2) botol bernombor siri SN1666166 dan SN1666168. Kedua-dua botol ini berada di dalam keadaan yang bersih, bertutup dan tidak tercemar.
[9] SP5 (Kpl Mohd Hafizi bin Mohd Zain) telah mengiringi Perayu ke tandas untuk pengambilan sampel urin dan sewaktu Perayu memasukkan sampel urinnya, SP5 nampak apa yang berlaku kerana pintu tandas berada di dalam keadaan yang terbuka.
[10] Hasil ujian saringan yang dibuat oleh SP4 ke atas sampel botol SN1666166 mendapati Perayu positif dadah jenis Methamphetamine. Manakala bagi botol sampel SN1666168 pula, tiada ujian strip yang dibuat oleh SP4 terhadap botol tersebut.
[11] Kedua-dua botol yang mengandungi sampel urin Perayu telah dilekatkan dengan butir-butir kes serta butir-butir peribadi Perayu dan Perayu telah menandatangani kedua-kedua pelekat yang berkenaan.
[12] Kedua-dua botol tersebut telah dimeterai dengan rapi oleh SP4 dan kemudiannya telah diserahkan oleh SP4 kepada SP6 (Sarjan Fatra Haffiz bin Aminuddin) yang juga merupakan pegawai penyiasat kes ini.
[13] SP6 telah menyimpan kedua-dua botol sampel berkenaan di dalam peti sejuk dan telah menyerahkan kepada SP3 (D/Kpl Abdul Rahman bin Ahmad) bagi proses penghantaran ke Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor.
[14] Kedua-dua botol tersebut kemudiannya telah diserahkan oleh SP3 kepada SP8 (Puan Noor Hayati binti A. Kadir), Pegawai Sa