2009 MarsdenLR 1847
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
ROSLAN MAT NOR
NASAFF SDN BHD
Versus
HELMI MAT AIL
AWARD NO: 1102 TAHUN 2009 (KES NO: 28(1)/4-2344/06)
Decided On : 10 SEPTEMBER 2009
Ini adalah satu kes pembuangan kerja Encik Helmi Bin Mat Ail (Yang Menuntut) oleh Nasaff Sdn. Bhd. (Responden) pada 1.1.2005. Kes ini telah dirujuk oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia pada 23.8.2008 dan diterima di Mahkamah Perusahaan ini pada 10.10.2006.
Di dalam kes ini, Pihak Menuntut telah mengemukakan permohonan untuk mencantumkan Ecobuilt Sdn. Bhd. Sebagai Pihak di dalam kes ini. Permohonan ini disokong oleh afidavit Encik Helmi Bin Mat Ail yang dideposkan pada 07hb. April, 2008.
Alasan permohonan Pihak Menuntut ini boleh dirumuskan kepada perkara berikut:-
(i) Pihak Syarikat Nasaff Sdn. Bhd. mempunyai alamat perniagaan yang sama iaitu di 27, Jalan 3/11C, Desa Tun Razak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi menyokong alasan ini, Pihak Menuntut telah berhujah bahawa cabutan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, eksibit HMA-1 dan HMA-2. Di samping itu, pegumbela Pihak Menuntut yang bijaksana telah menukilkan kes Sangaran A/L Ragavan v. Zen Wisdom Enterprise Sdn. Bhd..
Di dalam kes tersebut, permohonan percantuman dibenarkan kerana terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai alamat perniagaan yang sama dan alamat pendaftaran perniagaan yang sama. Di samping itu terdapat keterangan yang menunjukkan mereka berkongsi pekerja. Sebaliknya di dalam kes ini kedua-dua syarikat mempunyai alamat pendaftaran perniagaan yang berbeza. Walaupun mereka menjalankan perniagaan yang sama.
Mahkamah berpendapat fakta bahawa sesuatu syarikat itu mempunyai alamat pendaftaran perniagaan yang sama atau berkongsi pejabat tidaklah secara automatik menjadikan mereka mempunyai hubungan yang boleh dicantumkan sebagai pihak di dalam suatu prosiding. Mereka hanya boleh dicantumkan sekiranya terdapat hubungkait yang diterima di bawah prinsip undang-undang sebagai hubungkait yang memberikan kebertanggungjawaban di sisi undang-undang. Di dalam kes ini alasan tersebut di atas, tidak boleh dijadikan asas untuk Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. dicantumkan di dalam prosiding ini.
(ii) Pihak Menuntut juga menyatakan bahawa Syarikat Ecobuilt Sdn. Bhd. telah memberi arahan kepada beliau semasa menjalankan tugas. Ini dapat dilihat melalui eksibit HMA-1 di dalam afidavit lanjutan Encik Helmi Bin Mat Ail bertarikh 9 September 2008. Di dalam eksibit tersebut terdapat laporan yang dikatakan disediakan oleh Pihak Menuntut yang terdapat cop Syarikat Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. Menurut peguambela Pihak Menuntut, cop syarikat di dokumen-dokumen tersebut menunjukkan bahawa Pihak Menuntut menerima arahan daripada Ecobuilt (M) Sdn. Bhd.
Bagi menangani isu ini, Mahkamah wajar meneliti apakah sebenarnya hubungan di antara Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. dengan Nasaff Sdn. Bhd. dengan Pihak Menuntut. Adakah Pihak Menuntut merupakan pekerja kepada Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. dan Nasaff Sdn. Bhd. atau adakah Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. mempunyai kepentingan dalam Syarikt Nasaff Sdn. Bhd. Di samping itu, adakah beliau merupakan pekerja kedua-dua buah syarikat tersebut. Bagi tujuan itu, Mahkamah perlu meneliti afidavit jawapan Encik Siow Lee Fah yang diikrarkan pada 24.10.2008 terutamanya eksibit SLF-2 dan SLF-1. Jika diamati dokumen-dokumen ekshibit tersebut, adalah didapati bahawa Nasaff Sdn. Bhd. adalah merupakan sub kontraktor kepada Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. bagi projek pembinaan rumah teres di Ulu Langat, Selangor dan projek di Taman Tasek Prima.
Setelah meneliti eksibit-eksibit kedua-dua pihak di dalam afidavit masing-masing, tidak pula didapati sebarang dokumen yang menunjukkan pada bila-bila masa Pihak Menuntut telah dilantik sebagai pekerja atau dibayar gaji oleh Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. Di samping itu tiada juga keterangan yang menunjukkan Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. Mempunyai kepentingan di dalam syarikat Nasaff Sdn. Bhd. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa terdapat dokumen yang tertera cop Syarikat Ecobuilt (M) Sdn. Bhd. Di eksibit HMA-1 tetapi ia tidak memberikan apa-apa signifikan bagi menunjukkan hubungkait Pihak Menuntut dan Ecobuilt (M) Sdn. Bhd.
Undang-undang
Seksyen 29(a