2018 MarsdenLR 2075
MAHKAMAH TINGGI SYARIAH TERENGGANU
KETUA PENDAKWA SYARIE JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU LWN. XXXX
[Jenayah No: 11200-141-0XXX-2018]
Court upheld that engaging in acts of preparation for prostitution is a severe violation of Islamic law, warranting stringent punitive measures under Islamic jurisprudence.
Headnote:Statut analisis melibatkan s 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Fakta kes, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan persediaan untuk melacurkan diri. Mahkamah menegaskan kepentingan pelaksanaan hukum Islam dan menilai elemen hukum dalam kes ini berasaskan bidang kuasa jenayah yang diperuntukkan. Isu utama termasuk bidang kuasa mahkamah dan elemen kesalahan yang perlu dibuktikan. Mahkamah berpendapat, pelanggaran terhadap hukum Islam adalah salah dan memerlukan tindakan tegas. Dalam keputusan akhir, sabit kesalahan dan jatuhkan hukuman sebat dan komital ke pusat perlindungan.
| Table of Content |
|---|
| 1. the court's decision emphasizes the importance of adhering to sharia law in addressing acts of prostitution. (Para 1 , 2 , 3) |
| 2. fundamental background of the case involving the charge. (Para 4 , 5) |
| 3. key factors in determining jurisdiction and the nature of the offenses under sharia law were outlined. (Para 8 , 9 , 26) |
| 4. importance of maintaining judicial jurisdiction. (Para 21 , 22 , 30) |
| 5. core principles regarding the punishment for the specified offense. (Para 63 , 64 , 82) |
| 6. the judgment acknowledges the balance between individual circumstances and public interest in delivering justice. (Para 75 , 80 , 81) |
| 7. final considerations leading to the judgment and sentencing. (Para 111) |
[1] Tuduhan ke atas XXXX, KP: 730308-01-XXXX ORANG KENA TUDUH, telah didengar di dalam Mahkamah Terbuka, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran Pendakwa Syari'e dari Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Tuan Muhamad Khasmizan bin Abdullah dengan kehadiran Orang Yang Kena Tuduh yang hadir secara bersendirian, dan pada hari ini tuan Hakim membuat alasan penghakiman seperti berikut.
[2] Kes yang disebut dan didengar di hadapan Saya ini ialah tuduhan Kesalahan Persediaan Untuk Melacurkan Diri di bawah s 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Bil 7/2001 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen dan Enakmen yang sama iaitu boleh didenda tidak melebihi lima (5) ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau disebat tidak melebihi enam (6) sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
[3] Mahkamah menegaskan bahawa sebarang pendakwaan yang dikemukakan kepada Mahkamah dalam apa-apa jua pertuduhan adalah termasuk dalam kategori amar makruf dan nahi mungkar yang perlu dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa sebagaimana yang diperintah oleh agama Islam. Ini kerana misi utama manusia diutus ke muka bumi ialah untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan alam ini. Mekanisme penting dalam memakmurkan alam ini ialah dengan melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar. Kemakmuran hakiki akan wujud bila mana semua manusia tunduk kepada kekuasaan Allah SWT dan beribadah hanya kepada-Nya. Asas pensyariatan prinsip amar makruf dan nahi mungkar ini ialah nas-nas dari Al-Quran dan Al-Sunnah di samping Ijmak, sebagaimana firman Allah SWT antaranya di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang berbunyi:
Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada semua perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..."
[4] Di dalam kes ini OKT mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya itu tanpa sebarang syarat. Justeru OKT mengaku bersalah, Mahkamah berpendapat ada 4 (empat) isu persoalan utama yang perlu dilihat dan diberi perhatian sewajarnya oleh Mahkamah iaitu Bidangkuasa Mahkamah, kesalahan dan elemen-elemen yang perlu dibuktikan wujud untuk disabitkan kesalahan, pengakuan bersalah OKT dan pertimbangan faktor-faktor pemberatan dan peringanan dalam menjatuhkan hukuman ke atas OKT.
Latarbelakang Kes - Tangkapan Dan Perjalanan Kes
[5] OKT yang ditangkap dalam kejadian pada 19 September 2018 itu adalah seramai 2 (dua) orang iaitu OKT dan seorang lelaki yang merupakan pelanggannya (didakwa kesalahan berasingan). OKT telah dilepaskan dengan Jaminan Bon oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa di bawah s 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Seksyen tersebut memperuntukkan seperti berikut:
Melepaskan orang yang ditangkap
23. Tiada seorang pun yang ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah atau pegawai polis di bawah Enakmen ini boleh dilepaskan kecuali atas Bon atau jaminan atau di bawah perintah bertulis seorang Hakim atau Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah atau seorang pegawai polis