2023 MarsdenLR 698
MAHKAMAH PERUSAHAAN KUALA LUMPUR
NOR AZLINA ABD RAHIM LWN. JURUKUR PERUNDING SERVICES SDN BHD
Award No: 1728 Tahun 2023 [No Kes: 3/4-757/20]
Termination of employment without just cause requires adherence to proper procedures; failure results in entitlement to compensation.
Headnote:Perkara ini merupakan rujukan di bawah subseksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berkaitan pemberhentian kerja yang didakwa tidak adil. Pihak Yang Menuntut telah berkhidmat sebagai Pembantu Pentadbiran, ditamatkan perkhidmatannya pada 15 Oktober 2019 tanpa proses yang wajar. Mahkamah memutuskan bahawa penamatan tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak mempunyai sebab yang munasabah. Mahkamah memutuskan untuk memberi pampasan kepada Pihak Yang Menuntut berikutan penamatan tanpa sebab yang adil.
| Table of Content |
|---|
| 1. termination details and context. (Para 1 , 2 , 3) |
| 2. court's authority in procedural matters. (Para 6 , 10 , 12) |
| 3. burden of proof in termination cases. (Para 17 , 24) |
| 4. compensation for unjust termination. (Para 26 , 28 , 36) |
Rujukan
[1] Ini adalah suatu rujukan yang dibuat di bawah subseksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] mengenai dakwaan pembuangan kerja Nor Azlina Binti Abd Rahim (selepas ini disebut "Pihak Yang Menuntut") oleh Jurukur Perunding Services Sdn Bhd (selepas ini disebut sebagai "Pihak Syarikat") pada 15 Oktober 2019.
[2] Ini adalah suatu tuntutan pemberhentian kerja yang dikatakan tidak adil dan sah pada 15 Oktober 2019 yang difailkan oleh Pihak Yang Menuntut. Pihak Yang Menuntut telah bekerja dengan Pihak Syarikat sejak 21 April 2010 sebagai Administrative Assistant dan disahkan dalam jawatan enam bulan kemudian. Beliau telah bekerja selama lebih dari sembilan tahun sebelum ditamatkan pada 15 Oktober 2019. Pihak Yang Menuntut telah diberikan notis Penamatan Perkhidmatan dan diminta menyerahkan segala barang kepunyaan syarikat pada jam 6 petang hari yang sama.
[3] Berdasarkan bukti dan suratcara dalam Mahkamah tiada aduan, surat tunjuk sebab mahupun Siasatan Dalaman dijalankan oleh pihak Syarikat terhadap Pihak Yang Menuntut. Di dalam Mahkamah hanya ada notis Penamatan Perkhidmatan sahaja. Alasan penamatan pihak Syarikat yang dinyatakan di dalam notis itu adalah "... pihak pengurusan Syarikat telah pun menerima rungutan dan aduan-aduan tentang beberapa tingkah laku penama dan pihak pengurusan juga telah membuat pemerhatian dan siasatan bagi mengesahkan aduan-aduan yang telah di terima.".
[4] Selain daripada notis itu pihak Syarikat telah mengulangi kenyataan diatas di dalam Pernyataan Balasnya dan menambah bahawa penamatan dibuat menurut peruntukan undang-undang kerja dan berdasarkan keutamaan bagi menjaga keharmonian dan persekitaran kerja yang kondusif. Pihak Syarikat bersetuju bahawa penamatan berlaku pada 15 Oktober 2019 setelah Pihak Yang Menuntut tidak bersetuju dengan hasil perbincangan pada hari yang sama di antara Pihak Yang Menuntut dan pihak Syarikat.
[5] Mahkamah ini telah meneliti semua keterangan, hujahan dan ikatan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak seperti yang berikut:
(i) Kenyataan Kes bertarikh 17 Mac 2021;
(ii) Pernyataan Balas bertarikh 6 April 2021;
(iii) Rejoinder bertarikh 14 April 2021;
(iv) Ikatan Dokumen Yang Menuntut yang difailkan pada 19 Mac 2021 dan ditanda sebagai ekshibit CLB1;
(v) Ikatan Dokumen Yang Menuntut yang difailkan pada 15 April 2021 dan ditanda sebagai ekshibit CLB2;
(vi) Ikatan Dokumen Responden Syarikat yang difailkan pada 8 April 2021 dan ditanda sebagai ekshibit COB1;
(vii) Pernyataan Saksi Syarikat Saksi Syarikat 1 yang ditandatangani pada 12April 2022 dan ditanda sebagai ekshibit COWS1;
(viii) Pernyataan Saksi Syarikat Saksi Syarikat 2 yang ditandatangani pada 13April 2022 dan ditanda sebagai ekshibit COWS2;
(ix) Pernyataan Saksi Syarikat Saksi Syarikat 3 yang ditandatangani pada 24 Ogos 2022 dan ditanda sebagai ekshibit COWS3;
(x) Penyata Saksi Penuntut yang ditandatangani pada 24 Ogos 2022 dan ditanda sebagai ekshibit CLWS1;
(xi) Penyata Saksi Penuntut yang ditandatangani pada 24 Ogos 2022 dan ditanda sebagai ekshibit CLWS2;
(xii) Hujahan Bertulis Syarikat bertarikh 31 Oktober 2022;
(xiii) Ikatan Otoriti Syarikat;
(xiv) Hujahan Bertulis Penuntut bertarikh 17 November 2022;
(xv) Ikatan Otoriti Penuntut yang diterima pada 23 November 2022;
(xvi) Penyata KWSP Bagi Pihak Yang Menuntut; dan
(xvii) Hujahan Balas Bertulis Syarikat bertarikh 3 Februari 2023.
Penerusan Kes
[6] Sebelum meneruskan Award ini, Mahkamah perlu memaklumkan bahawa Pengerusi yang mengendalikan kes ini telah bertukar dan keputusan dibuat oleh Pengerusi yang baharu. Mahkamah ini berpegang kepada prinsip di dalam kes Bax Global (Malaysia) Sdn Bhd v. Sukhdev Singh Pritam Singh & Anor, [2011] 2 CLJ 534 . Kes tersebut telah menerangkan kedudukan Mahkamah a