2022 MarsdenLR 146
MAHKAMAH TINGGI SYARIAH TERENGGANU
KETUA PENDAKWA SYARIE JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU LWN. YYYYY XXXX & LAGI SATU
[Jenayah No: 12345-111-1111-2018 & 12345-000-2222-2018]
Pengakuan bersalah dalam kes Musahaqah disahkan melibatkan elemen kesalahan yang jelas dibuktikan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan perlu diambil serius sebagai pencegahan terhadap jenayah seksual.
Headnote:(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 - Seksyen 30 dan 59(1) - Tuduhan percubaan melakukan Musahaqah - Kedua-dua OKT mengaku bersalah tanpa syarat - Mahkamah menekankan pentingnya prinsip amar makruf dan nahi mungkar dalam perlaksanaan hukuman - Hukuman sabitan dikenakan berdasarkan iqrar merujuk kepada unsurnya iaitu perlakuan, niat, dan perbuatan - Tindakannya bertentangan dengan syariat dan merupakan kesalahan berat. (Paras 4, 13, 30, 104)
(B) Iqrar - Merupakan bukti sah dalam Hukum Syarak - Memperkuatkan sabitan jika memenuhi syarat yang ditetapkan - Pengakuan OKT yang dibuat dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan. (Paras 76, 80)
Facts of the case: OKT dituduh cuba melakukan Musahaqah pada 8 April 2018, di tempat awam - Tangkapan dibuat setelah didapati bersama dengan alat kelamin tiruan dan seluar dalam.
Findings of Court: Kesalahan telah dibuktikan dengan pengakuan bersalah OKT - Mahkamah berpuas hati bahawa semua elemen pembuktian wujud.
Issues: Bidangkuasa Mahkamah bagi kesalahan Musahaqah dan prosedur sabitan ketika pengakuan bersalah dibuat.
Ratio Decidendi: Mahkamah mendapati kesalahan Musahaqah adalah serius, hukuman denda berjumlah RM3,300.00 dan 6 sebatan adalah diperlukan sebagai pencegahan.
Result: OKT disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan hukuman.
PENGHAKIMAN
[1] Tuduhan ke atas YYYYY BT XXXX, KP: 123456-11-2222 ORANG KENA TUDUH 1, AAAAA BT CCCC, KP: 222222-22-2222 ORANG KENA TUDUH 2, telah didengar di dalam Mahkamah Terbuka, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran Pendakwa Syarie dari Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Tuan Muhammad Khasmizan bin Abdullah dengan kehadiran kedua-dua Orang Yang Kena Tuduh yang hadir secara bersendirian, dan pada hari ini Tuan Hakim membuat alasan penghakiman seperti berikut.
[2] Kes yang disebut dan didengar di hadapan Saya ini ialah Tuduhan Kesalahan Percubaan Melakukan Musahaqah di bawah s 59(1) yang dibaca bersama dengan s 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Bil 7/2001 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen dan Enakmen yang sama iaitu boleh didenda tidak melebihi lima (5) ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau disebat tidak melebihi enam (6) sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
[3] Mahkamah menegaskan bahawa sebarang pendakwaan yang dikemukakan kepada Mahkamah dalam apa-apa jua pertuduhan adalah termasuk dalam kategori amar makruf dan nahi mungkar yang perlu dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa sebagaimana yang diperintah oleh agama bagi merealisasikan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Ini kerana misi utama manusia diutus ke muka bumi ialah untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan alam ini. Mekanisme penting dalam memakmurkan alam ini ialah dengan melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar. Kemakmuran hakiki akan wujud bila mana semua manusia tunduk kepada kekuasaan Allah SWT dan beribadah hanya kepadaNya. Asas pensyariatan prinsip amar makruf dan nahi mungkar ini ialah nas-nas dari al-Qur'an dan al-Sunnah di samping Ijmak, sebagaimana firman Allah SWT antaranya di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang berbunyi:
Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada semua perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..."
[4] Di dalam kes ini kedua-dua OKT mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka itu tanpa sebarang syarat. Justeru kedua-dua OKT telah mengaku bersalah, Mahkamah berpendapat ada empat (4) isu persoalan utama yang perlu dilihat dan diberi perhatian sewajarnya oleh Mahkamah iaitu bidangkuasa Mahkamah, kesalahan dan elemen-elemen yang perlu dibuktikan wujud untuk disabitkan kesalahan, pengakuan bersalah OKT dan pertimbangan faktor-faktor pemberatan dan peringanan dalam menjatuhkan hukuman ke atas OKT.
Latarbelakang Kes - Tangkapan Dan Perjalanan Kes
[5] OKT yang ditangkap dalam kejadian pada 8 April 2018 itu adalah seramai dua (2) orang iaitu kedua-duanya perempuan. Kedua-dua OKT itu telah dilepaskan dengan Jaminan Bon oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa di bawah s 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Seksyen tersebut memperuntukkan seperti berikut:
Melepaskan orang yang ditangkap
23. Tiada seorang pun yang ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah atau pegawai polis di bawah Enakmen ini boleh dilepaskan kecuali atas Bon atau jaminan atau di bawah perintah bertulis seorang Hakim atau Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor.
[6] Kedua-dua kes OKT itu ditetapkan tarikh sebutan pertama di Mahkamah pada tarikh yang sama iaitu pada 8 Julai 2018.
Sebutan Kes Kali Pertama
[7] Kes didengar kali pertama untuk sebutan pada 8 Julai 2018, hari Ahad, jam 9.30 pagi di Dewan 2, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu. Kedua-dua OKT hadir dan kata-kata tuduhan telah dibaca kepada kedua-dua OKT dan kedua-dua OKT telah membuat pengakuan dengan mohon kes dibicarakan. Pada masa itu, OKT 1 beritahu Mahkamah akui b

